Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yazid Lovehunters dan roker Indo, Inka Christie, bersaing suara

GV11 kembali ke format asal ketengah ‘otai’ dan artis ‘one hit wonder’
Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Yazid Lovehunters mengikuti jejak langkah beberapa penyanyi legenda Singapura seperti Yantzen dan Jatt Ali yang tampil sebagai wakil Singapura ke pentas peraduan realiti Gegar Vaganza.
Yazid Lovehunters mengikuti jejak langkah beberapa penyanyi legenda Singapura seperti Yantzen dan Jatt Ali yang tampil sebagai wakil Singapura ke pentas peraduan realiti Gegar Vaganza. - Foto ASTRO

Satu-satunya peserta Singapura di pentas Gegar Vaganza 11 (GV11), Yazid Abu Bakar, atau lebih dikenali sebagai ‘Yazid Lovehunters’, tidak pernah menduga berpeluang berada di pentas besar lagi gah bersama 13 penghibur lain dari Malaysia dan Indonesia mulai 24 November.

Ternyata, beliau dipilih dan dicari-cari pihak penganjur, Astro, bagi mengikuti jejak langkah roker sezaman, Yantzen dan Jatt Ali, yang terlebih dahulu bertanding sengit dalam GV beberapa musim lalu di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam sidang media GV11 yang diadakan di Hotel Park Royal Collection di Kuala Lumpur pada 6 November lalu, Yazid, 62 tahun, berkata:

“Ini merupakan kali pertama saya dipelawa menyertai GV. Tapi saya dengar-dengar juga ada pihak mencari saya.

“Bagaimanapun, apabila kita dijemput, Alhamdulillah. Sudah menjadi rezeki saya untuk hiburkan peminat dan kawan-kawan saya yang sudah lama saya tinggalkan.”

Yazid merupakan sepertiga daripada band Lovehunters yang popular sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an dengan lagu-lagu seperti Ku Ukir Namamu, Berpindah Minda dan Sambutlah Kasih.

Dua lagi anggota kumpulan itu adalah Moliano Rasmadi dan Saharudin Jalil atau Sahar.

Sewaktu video Yazid menyanyikan lagu Sambutlah Kasih dimuatnaikkan ke TikTok, ia menarik pelbagai komen netizen.

Ada yang memuji dengan keyakinan suaranya yang lunak pada zaman kegemilangan Lovehunters akan kembali lagi dengan latihan dan bahang semarak GV11.

Tidak kurang pula yang menyatakan tidak adil bagi menempatkan peserta yang melepasi usia 60 tahun dengan peserta lebih muda yang dikatakan memiliki lebih stamina.

Sebelum Yazid, Jatt dan Yantzen, peserta asal Singapura lain yang ditempatkan dalam pertandingan realiti ini termasuk Ferhad, Hetty Sarlene, Hady Mirza, Aliff Aziz, Fuad Rahman, Adeep Nahar (dalam kumpulan V.E) dan Hazrul Nizam.

Hady dan Aliff berjaya bergelar juara manakala Hazrul pula sampai ke peringkat akhir.

Lagi 13 peserta GV11 pula terdiri daripada Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrorra Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura serta peserta Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima (Taura, Bony dan Arif).

Sementara itu, pada sidang media yang disiarkan secara langsung di YouTube daripada Hotel Park Royal Collection di Kuala Lumpur, turut didedahkan sebab mengapa format pertandingan dikembalikan kepada usaha asal memberi ruang buat penyanyi veteran atau yang hanya muncul dengan satu lagu ‘hit’ atau one hit wonder tampil menyerlah.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, pihak penerbitan bersetuju mengembalikan format asal itu selepas mendapat maklum balas daripada peminat setia GV.

“Kalau kita lihat Gegar Vaganza 9 & 10 konsepnya agak berbeza. Dalam GV 9, kita campur peserta yang masih aktif dan juga tidak.

“Bagi musim ke-10 pula, kita memang sudah ada rancangan untuk mengadakan All Stars GV untuk menyatukan semua juara peraduan dari musim pertama hingga kesembilan bagi meraikan sedekad penganjuran program ini.

“Selepas kita mendapat maklum balas daripada peminat yang mahukan format asal GV dikembalikan, kami mendengar permintaan mereka untuk melihat penyanyi-penyanyi lama dan yang mempunyai satu lagu terkenal atau one hit wonder beraksi di pentas GV.

“Kerana itu adalah resipi GV dari mula lagi. Jadi kami bawakan kembali format asal GV untuk edisi kali ini,” katanya.

Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS dikekalkan selaku juri.

Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Inka Christie, 51 tahun, yang dikenali kerana lagu Rela, Nafas Cinta dan Cinta Kita (bersama Amy Search), kelihatan kecoh seketika kerana baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba-tiba diminta bergegas menyalin pakaian dan menyanyi untuk sidang media itu.

“Lagu sendiri sudah lupa. Tak tahu lagu apa nak dinyanyikan! Saya macam berlari maraton. Yang penting selamat ya?” ujarnya yang berharap dapat sekali lagi bersilaturahim dengan pencinta muzik di Malaysia, yang pernah menjadi ruangnya berkarya.

Illa Sabry, 45 tahun, atau nama sebenarnya, Fasillah Sabry, yang dikenali kerana runut bunyi rasmi (OST) filem Gerak Khas The Movie, Keranamu Kekasih pada 2001 pula bagaikan sudah memberi gambaran beliau akan bangkit semula di persada seni.

Ini kerana kemunculannya yang dipuji dalam konsert Ajai & Friends pada Ogos di Dewan Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Selepas itu, Illa banyak diwawancara media Malaysia yang teruja ingin tahu perkembangannya dalam bidang seni.

Kata Illa pada sidang akhbar itu:

“Saya sebenarnya gementar sebab sudah lebih 20 tahun tidak menyanyi tetapi saya akan buat yang terbaik.”

Ketika diminta mengulas harapannya bagi GV11, Syafinaz, 51 tahun, berkata tiada yang perlu peserta takuti akan penilaian dan komennya.

“Saya anggap mereka semua profesional. Jangan takut dengan saya. Anggap saya seperti teman seni anda. Apa yang boleh saya sumbangkan ialah panduan bagaimana mereka boleh perbaiki vokal dan persembahan mereka.

“Selebihnya, mereka perlu jaga kesihatan,” tambahnya.

GV11 akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam, 24 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg