ADA teman yang memberi pengacara dan pelakon setempat Zhin Sadali kata-kata perangsang dek wajahnya yang ada di mana-mana sepanjang tahun lalu. Jika dahulu Zhin atau nama sebenarnya Muhammad Hafidzhin Sadali, 29 tahun, muncul sebagai pempengaruh sosial di YouTube dan Instagram TheSmartLocal, kini beliau menggalas amanah sebagai pengacara rancangan kanak-kanak 'Projek L.I.T' dan 'Juara Mic Junior' (Musim Kedua) serta program infopendidikan 'Hilang'. Bakat Zhin, anak sulung dua beradik ini juga dicungkil bagi lakonan drama 'Kecoh Kahwin' di Suria dan 'Third Rail' di Channel 5. Daripada terlibat dalam program kecil-kecilan, lulusan ijazah Komunikasi dan Media Baru (Kepujian) dari NUS ini turut diberi amanah besar mengacara program 'countdown' Mediacorp atau menghitung detik Tahun Baru 2023 diraikan, 'Let's Celebrate 2023' di The Promontory@Marina Bay, semalam. Peluang ini menyusuli penglibatan Zhin mengacara segmen media sosial bagi NDP 2022. Apa yang diharungi Zhin sepanjang penglibatan seninya? Ikuti wawancara BERITA MINGGU bersamanya
Soalan (S): Apa perasaan Zhin apabila diberi amanah mengacara bersama DJ stesen radio 987, Maya Davidov dan Germaine Tan serta pelakon/ pengacara Kishan J bagi 'Let's Celebrate 2023'?
Zhin: Memanglah saya teruja dan tak percaya. Ingatkan saya dilamar bagi segmen media sosial seperti dalam NDP beberapa bulan lalu.
Macam tak percaya... betul ke nak mengacara acara 'countdown'? Saya risau sebab tidak pernah mengacara acara 'live'.
Cabarannya berbeza tetapi saya anggap ia sebagai satu suratan takdir. Saya bermula kecil-kecilan dengan mengacara dalam program 'Projek L.I.T' sebelum dipilih sebagai hos program orang dewasa 'Hilang'.
Kemudian ketika saya diberi peluang menggalas amanah besar untuk 'Let's Celebrate 2023' ini, saya berlatih di depan penonton 'live' satu lagi program kanak-kanak 'Juara Mic Junior' (Musim Kedua).
Saya akui pengalaman berada di Promontory@Marina Bay memang menggembirakan tetapi tentunya saya gementar sebab saya mewakili masyarakat Melayu.
Sejak saya lebih kerap muncul dalam rancangan Suria, saya terbiasa berbual dalam bahasa Melayu malah lebih selesa dengan bahasa ibunda. Jadi saya perlu cepat 'beralih kod' berbual dalam bahasa Inggeris pula.
Saya juga belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman tentang cara mengawal monitor telinga. Dalam kekecohan nak dengar arahan bermacam orang, saya perlu fokus dan adakalanya perlu sekat daripada mendengar benda- benda tak perlu.
Ada ketikanya juga dimarahi kerana tidak menghadam pesanan seperti lagi lima saat nak masuk siaran iklan, saya biarkan tunggu lama sampai 10 saat!.
S: Bagaimana peralihan Zhin dari YouTube ke TV dan bagaimana pengalaman di media sosial membantu apabila muncul di TV?
Zhin: Bakat saya dikesan untuk 'Projek L.I.T' apabila pihak penerbitan menonton saya di YouTube.
Di YouTube, saya dapati video yang dijana dinilai berdasarkan personaliti pengisi kandungan. Matlamatnya adalah bagi membuatkan orang suka dengan personaliti kita yang mudah mereka kaitkan dengan kehidupan seharian.
Unsur ini saya manfaatkan bagi tugas mengacara di TV. Saya sebenarnya tidak suka dilabel sebagai selebriti atau artis. Saya gembira dan bersyukur kalau apa yang saya kongsi di media sosial dapat dihadam ramai kerana mereka lalui pengalaman yang sama.
Bagi saya, saya adalah orang biasa yang hanya suka berkongsi perkara bermanfaat tentang kehidupan. Perjalanan saya menunjukkan bahawa seorang 'YouTuber' juga boleh muncul di TV jika kerja keras dan ikhlas serta berfikiran positif dan bersangka baik dengan orang sekeliling.
S: Apa yang menarik sepanjang menjadi pengacara 'Hilang'?
Zhin: Dalam salah satu episod, saya berpeluang meninjau perubatan lama yang semakin hilang iaitu yang menggunakan kemenyan.
Sebut kemenyan, ada yang pasti mengaitkannya dengan kegiatan mistik atau perbuatan syirik.
Sebenarnya, kemenyan ada kelebihan dan manfaatnya. Orang dahulu menggunakannya sebagai antiseptik. Baunya boleh dijadikan seperti terapi aroma. Ada yang letak kemenyan yang dimasak dalam minyak dan digosok pada kepala bagi menyegarkan minda. Ada jenis kemenyan yang boleh dimakan pula digunakan untuk merawat demensia.
Episod itu membuka mata saya tentang salah tanggapan yang ada apabila kemenyan disalah guna sesetengah pihak bagi amalan syirik.
S: Siapa yang dianggap mentor Zhin dalam persada seni?
Zhin: Saya temui bukan sahaja sahabat tetapi mentor dan ibarat abang sendiri dalam diri Fauzie Laily. Saya ikuti perkembangannya dalam 'Anugerah'. Kami bergandingan dalam 'Kecoh Kahwin'.
Beliau amat merendah hati, tidak lokek berkongsi ilmu dan sentiasa menjaga kesejahteraan bakat lain di set di sebalik sikapnya yang suka bergurau dan selamba.
Saya akan merujuk kepada Fauzie kalau saya dapat tawaran tertentu untuk mendapatkan buah fikirannya. Beliau benar-benar jaga saya!
S: Setelah lima tahun dalam bidang seni, apa yang Zhin pelajari?
Zhin: Saya belajar tentang diri saya sendiri. Orang mungkin hairan mengapa personaliti saya lebih pendiam di luar set dan tiba-tiba rancak berbual apabila kamera di depan mata. Ini bukan soal saya ni individu yang 'fake' tetapi begitulah keadaan saya yang sebenar.
Saya sukakan kesederhanaan, selesa dengan kumpulan kawan yang kecil. Lebih penting buat saya adalah menjaga kesihatan minda saya.
Saya sudah beralih daripada seseorang yang negatif dan pesimis kepada yang inginkan setiap detiknya itu dijalani secara positif. Moga saya dapat tajamkan seni mengacara atau lakonan saya pada 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg