SETIAP lagu yang dicipta ikon muzik tradisional Zubir Abdullah dibawa 'belayar' ke festival zapin atau dipersembah di tempat khusus atas tuntutan menyebar warisan.
Apabila sesebuah lagu itu dihasilkan, beliau tidak sedikit pun mempunyai hasrat menjadikannya satu karya komersial untuk dijual.
Sebaliknya, lagu tersebut adalah hasil ciptaan yang ditugaskan pihak tertentu untuk dijadikan santapan halwa telinga pada acara khas.
Sebagaimana yang dikongsi Zubir dengan Berita Minggu pada acara konsert Persada Budaya di Wisma Geylang Serai (WGS):
"Saya bekerjasama dengan Kak Som Said daripada Sri Warisan untuk mempersembah lagu ciptaan saya bagi festival tertentu.
"Apabila beliau inginkan lagu Singapura, maka terciptalah Zapin Telok Blangah pada 1999 untuk Festival Zapin Dunia di Bintan.
"Zapin Kampung Melayu dan Zapin Perpaduan pula dipersembah dalam acara festival zapin yang pernah diadakan di Singapura lama dahulu.
"Citra Bangsa Di Kampong Gelam pula dicipta pada 2005 untuk meraikan ulang tahun Taman Warisan Melayu.
"Ia memuatkan nama-nama jalan dan kawasan seperti Kampong Jawa, Kandahar dan Jalan Sultan sebagai tanda kepelbagian budaya yang telah lama wujud.
"Juga ada disebut Masjid Sultan dan Masjid Hajah Fatimah. Sememangnya, kisah bersejarah ini terakam dalam buku tetapi tidak ramai yang ingin baca buku. Jadi diringkaskan dalam lagu tiga minit.
"Selebihnya, bagi yang berminat, bolehlah buat kajian dan bacaan sendiri dengan mencari menerusi jentera pencarian 'Google'."
Menurut Zubir, lagu Zapin Telok Blangah itu amat bermakna buatnya kerana beliau membesar di kejiranan itu sekitar 1970-an.
"Saya mengimbas semula zaman kanak-kanak saya dan apakah kawasan ikonik yang ada dan masih boleh dikenang.
"Ada Kampong Bahru, Radin Mas, Belakang Mati dan Pasir Panjang. Apakah asal usul nama Pasir Panjang itu sendiri? Dari Pulau Brani sampai Tanjong Rhu, memanglah kita lihat panjang benar dataran pasirnya.
"Saya bukan sejarawan tetapi menerusi lagu Zapin Telok Blangah ini, dapat maklum balas orang yang kata, mereka dulu tinggal di Pasir Panjang atau Pulau Brani. Mula terbuka bermacam-macam kisah nostalgia yang menarik," ceritanya.
Beliau bersyukur dapat menjana lagu bertemakan kawasan di Singapura seperti Berzapin Di Geylang Serai yang memberi gambaran tentang keadaan Geylang pada masa itu.
"Memang kita sebelum ini ada lagu Di Waktu Petang Di Geylang Serai atau Singapura Waktu Malam. Tapi ia menceritakan keadaan pada waktu silam.
"Menerusi lagu yang saya hasilkan, terdapat rujukan pada Engku Aman, Jalan Kledek, Jalan Sawi... mengapa tempat-tempat ini ada di Geylang Serai?
"Ia mendorong kita untuk membaca lebih lagi. Apabila kita sentuh tentang Kampong Eunos, siapa Eunos yang dimaksudkan? Lantaran itu, misi saya adalah memperkasa sejarah lewat kesenian dan lagu.
"Sambil berkarya, kita berbahasa dan berbudaya. Menerusi lagu sebagai bahan pendidikan di sekolah, kita boleh kaji unsur linguistik, di mana didedah unsur kosa kata, kata ganda dan kata dasar," tambah Zubir.
Zubir yang memetik gambus sejak 1979 dalam satu pertandingan di Dewan Persidangan Singapura, menyatakan pilihan alat muzik itu dibuat kerana sukakan cabaran.
"Ramai yang memetik gitar... bukan saya nak berbangga dan menyatakan gitar senang tetapi lebih kerana saya inginkan sesuatu cabaran.
"Hari ini, anak muda gantung ukulele pada bahu mereka tetapi siapa nak gantung gambus? Nak main dan petik gambus pun susah. Tapi saya gembira sudah ada gerakan gambus dalam kalangan pemuzik lebih muda seperti Azrin Abdullah.
"Ia adalah alat muzik tali yang memerlukan intonasi yang sempurna dan bentuk kesenian pada tahap tertentu untuk menghadam dan memahami seperti biola dan selo. Orang juga akan tertanya-tanya bagaimana alat muzik Timur Tengah seperti gambus boleh jadi sebahagian budaya orang Melayu di Nusantara," tambahnya yang sudah ke Turkey dan Greece untuk menyertai sesi 'masterclass' bagi bertukar-tukar fikiran dengan penggiat gambus serata dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg