KETUA Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan menggesa warga Singapura agar tidak takut untuk "menggegarkan bot" pada masa yang tidak menentu supaya mereka dapat menghantar pesanan yang kuat dan jelas kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di pilihan raya yang akan datang.
Kata Dr Chee: "Warga Singapura harus memahami bahawa bot itu sedang tenggelam. Jika anda tidak mula mendayung, jika anda hanya berdiam supaya anda tidak menggegarkan bot, ia akan tenggelam. Ia sudah mula terjadi, bahkan sebelum Covid-19 melanda, dan ia akan berterusan dan akan memburukkan lagi keadaan."
Dr Chee, setiausaha agung SDP, membuat kenyataan itu semasa sesi dalam talian pada Rabu (24 Jun) di Zoom, di mana beliau menjawab pertanyaan daripada beberapa belas wartawan. Sesi itu juga disiarkan secara langsung di Facebook.
Dr Chee berkata Singapura baru sahaja keluar daripada pemutus rantaian jangkitan yang sangat ketat. Pemerintah telah membelanjakan sekitar $93 bilion untuk membantu merangsang ekonomi, dan membantu perniagaan dan warga Singapura yang menghadapi kesukaran, dan "kita harus mendayung dengan kuat sekarang untuk memastikan kita sampai ke pantai".
Sesi selama satu jam itu, yang dipengerusikan oleh ketua SDP Paul Tambyah, menjelaskan mesej kempen "4 Ya, 1 Tidak" parti itu.
Dr Chee berkata tujuan SDP mengadakan pertemuan itu adalah untuk membincangkan isu-isu yang menjejas rakyat Singapura. Parti itu meminta penangguhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga akhir tahun depan, dan agar pekerja yang diberhenti kerja dibayar 50 peratus gaji terakhir mereka selama 18 bulan. Mereka juga meminta pendapatan persaraan bulanan $500 untuk warga emas berusia lebih 65 tahun yang berpendapatan lebih rendah. Parti itu juga menentang peningkatan penduduk menjadi 10 juta, dan mahu pemerintah "mengutamakan warga".


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg