Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hikmah raikan bulan kelahiran Nabi

Oct 28, 2022 | 07:45 AM



HARI ini kita sudah berada di hari kedua Rabiulakhir 1444, namun semangat meraikan bulan kelahiran seorang putera yang teragung, iaitu Nabi Muhammad saw, masih membara, terutama dalam kalangan pencinta Rasullullah saw.



Baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April 571, berhijrah dan wafat dalam bulan yang sama. Pendeknya Baginda memulai kehidupan dan mengakhirinya dalam bulan yang sama. Sebab itulah kaitan Rabiulawal dengan Baginda sangat istimewa.



Kelahiran baginda bukan sahaja memancarkan cahaya kegembiraan kaum Muslimin, malah seluruh alam maya patut bergembira dengan kelahirannya.



Dunia tersedar daripada tidur di atas tilam kezaliman, kekejaman, kejahilan dan kehilangan panduan, (kemudian tersedar) kepada kesejahteraan untuk menusia yang memerlukan seorang yang dapat menyelamatkan manusia daripada kurungan kezaliman, kehidupan tanpa peraturan dan penindasan.



Justeru Allah yang Maha Penyayang menghadiahkan seorang putera yang akan menyelamatkan manusia daripada keburukan-keburukan tersebut.



Bulan-bulan sebelum bulan ini (Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Safar) orang Islam menyibukkan diri dengan ibadat haji dan puasa, di samping sunah-sunah seperti melakukan korban dan berpuasa sunat pada 10 hari bulan Muharam kerana memuliakan keselamatan Nabi Musa as dan pengikut-pengikutnya daripada Firaun.



Walaupun tidak ada hadis daripada Baginda saw yang mengarahkan orang Islam menyambut kelahiran Baginda, Rasulullah saw sendiri meraikan kelahirannya dengan berpuasa setiap Isnin. Para sahabat memerhatikan bahawa Baginda mengekalkan ibadah berpuasa setiap hari Isnin.



Apabla ditanya, Baginda menjawab: "Pada hari ini, aku dilahirkan dan didatangi wahyu Allah".



Daripada hadis ini fahamlah kita bahawa Baginda saw bergembira atas kelahirannya pada hari Isnin lalu menyambutnya dengan berpuasa.



Jadi sewajarnyalah kita sebagai umatnya sama-sama bergembira dengan bulan ini dan meraikannya.



Perayaan menyambut hari jadi, sama ada bagi diri sendiri atau merayakan hari jadi orang lain, hanya diketahui di era moden. Saya tidak tahu bilakah kaum Muslimin mula membuat perayaan sambutan Maulud Nabi saw ini.



Pada masa remaja saya, perayaan menyambut Maulud Nabi saw diadakan di surau-surau dan masjid. Masjid dan surau menggunakan derma daripada orang ramai untuk mengadakan jamuan pada hari ke-12 Rabiulawal dan bunga telur. Bunga telur itu di pacak ke batang pisang muda yang menjadi hiasan majlis.



Selepas bacaan berzanji (pada waktu itu bacaan dibaie belum terkenal) dan marhaban, tetamu dijamu makan nasi minyak bersama lauk pauknya (nasi beriani belum masyhur waktu itu) atas dulang beramai-ramai dan setiap yang hadir akan mendapat berkat sebiji bunga telur.



Beginilah rupa perayaan Maulud Nabi saw dalam tahun 1960-an dan sebelumnya di Singapura dan di Nusantara.



Jamiyah Singapura pula menganjurkan perarakan di sepanjang Geylang Road. Perarakan itu disertai oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu, terutama kumpulan kompang atau hadrah.



Setiap kumpulan yang menyertai perarakan membawa sepanduk-sepanduk dan bendera berwarna-warni yang menonjolkan kalimah 'la ilaha il lallah Muhamadur Rasulullah'.



Ketika itu kami sangat bangga menjadi seorang Islam dan umat Nabi Muhammad saw. Sepanjang perarakan kalimah 'laa ilaha illallah Muhammadur Rasulullah' dan nasyid memuja Nabi Muhammad saw dilaungkan. Perayaan seumpama itu kini tinggal sejarah.



Kini Maulud umumnya terbatas dalam masjid, biasanya dilakukan dengan mengadakan ceramah-ceramah mengenai kehidupan Baginda saw, ajaran Baginda dan dengan menghidupkan cerita-cerita kelahiran dan perjuangan Baginda daripada bacaan berzanji dan dibaie.



Tetapi kebelakangan ini, mereka yang menyambut Maulud lebih condong membaca dibaie berbanding berzanji, mungkin kerana teks dibaie lebih pendek dan tidak memerlukan bacaan dengan taranum (berlagu) seperti membaca berzanji.



Dibaie juga banyak digunakan oleh orang Arab sementara berzanji lebih dikenal di kalangan orang Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.



Walau apapun, kita patut menyambut kelahiran Baginda saw supaya kita dapat menguatkan keimanan kita kepada Rasulullah saw. Dengan demikian, ia seharusnya diadakan dengan bacaan Al-Quran, sirah Rasulullah saw, zikir dan qasidah pujuan-pujian kepada Nabi Muhammad saw, seterusnya diisikan dengan ceramah sebagai pelajaran dan nasihat-nasihat agama.



Majlis seperti ini juga bolehlah diakhiri dengan jamuan, sama ada makan bersama di tempat perayaan atau diberikan kepada peserta sebagai oleh-oleh dan berkat menghadiri majlis Maulud.



Dengan sambutan bulan kelahiran Baginda Nabi saw, kita dapat memupuk rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah saw; kita dapat meneladani kehidupan Baginda saw dalam hal-hal peradaban terhadap keluarga dan masyarakat, seperti budi pekerti Baginda ketika menegur, menasihati serta memberi tunjuk ajar kepada mereka.



Daripada sambutan ini, kita juga mendapat galakan untuk meneruskan perjuangan Nabi saw untuk berdakwah untuk menyebarkan agama Islam.



Kita juga dapat menguatkan semangat untuk memperbanyak berselawat kepada Rasulullah saw kerana apabila kita mencintai seseorang, kita akan banyak mengingatnya dan menyebutnya dalam kehidupan.



Daripada sambutan ini juga, kita dapat menambah pengetahuan mengenai sejarah Baginda saw dan sejarah Islam.



Demikian antara hikmah atau rahsia sambutan untuk merayakan kelahiran Baginda saw.



Jika dikatakan bahawa Rasulullah saw adalah cahaya bagi alam ini, maka Rabiulawal ini menjadi cahaya untuk bulan-bulan lain.



Manusia agung seperti nabi-nabi dan rasul-rasul serta raja-raja zaman dahulu tidak didengar mereka pernah menyambut kelahiran mereka. Jika ada pengikut-pengikut dan pemuja-pemuja mereka, maka mereka menyambut dan merayakan kelahiran mereka setelah orang-orang yang dipuja itu meninggalkan dunia ini bertahun-tahun kemudian. Jadi tidak terkecuali bagi Nabi Muhammad saw.



Sebagai menunjukan rasa cinta kepada Baginda saw, mereka yang menyambut kelahiran Nabi saw memperbanyakkan berselawat, berqasidah, membaca sejarah kehidupan Baginda, membahagikan makanan dan bersedekah. Kesemua ini adalah perbuatan atau amalan yang baik dan berfaedah serta tidak berdosa, jika tidak diselitkan dengan perkara-perkara yang diharamkan ketika menyambutnya atau merayakannya.



Syabas kepada mereka yang sangat mencintai Rasulullah saw. Semoga sinarnya menjadi cahaya yang berterusan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >