Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Ilmu falak amat penting dalam syariah Islam

Feb 14, 2021 | 05:30 AM



PERNAH satu ketika dulu, ada seorang guru agama yang mempunyai ramai anak murid. Tetapi salah seorang daripada mereka agak pelik sedikit.



Ketika anak murid lain ghairah bertanya soalan itu dan ini kepada guru mereka, murid berkenaan diam seribu bahasa, tidak pernah ajukan walau satu soalan pun.



Lama-kelamaan, sang guru tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya lalu dia bertanya murid itu:



"Kenapa engkau diam dan tidak pernah tanya soalan? Kalau tidak faham, tanyalah."



Si anak murid itu masih membisu.



Guru itu rasa gelisah. Pelajar ini bisu ke? Atau sudah cukup faham? Atau tidak faham langsung ilmu yang disampaikan?



Akhirnya, si guru paksa murid itu untuk mengajukan satu soalan.



Anak murid itu diam sebentar. Kemudian dia keluarkan suaranya dalam majlis ilmu itu buat pertama kalinya:



"Wahai guru! Orang yang berpuasa perlu buka puasanya ketika matahari terbenam. Bagaimana kalau matahari tak terbenam? Bila boleh buka puasa?"



Si guru terperanjat apabila mendengar soalan itu lalu dia pun ketawa dan diikuti dengan deraian ketawa pelajar-pelajar lain.



Dia pun cakap dengan anak muridnya itu:



"Sudahlah. Lebih baik kau diam sahaja. Soalan engkau rupanya tak masuk akal."



Kisah benar ini memberikan kita beberapa pengajaran.



Antaranya ialah, sebagai guru, seseorang itu tidak boleh terus ketepikan, apatah lagi mempersendakan soalan yang diajukan oleh pelajar. Kerana soalan yang diajukan mungkin di luar jangkauan ilmu guru tersebut.



Kita semua sedia maklum bahawa di kawasan kutub utara dan kutub selatan bumi, matahari tidak akan tenggelam sepanjang musim panas.



Maka soalan pelajar itu amat relevan.



Mengapakah sang guru dengan cepat menganggap soalan pelajar itu tidak masuk akal?



Sebabnya ialah dia kemungkinan besar tidak belajar ilmu falak.



Ilmu falak, atau ilmu astronomi, dalam kajian tradisional ilmu Islam bukan sahaja membahaskan berkenaan pergerakan jirim-jirim di angkasa lepas seperti bulan dan matahari, malah ia juga merangkumi ilmu yang dikenali sekarang sebagai ilmu geografi fizikal.



Bidang ilmu ini amat penting dalam syariat. Malah, boleh dikatakan bahawa empat daripada rukun Islam kita bergantung kepada ilmu ini dalam pelaksanaannya.



Solat merupakan rukun kedua Islam. Ia amat penting. Tetapi pelaksanaannya memerlukan pengetahuan tentang waktu dan arah. Bila hendak dikerjakan? Arah mana kiblat ketika hendak kerjakan?



Ini memerlukan ilmu falak.



Puasa dalam bulan Ramadan sudah pasti memerlukan penentuan bila bulan itu bermula. Dan permulaan bulan dalam Islam bergantung kepada kedudukan anak bulan. Bila hendak lihat anak bulan itu? Arah mana hendak ditujukan penglihatan kita?



Ini juga memerlukan ilmu falak.



Begitu juga zakat dan haji. Bila dianggap satu haul sehingga zakat jadi wajib? Bila pula masuknya bulan Zulhijah sehingga boleh ditentukan waktu wukuf di Arafah?



Sudah pasti ini memerlukan ilmu falak.



Oleh kerana sebahagian daripada ilmu falak yang luas ini diperlukan untuk pengamalan syariat kita, maka bahagian tersebut dinamakan sebagai ilmu falak syar'i.



Ilmu falak syar'i tidak membahaskan berkenaan pergerakan bintang, planet dan lain-lain seperti dalam pembahasan ilmu astronomi.



Sebaliknya, ilmu falak syar'i hanya membahaskan perkara-perkara yang bersangkutan dengan syariat Islam.



Oleh itu, para ulama ilmu ini membahagikan pembahasan ilmu falak syar'i kepada lima bahagian:



  • Pembahasan berkenaan kalendar Islam dan Masehi

  • Pembahasan berkenaan waktu solat

  • Pembahasan berkenaan arah kiblat

  • Pembahasan berkenaan anak bulan

  • Pembahasan berkenaan gerhana

Kelima-lima pembahasan di atas terkait rapat dengan amalan kita sebagai orang lslam.



  • Penulis ialah Pengurus Pusat Pengajian Darul Huffaz dan Pengarah Syariah Consultancy. Beliau menyambung pendidikannya di Universiti Al-Azhar dan mendapat ijazah sarjana muda dalam Bahasa Arab dan Sastera. Setelah itu, beliau mengambil ijazah sarjana dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ijazah Doktor Falsafah dalam Sains Islam pula beliau perolehi dari Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam (ISTAC), UIAM. Selain itu, beliau juga memiliki sijil Ilmu Falak dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu (kini dikenali sebagai Universiti Darul Aman Terengganu).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >