Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

Jaga, hormati warga emas ajaran yang mesti dipegang teguh

Masjid An-Nur baru-baru ini menerbitkan satu video yang merumuskan semua kegiatan dan pencapaiannya pada 2023 di samping membentangkan visi bagi 2024. Antara program yang bakal diberikan penekanan pada 2024 adalah membangunkan program pendidikan kanak-kanak cara Islam serta usaha mendekati serta menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan warga senja. Minggu ini, ia berkongsi visinya memberikan sokongan holistik kepada warga emas, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar umat Islam yang dihormati dan dihargai.
Dec 29, 2023 | 05:30 AM



USTAZ MUHAMMAD UMARUDDIN ZAINUDDIN


Hakikat fitrah bagi kejadian setiap insan akan melalui beberapa proses fasa kehidupan – bermula fasa bayi dalam kandungan sehingga fasa penuaan.

Perubahan fasa ini merupakan lumrah yang akan dilalui oleh setiap manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An-Nahl, ayat 70: “Dan Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia (manusia itu) tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”


Daripada perspektif Islam, usia emas bukanlah satu masalah atau bebanan. Sebaliknya, ia merupakan satu proses normal dan ia perlu diuruskan sebaiknya agar matlamat akhir kehidupan ini untuk mendapatkan pengakhiran yang baik dan sejahtera.

Warga emas merupakan golongan masyarakat yang perlu mendapat perhatian istimewa, sejajar dengan ajaran Islam yang menggalakkan kita memperlakukan mereka dengan penuh hormat dan kasih sayang.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Isra ayat 24: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil.’”


Tuntutan berbuat baik dan mengasihi ini tidak terbatas hanya kepada ibu bapa sendiri sahaja. Bahkan termasuk juga kepada orang yang lebih dewasa atau warga emas, sama ada mereka ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak.

Sesungguhnya warga emas juga mempunyai hak untuk mendapatkan kasih sayang dan penghormatan dengan menjaga hak-hak mereka. Dalam sebuah hadis juga menekankan kepentingan berbuat baik kepada warga emas.

Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.” (HR At-Tirmidzi).


Pesanan ini menggariskan bahawa menghormati warga emas adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang mesti dipegang teguh.

Dalam kehidupan harian, kita harus memastikan bahawa warga emas di sekeliling kita berasa kepentingan dan kasih sayang daripada sesebuah masyarakat. Ini termasuk memberi perhatian kepada keperluan mereka, sama ada fizikal atau emosi, serta memberikan sokongan moral.

Allah swt berfirman: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia sahaja dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah Al-Isra, ayat 23).


Sejajar dengan usaha ini, Masjid An-Nur berusaha memberikan sokongan holistik kepada warga emas, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar umat Islam yang dihormati dan dihargai.

Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim, menjelaskan:

“Komitmen terhadap kesejahteraan warga emas ini bukan sahaja terbatas pada aktiviti tertentu, malah mencakup keseluruhan gaya hidup dan keterlibatan dalam komuniti.

“Kami memahami bahawa kesejahteraan warga emas melibatkan lebih daripada aspek keagamaan. Oleh itu, setiap inisiatif yang dijalankan diarahkan untuk memberikan pengalaman yang bermakna dan memastikan warga emas berasa dihargai.”

Daya usaha yang diadakan Masjid An-Nur bagi memastikan kesejahteraan warga emas termasuk:

1. Adakan tadarus Al-Quran


Setiap pagi Isnin, mengadakan sesi tadarus Al-Quran untuk mendorong jemaah, khususnya warga emas, agar mendekatkan diri dengan Al-Quran.

Ini selaras dengan ajaran Al-Quran yang menekankan pentingnya memahami dan mengamalkan ayat-ayat di dalamnya.

2. Amalkan gaya hidup sihat
melalui senaman ‘zumba’


Setiap Rabu, warga emas diajak menyertai sesi senaman ‘Zumba Gold’ untuk menggalak gaya hidup sihat dalam suasana masjid.

Kegiatan ini bukan hanya berbentuk senaman ringan, bahkan menjadi wadah sosial bagi membolehkan warga emas berinteraksi antara satu sama lain.

Suasana mesra dan ceria yang diciptakan membantu menghilangkan rasa sunyi dan memberikan kegembiraan kepada mereka.

Daya usaha ini tidak hanya menyumbang kepada kecergasan fizikal, malah kepada kecergasan sosial dan mental warga emas.

3. Program Keluarga Syifa
untuk cergaskan minda


Program ini bertujuan mencergaskan dan mencerdaskan minda warga emas.

Ia merupakan langkah positif untuk mengatasi cabaran kesihatan mental dalam kalangan warga emas. Kegiatan yang merangsang fikiran seperti permainan minda, seni kreatif, dan sesi perbincangan bertujuan membantu menjaga kesihatan mental mereka dan mencegah penyakit demensia. Ia antara usaha masjid bagi meningkatkan mutu hidup warga emas.

4. Komitmen sebagai program
utama masjid


Masjid An-Nur komited menjadikan program warga emas tumpuan utama masjid. Ini melibatkan penyediaan perkhidmatan yang mencakup aspek keagamaan, fizikal, dan mental bagi memastikan kesejahteraan menyeluruh warga emas dijaga.

Menurut Encik Juraiman lagi, komitmen Masjid An-Nur terhadap program warga emas bukan sekadar tumpuan sementara, bahkan disepadukan sebagai bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada identiti masjid.

“Menjadikan program warga emas di antara fokus utama menunjukkan perhatian dan lanjutan dalam menyokong kesejahteraan mereka.

“Kami berharap inisiatif ini dapat dijadikan contoh oleh masyarakat setempat mengenai pentingnya menjaga serta menghargai warga emas dan bagaimana menyentuh hati dengan memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka mengikut ajaran Islam.

“Dengan itu, kita diingatkan supaya terus mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang dalam menjaga generasi yang telah melalui pelbagai pengalaman dan memberikan sumbangan yang berharga kepada masyarakat,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >