Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Singapura, menjaga keharmonian dan merujuk panduan syariah dalam bermuamalah adalah sangat penting.
Kita boleh ambil pengajaran dan adab-adab yang dapat kita contohi daripada apa yang diajar oleh Allah swt daripada sejarah kehidupan Baginda Rasulullah saw apabila berdepan dengan isu-isu keharmonian yang kadangkala mencetuskan tidak kesefahaman dalam kalangan masyarakat sekeliling.
Masyarakat Bertakwa
Dalam kehidupan kita sebagai Muslim, kita dituntut untuk sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.
Dalam pelaksanaan ibadah dan dasar prinsip ajaran Islam, penting untuk kita menerapkan dua unsur yang menjadi teras jati diri seorang Muslim; hikmah dan akhlak mulia.
Kededua unsur tersebut boleh kita dapati pada diri Rasulullah saw.
Pertama dalam sabdanya yang bermaksud: Hikmah (kebijaksanaan) adalah barang berharga yang hilang bagi orang yang beriman. Di mana saja dia menemukannya, dia lebih berhak terhadapnya. (HR At-Tirmidzi dan Ibn Majah).
Kedua, firman Allah swt yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al-Ahzaab:21).
Rasulullah saw telah menunjukkan dan membuktikan kepada kita bahawa akhlak yang mulia digandingkan dengan hikmah adalah satu resepi dakwah yang berjaya dan berkesan.
Cerminan diri kita merupakan lambang nilai-nilai keislaman yang kita bawa ke mana-mana dan menjadi satu pancaran yang disaksikan oleh mata dunia.
Setiap perbuatan dan reaksi kita terhadap sesuatu perkara akan meninggalkan kesan di dalam kehidupan kita bermasyarakat.
Allah swt berfirman: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat:13).
Ayat di atas menunjukkan bahawa sudah menjadi lumrah kehidupan akan adanya kepelbagaian bangsa dan latar belakang.
Namun ia bukan menjadi satu alasan untuk kita mengasingkan diri atau membenci satu sama lain bahkan kepelbagaian ini bermakna kita perlu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain.
Kemesraan terhadap kepelbagaian juga dapat kita tafsirkan dengan memberi kebaikan, penghormatan serta menjauhi apa-apa yang boleh merosakkan pertalian kemanusiaan itu.
Dengan demikian, kepelbagaian yang ada perlu dilestarikan dan dijaga keharmonian dan keamanannya dan ini perlu kita fahami bahawasanya ia juga adalah tuntutan dan termasuk salah satu prinsip agama Islam.
Firman Allah swt yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujuraat:11).
Menjaga keharmonian sesama juga bererti menjaga maslahat semua serta menjauhi segala perkara yang boleh mencemarkan atau menggugat maslahat tersebut.
Terdapat banyak contoh daripada sirah Baginda saw bagaimana maslahat sesebuah ummah atau masyarakat perlu dititikberatkan dan dijaga untuk kebaikan jangka masa panjang dan generasi yang akan datang.
Bukan itu sahaja. Setiap perkara yang Baginda saw lakukan dibentengi dengan hikmah dan akhlak mulia. Sesuai dengan ini, amat penting bagi kita fahami bahawa setiap Muslim mempunyai peranan besar dalam menjaga kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Perkara ini juga selari dengan Maqasid Syariah Islamiah iaitu tujuan dan matlamat syariah Islam.
Imam Ibn Qayyim menjelaskan: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam seluruhnya itu adalah keadilan, kebaikan dan hikmah. Maka setiap perkara yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, daripada kebaikan kepada kerosakan, daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukanlah syariah sekalipun diberikan takwilan tersebut untuknya.” (I’lamu al-Muwaqqi’in).
Pada akhir ayat 13 surah Al-Hujurat (Al-Quran), Allah swt menekankan bahawa dalam kepelbagaian manusia yang telah diciptakan-Nya, kemuliaan sebenar diri seseorang terletak pada ketakwaannya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu”.
Setiap perkara yang kita ucapkan dan lakukan haruslah digandingkan dengan ketakwaan supaya tercapai kemuliaan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Ketakwaan ini jugalah yang melahirkan masyarakat Muslim yang berhikmah dan berakhlak mulia.
Apabila keharmonian terjaga, maslahat terpelihara dan ketakwaan menjadi tunggak masyarakat Islam kita, terbitlah daripadanya keamanan, kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh baik bagi kita dan masyarakat lain.
Masyarakat yang bertakwa juga akan diberkati dengan kemajuan dan terhindar daripada keburukan, kemudaratan serta kemunduran.
Maka itu antara amalan yang dibekalkan dan dicontohkan oleh Rasulullah saw pada dirinya sendiri dan untuk umatnya adalah doa:
“Ya Allah kurniakan pada diriku takwa dan sucikanlah ia; Engkaulah sebaik-baik Yang Mensucikannya, Engkaulah Pemiliknya dan Tuannya.”
Sekalipun Rasulullah saw seorang yang paling bertakwa, baginda masih memohon daripada Allah swt agar dikurniakan sifat takwa. Maka itu berdoa dan mendoakan adalah satu daripada ciri-ciri orang yang tawaduk seperti Rasulullah saw.
Adab Berziarah yang Wajar Diperhati
Agama Islam sangat menitikberatkan adab dalam setiap aspek kehidupan.
Bahkan adab dan akhlak yang baik sering dikaitkan dengan akidah dan keimanan yang kukuh. Rasulullah saw sering memesan bahawa keimanan yang sebenar kepada Allah swt dan Rasul-Nya perlu digandingkan dengan adab yang terpuji.
Sebagai contoh, Baginda saw mendidik kita bahawa orang yang beriman memelihara hubungan baik bersama orang lain iaitu jirannya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka ia berlaku baik kepada jirannya”. (HR Imam Muslim).
Begitu juga dengan amalan berziarah. Ia merupakan sesuatu yang baik dan dibolehkan. Namun masyarakat Islam perlu memerhatikan adab dalam berziarah agar ia memelihara hubungan, menjaga kedamaian, menyuburkan ikatan dan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah swt.
Di dalam kita mencari adab memasuki sebuah negara, kita boleh melihat adab menziarah rumah yang telah diaturkan oleh Allah swt.
Menurut seorang ulama, Profesor Quraish Shihab, rumah adalah tempat untuk berehat, berlindung dan juga tempat peribadi menjaga privasi. Ini adalah mirip dengan sebuah negara yang merupakan tempat menetap dan berlindung bagi sebuah masyarakat serta memiliki undang-undang yang khas dan sesuai dengan masyarakat itu.
Antara adab utama yang perlu diperhatikan adalah adab meminta izin.
Firman Allah swt: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nur:27-28).
Di sini jelas bahawa meminta izin daripada tuan rumah adalah wajib.
Malah Allah swt menjelaskan jika kita tidak diizinkan oleh tuan rumah dan disuruh pulang, kita harus menghormatinya. As-Sobuni di dalam Tafsir Ayat Al-Ahkam menerangkan perkataan ‘tasta’nisu’ bukan sahaja bererti meminta izin, tetapi juga bermaksud mengetahui kerelaan tuan rumah untuk menerima kehadiran tetamunya.
Hadis Rasulullah saw juga mendidik kita supaya memberi salam sebanyak tiga kali sebagai tanda meminta izin untuk berziarah. Sekiranya tiada jawapan selepas tiga kali salam, kita harus beredar.
Sabda Rasulullah saw: “Meminta izin masuk rumah adalah tiga kali, sekiranya diizinkan (masuklah), jika tidak maka pulanglah.” (HR Imam Muslim).
Berasa sedih dan kecewa apabila kehadiran kita ditolak adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun kita tetap perlu menjaga adab serta reaksi dalam berhadapan dengan keadaan sebegini.
Kita boleh mencedok pengajaran dan teladan daripada sejarah kehidupan Rasulullah saw.
Di dalam peristiwa Taif, kita mendapati masyarakat di Taif bukan sekadar tidak menerima kehadiran Rasulullah saw bahkan mengusir dan menyakiti Baginda.
Malaikat kemudian menawarkan kepada Baginda saw untuk membinasakan kaum tersebut dengan membalikkan gunung ke atas mereka.
Namun Rasulullah saw bukan sahaja menolak tawaran itu, bahkan mendoakan kebaikan buat mereka yang menolak seruannya.
Baginda saw bermohon: “Ya Allah tunjukkanlah kaumku ke jalan yang lurus, sesungguhnya mereka tidak mengerti.”
Sebagai masyarakat Islam, antara tanggungjawab sosial kita adalah untuk saling menghormati dan mengekalkan perpaduan sesama manusia termasuk menghormati keputusan untuk menjaga keamanan serta keharmonian.
Firman Allah swt: “Dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah menyukai orang yang memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah:195).
Imam Nawawi, dalam kitabnya Al-Azkar, mengajar kita berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu sebaik-baik apa yang pernah diminta oleh Nabi-Mu Muhammad saw, dan kami berlindung kepada-Mu daripada berbahaya yang Nabi-Mu Muhammad saw pernah berlindung kepada-Mu daripadanya, Engkaulah tempat meminta pertolongan dan Engkau pula yang menyampaikan, tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan-Mu.”