Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

RENCANA: MENGENANG ALLAHYARHAM USTAZ AHMAD SONHADJI

Kitab tafsir 30 juzuk Ustaz Ahmad Sonhadji selesai dalam 25 tahun

Tafsirnya mendalam dan padat dengan hujah ilmiah bawa masyarakat Islam fikir lebih mendalam lagi
Nov 19, 2021 | 05:30 AM



KARYA terbesar Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad adalah buku tafsir yang dinamakan, 'Abr Al-Athir, yang bermaksud menerusi udara.



Kitab tafsir tersebut merupakan kitab tafsir penuh 30 juzuk yang selesai disiapkan dalam jangka masa 25 tahun.



Nama kitab tafsir itu terkait dengan usaha beliau menyampaikan terjemahan al-Quran untuk satu program di Radio Singapura pada 1959. Program itu berjalan sehingga 1984.



Catatan-catatan beliau untuk program itu lantas dikembangkan menjadi tafsir dan selesai usaha pentafsiran dan dicetak pada 1993.



Kitab 'Abr Al-Athir dianggap sebagai antara kitab tafsir terbaik dan banyak diulang cetak dalam berbagai bahasa.



Ustaz Ahmad Sonhadji juga menulis buku asas mendirikan solat. Buku itu juga telah banyak kali diulang cetak dalam berbagai bahasa seperti bahasa Korea dan Sinhale.



Pada 2008, Ustaz Ahmad Sonhadji menandatangani memorandum persefahaman dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk mendermakan bahan-bahan penulisannya kepada arkib NLB untuk dimanfaatkan semua.



Koleksi penulisan Ustaz Ahmad Sonhadji menjangkau lebih daripada 1,000 cetakan tentang Islam dan pembangunannya di Singapura dan Nusantara.



Selanjutnya, lebih daripada 500 manuskrip termasuk khutbah-khutbahnya dan tafsir al-Quran.



Penolong Ketua Pejabat Mufti, Ustaz Mustazah Bahari, yang pernah membuat kajian tentang pemikiran Allahyarham semasa di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, RSIS berkata:



"Satu perkara yang amat dikagumi ialah penulisan lengkap tafsir al-Quran 30 juzuk.



"Bukan mudah untuk melakukannya lebih-lebih lagi di waktu yang tiada kemudahan Internet seperti hari ini.



"Tafsirnya bukan jenis 'ringan' tapi mendalam dan padat dengan hujah-hujah ilmiah yang membawa masyarakat Islam ketika itu untuk fikir lebih mendalam lagi.



"Bukan sekadar dengar kuliah dan ikut sahaja. Sehingga hari ini, belum ada asatizah yang mampu menulis tafsir 30 juzuk seperti beliau di Singapura.



"Saya sendiri apabila mengajar kuliah tafsir di masjid-masjid atau subjek ilmu tafsir di peringkat diploma dan sarjana muda, saya akan sarankan para pelajar untuk membaca dan merujuk kepada tafsir beliau.



"Ia setanding dengan kitab-kitab tafsir bahasa Arab sebenarnya."



Selain itu, usaha beliau untuk mencatat apa yang beliau sampaikan di radio dan khutbah-khutbah Jumaat menunjukkan kesungguhan beliau dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.



Menyingkap pertemuannya dengan Allahyarham, Ustaz Mustazah berkata:



"Pertama kali bertemu di majlis haflah Madrasah Aljunied ketika beliau menjadi tetamu kehormat.



"Tanggapan pertama memang jelas nampak beliau seorang yang simple dan mudah didekati.



"Pesanan beliau kepada para pelajar pun mudah difahami dan tidak berfalsafah.



"Seterusnya mengenali beliau lebih dekat apabila saya bertugas sebagai imam eksekutif di salah sebuah masjid di Singapura.



"Pertemuan yang diatur untuk para imam mendekati dan berbicara bersama ilmuan mapan Singapura.



"Kemudian apabila saya dilantik menjadi anggota RRG (Kumpulan Pemulihan Keagamaan), saya dapat peluang untuk lebih dekat dengan beliau dan berbincang banyak perkara mengenai pemikiran yang progresif dalam bidang agama."



Bagi ustaz, nama Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji itu sahaja sudah unik, lain daripada yang lain.



"Seorang tokoh ilmuan yang saya kagumi dan hormati. Sering dengar nama beliau sewaktu usia masih kecil lagi menerusi buku, Mari Bersembahyang, tetapi tidak pernah bersua muka.



"Seorang yang tawaduk dengan ilmunya, tidak meninggi diri dengan sesiapa pun khususnya yang jauh lebih muda daripadanya.



"Tidak pernah kedengaran beliau mempunyai konflik dengan para asatizah lain. Suka berkongsi ilmu dan pengalaman. Sikap progresif, berfikiran jauh dan kreatif. Tidak putus berkhidmat walaupun telah lanjut usia dan uzur. Semangat juang yang amat kental,'' ujar Ustaz Mustazah.



TOKOH ILMUWAN



Allahyarham merupakan seorang tokoh ilmuwan yang disegani di Singapura.



Sebagai seorang ilmuwan, beliau juga memainkan peranan penting di dalam membangunkan pendidikan Islam dan memupuk pembangunan para ulama di Singapura dan Nusantara.



Ustaz Ahmad Sonhadji adalah salah seorang pengasas pertama bagi pembentukan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) pada 1957.



Beliau juga memegang beberapa jawatan penting dalam Majlis Ulama Islam Singapura (Muis) dan merupakan seorang penasihat agama yang sangat dihormati.



Dilahirkan dalam keluarga agamawan, ayahnya, Mohamad Milatu Haromain dan ibunya Raden Ummi Salamah Anwar.



Selain daripada ibu dan ayahnya, beberapa anggota keluarga lain juga mahir dalam pengajian al-Quran dan pernah menjadi guru kepada Sultan Surakarta yang keempat.



Pada 1927, ayahnya membawanya ke Singapura, dan menetap di Pasir Gembur, berdekatan dengan Jalan Sultan.



Kemudian keluarganya berpindah pula ke Riau, Indonesia, di mana beliau mendapat ilmu agama ketika ayahnya bertugas sebagai guru agama di sana.



Pada usia 14 tahun, Ustaz Ahmad Sonhadji pulang ke Singapura dan mendaftar sebagai pelajar di Madrasah Aljunied.



Namun, pada 1941, Ustaz Ahmad Sonhadji pulang ke Rengat, Riau. Ketika di Rengat, beliau membangunkan sebuah madrasah sebagai pengasas bersama, yang bernama Perguruan Agama Islam Rengat.



Sekembalinya beliau ke Singapura, Ustaz Ahmad Sonhadji menyambung pengajiannya di Madrasah Aljunied sehingga tamat pada 1944.



BERTUGAS SEBAGAI TENAGA PENGAJAR



Selesai sahaja pengajiannya di Madrasah Aljunied, Ustaz Ahmad Sonhadji diberi tugas sebagai guru pelatih sebelum menjadi guru sepenuh masa di Madrasah Aljunied.



Ketika menjadi tenaga pengajar di sana, Ustaz Ahmad Sonhadji membentuk satu kumpulan nasyid. Beliau juga mengajar para pelajar bernyanyi dengan menggunakan nota-nota muzik.



Pada 1945, Allahyarham mengasaskan sebuah madrasah bernama Madrasah Bustanol Arifin, di Coronation Road.



Seterusnya, Ustaz Ahmad Sonhadji bertugas di Majlis Pengajian Islam, di bawah naungan Kementerian Pelajaran pada 1958 hingga 1960.



Beliau ditugaskan untuk melakarkan rancangan kurikulum bagi pembelajaran agama di Singapura.



Beliau juga banyak menulis dalam subjek agama dan digunakan sebagai buku teks di madrasah-madrasah setempat.



Pada 1966, Ustaz Ahmad Sonhadji berpindah ke Brunei apabila dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Menengah Arab Hassanul Bolkiah hingga 1970.



Sebuah lagu yang dicipta oleh beliau ketika di negara itu masih lagi dinyanyikan di beberapa sekolah di sana sebagai lagu rasmi mereka.



Hari ini, ada di antara anak-anak murid beliau memegang jawatan tinggi dan menjadi tokoh yang dihormati di Brunei.



Ustaz Ahmad Sonhadji kemudian pulang ke Singapura dan memegang beberapa jawatan penting.



Beliau kembali mengajar di Madrasah Aljunied pada 1971, dan kemudian dilantik menjadi pengetua madrasah dua tahun berikutnya. Beliau terus bertugas di Madrasah Aljunied sehingga 1980.



Pada 1980 juga, Ustaz Sonhadji dilantik menjadi imam di Masjid Muhajirin.



Dari situlah beliau terus mengajar di Masjid Muhajirin sehingga tamat perkhidmatan pada 2002.



Ketika bertugas di Masjid Muhajirin, beliau dilantik sebagai Pengerusi Madrasah Al-Irsyad.



Sebagai seorang ilmuwan yang progresif, Ustaz Sonhadji dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa Muis pada 1975, dan terus berkhidmat dalam jawatankuasa itu selama lebih 30 tahun.



Dalam menjalankan tugasnya, pemikiran beliau yang progresif itu mengajak semua ahli lain untuk mengeluarkan fatwa-fatwa unik seperti pendermaan organ, pengurusan wakaf dan kesucian air AirBaru.



Beliau juga merupakan penasihat RRG, sebuah kumpulan daripada kalangan asatizah yang tampil membantu memberi kaunseling agama kepada anggota kumpulan pengganas yang ditahan.



Beliau turut merangka manual bagi mengendalikan cara terbaik menolak tafsiran salah yang difahami oleh ahli-ahli kumpulan tersebut seperti konsep jihad.



Ustaz Ahmad Sonhadji meninggal dunia pada 12 Ogos 2010 pada usia 88 tahun akibat penyakit pneumonia.



Isterinya terlebih dahulu meninggal dunia pada 2001. Pasangan itu meninggalkan 10 anak, 32 cucu dan 28 cicit.




"Satu perkara yang amat dikagumi ialah penulisan lengkap tafsir al-Quran 30 juzuk.



Bukan mudah untuk melakukannya lebih-lebih lagi di waktu yang tiada kemudahan Internet seperti hari ini.



Tafsirnya bukan jenis 'ringan' tapi mendalam dan padat dengan hujah-hujah ilmiah yang membawa masyarakat Islam ketika itu untuk fikir lebih mendalam lagi.



Bukan sekadar dengar kuliah dan ikut sahaja. Sehingga hari ini, belum ada asatizah yang mampu menulis tafsir 30 juzuk seperti beliau di Singapura.



Saya sendiri apabila mengajar kuliah tafsir di masjid-masjid atau subjek ilmu tafsir di peringkat diploma dan sarjana muda, saya akan sarankan para pelajar untuk membaca dan merujuk kepada tafsir beliau.



Ia setanding dengan kitab-kitab tafsir bahasa Arab sebenarnya."
- Penolong Ketua Pejabat Mufti, Ustaz Mustazah Bahari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >