Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Masyarakat harus tingkat kefahaman cara agih harta pusaka

Oct 30, 2022 | 06:35 AM



DENGAN meningkatnya pemilikan aset dan harta di kalangan masyarakat Islam, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kefahaman yang mendalam tentang pengagihan harta pusaka.



Peguam, Encik Ahmad Nizam Abbas, berkata ini penting dalam memastikan masyarakat mempunyai perancangan pengurusan harta semasa hidup dan pembahagian harta selepas kematian pemilik harta.



Beliau yang juga pengarah urusan firma guaman Crescent Law Chambers LLC itu berkata:



"Memandangkan semakin ramai masyarakat Islam memiliki lebih banyak aset selain daripada rumah harta sepencarian, saham, hartanah di luar negara, beberapa akaun bank dan lain-lain kekayaan, terdapat keperluan serta permintaan dalam perancangan harta pusaka yang lebih canggih.



"Ramai di antara mereka yang mendapatkan nasihat daripada firma guaman kami adalah di kalangan mereka yang berusia masih muda dan mempunyai anak termasuk anak angkat.



"Mereka mahu memastikan masa depan anak-anak mereka terjamin dengan mempunyai pengetahuan dalam faraid, wasiat atau hibah.''



Namun, Encik Ahmad Nizam berkata walaupun terdapat peningkatan kesedaran tentang undang-undang harta pusaka Islam di kalangan masyarakat berbanding 30 tahun lalu, kebanyakannya mempunyai pengetahuan yang cetek terhadap ilmu faraid serta pengagihan harta ini.



"Bagi kebanyakan orang, pemahaman mereka terhadap faraid hanyalah bahawa lelaki mendapat lebih daripada perempuan.



"Ini berlaku walaupun terdapat bilangan ceramah dan forum mengenai harta warisan telah dianjurkan pelbagai pihak. Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) sendiri telah menganjurkan beberapa siri forum untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat pada beberapa tahun yang lalu,'' kata Encik Ahmad Nizam.



Menurut beliau, kesedaran terhadap faraid itu masih ada jika dilihat daripada pertanyaan yang dibuat di firma guamannya.



Secara purata, firmanya mendapat pertanyaan daripada orang awam beberapa kali seminggu seperti bertanya tentang cara untuk melakukan wasiat.



Mereka juga katanya ingin memastikan wasiat yang mereka lakukan itu mengikut lunas undang-undang Islam.



"Ada yang beritahu kami bahawa mereka ingin kami melakukan wasiat tetapi tidak mahu mengikut aturan undang-undang Islam seperti keperluan agihan satu pertiga atau dua pertiga.



"Namun kami terangkan kepada mereka bahawa terdapat pilihan lain selain wasiat seperti hibah atau membentuk badan amanah.



"Selepas mereka menyedari penyelesaian lain ini, mereka akan mempertimbangkan semula penyelesaiannya dan meminta kami untuk menyusun perancangan harta pusaka mereka yang mematuhi syariat Islam.



"Ada juga yang ingin memberikan sumbangan kebajikan kepada masjid atau rumah anak yatim sebagai pelaburan dunia akhirat,'' kata Encik Ahmad Nizam.



Menurut beliau lagi, yang penting adalah untuk memastikan dokumen peninggalan harta pusaka itu tertakluk dalam dua undang-undang, Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan juga sivil.



Beliau menukil kes di Mahkamah Tinggi antara Haja Maideen Mohd Ali Maricar dengan Roshan Begum Md Ali M pada tahun 2017 di mana penggunaan hibah untuk memberikan hak milik sebuah flat HDB kepada orang lain, tidak diterima mahkamah. Ini kerana undang-undang HDB tidak membenarkan seseorang itu menghadiahkan hak miliknya kepada orang lain tanpa persetujuan HDB.



Oleh itu, hibah yang dibuat oleh arwah dalam kes itu kepada anak perempuannya (yang bukan pemilik bersama flat itu), tidak sah. Ini mungkin berbeza jika arwah dan anaknya adalah hak pemilik bersama flat itu.



Justeru, Fatwa 2019 memperjelaskan kedudukan hak milik bersama dari segi Islam dan lantas, pemilik hartanah tidak perlu lagi membuat hibah atau nuzriah.



Hak pemilikan hartanah dari segi undang-undang ada dua jenis. Pertama adalah hak milik bersama atau 'joint tenancy' di mana kesemua pemilik bersama memiliki keseluruhan hartanah tersebut tanpa dibezakan bahagian antara keduanya.



Kedua adalah 'tenancy-in-common' yang merupakan bentuk pemilikan di mana setiap pemilik mempunyai bahagiannya masing-masing yang jelas, serta terpisah daripada pemilikan yang lain, jelas Encik Ahmad Nizam.




BEZA ANTARA WASIAT DENGAN HUKUM FARAID



Faraid dan wasiat merupakan mekanisme penting berkaitan agihan harta dalam Islam.



Faraid merujuk kepada pemberian bahagian-bahagian tertentu kepada waris selepas kematian pewaris, manakala wasiat ialah perakuan sumbangan atas suatu hak yang disandarkan pemberiannya selepas berlaku kematian pemberinya.



HUKUM FARAID



Faraid adalah satu hukum pewarisan harta pusaka bagi orang Islam yang telah dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran daripada surah al-Nisa'.



Hukum faraid menetapkan formula tertentu melibatkan kadar harta pusaka yang perlu diagihkan kepada waris.



Ianya adalah mengenai siapa yang berhak terhadap harta peninggalan tersebut dan berapa bahagian yang ditetapkan bagi setiap waris yang layak.



Enam pecahan menjadi formula faraid utama iaitu satu perdua (1/2), satu perempat (1/4), satu perlapan (1/8), dua pertiga (2/3), satu pertiga (1/3) dan satu perenam (1/6).



Syarat bagi menerima faraid ini adalah mempunyai pertalian darah; seorang Muslim dan; mempunyai pertalian perkahwinan.



Mereka yang berhak mewarisi harta si mati mengikut hukum faraid merupakan waris utama yang berhak untuk mewarisi harta si mati dengan syarat mereka beragama Islam.



Mereka adalah suami, isteri, ibu bapa; dan anak-anak yang sah.



Golongan yang tidak dianggap sebagai waris serta tidak layak mewarisi harta si mati mengikut hukum faraid adalah anak angkat; ibu bapa angkat; ahli keluarga yang bukan beragama Islam



KEPENTINGAN WASIAT



Wasiat merupakan satu dokumen yang berkuatkuasa selepas kematian.



Kepentingan utama penulisan wasiat, adalah untuk melantik wasi atau pentadbir bagi memastikan aset dapat dicairkan dan diuruskan serta diagihkan kepada waris.



Wasiat juga boleh melantik penjaga harta anak di bawah umur atau untuk orang kurang upaya selepas meninggal dunia.



Melalui wasiat juga, anda boleh membuat pemberian kepada mereka yang bukan waris faraid termasuk pemberian infak selepas meninggal dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >