Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Perlukah saya lakukan korban setiap tahun?

Ustaz Muhammad Imran perjelas pengertian, kepentingan dan adab laksanakan korban
Jun 01, 2023 | 03:52 PM



KEDATANGAN Zulhijah, yang bakal menjelang tidak lama lagi, mengingatkan kita kepada haji, satu ibadah yang difardukan sekali seumur hidup ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya.

Walaupun majoriti umat Islam di seluruh dunia tidak dapat menunaikan haji pada tahun yang sama, ramai pastinya mampu melakukan korban iaitu menyembelih haiwan sebagai ibadah.

Sejarah ibadah korban ini mengembalikan kenangan kita kepada kisah Nabi Ibrahim as ketika baginda bermimpi mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as.


Allah swt menerangkan kisah ini dalam Al-Quran dengan firman-Nya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Surah As-Saffaat, 37:102).


Dalam Islam, kita percaya bahawa mimpi para nabi dianggap sebagai wahyu yang mesti dipatuhi.

Dalam konteks ini, apabila Nabi Ibrahim as meminta pandangan anaknya, ia tidak menunjukkan baginda meragui perintah Allah. Pada masa yang sama, Nabi Ibrahim as tidak memaksa Nabi Ismail as menerimanya tanpa sebarang komunikasi yang baik.


Perbualan antara mereka berdua menunjukkan etika Nabi Ibrahim kerana cinta yang mendalam terhadap anak kesayangannya, dan, yang paling utama, ketaatan mereka kepada Allah swt.


DEFINISI KORBAN DAN KEPENTINGANNYA

Perkataan korban berasal daripada bahasa Arab qaruba yang bermaksud dekat. Ia menandakan kedekatan kepada Allah swt melalui sebarang bentuk ibadah atau perbuatan baik.


Istilah korban merujuk kepada ibadah yang dilakukan selepas matahari terbit pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan berakhir apabila terbenam matahari pada hari terakhir Tasyrik (13 Zulhijah). Ia juga dipanggil udhiyyah seperti yang biasa digunakan dalam tradisi Islam.


Antara fadilat melaksanakan korban adalah:

1. Sebagai tanda ketaatan dan keikhlasan


Melaksanakan korban demi memperingati ibadah Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as kerana mereka ikhlas memperhamba diri di hadapan Allah swt.


Umat Islam melakukan korban sebagai membayangkan ketaatan mereka kepada agama yang menggalakkan ibadah khusus ini, yang seterusnya membawa manfaat yang melimpah kepada diri mereka dan masyarakat.

2. Memperoleh pahala yang melimpah ruah


Nabi saw bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang dikerjakan anak Adam (manusia) pada Hari Raya Aidiladha yang lebih dicintai oleh Allah daripada menyembelih haiwan. Haiwan itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kuku kakinya. Darah haiwan itu akan sampai di sisi Allah sebelum menitis ke tanah, maka bergembiralah untuk melakukannya.” (Sunan At-Tirmidzi).


3. Membantu golongan memerlukan


Pada musim haji, ramai umat Islam di seluruh dunia mengambil bahagian dalam menyembelih binatang korban dan mengagihkan daging kepada golongan yang memerlukan. Ibadah ini, secara tidak langsung, membantu mengurangkan masalah mendapatkan makanan.

Golongan memerlukan ini juga akan merasakan bahawa ada saudara Islam mereka – sama ada yang mereka kenal atau tidak – masih bersedia menghulurkan bantuan.

4. Menzahirkan rasa syukur


Seorang Muslim yang melaksanakan korban ialah seseorang yang memilih untuk mengetepikan sebahagian nikmat harta yang dikurniakan kepadanya atas tujuan mencari keredaan Allah swt.


Bersyukur bukan hanya dengan memuji Allah swt seperti ungkapan lisan “alhamdulillah”, malah dengan memanfaatkan nikmat kurniaan-Nya dengan baik.


5. Memupuk hubungan


Daging korban sering dimasak dan dihidangkan kepada anggota keluarga sohibul korban atau orang yang melaksanakan ibadah korban. Daging segar juga boleh dikongsi tanpa dimasak supaya penerima boleh memasak mengikut kehendak mereka.


Amalan baik seperti ini dapat menjalin hubungan lebih erat antara pelaksana dengan penerima, dan dengan itu, mereka akan mendapat manfaat dan membantu antara satu sama lain dalam banyak cara lain.

HUKUM KORBAN

Ibadah korban adalah sunah muakkadah (sangat dianjurkan) bagi yang mampu melaksanakannya. Ini berdasarkan hadis yang disebut lebih awal bahawa tidak ada amalan yang lebih dicintai Allah pada Hari Raya Aidiladha selain menunaikan ibadah korban.


Allah swt berfirman: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kawthar, 108:2).


Dalam satu lagi ayat, Allah swt berfirman: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah Al-Hajj, 22:37).


Perlu diperhatikan juga mereka yang sedang melaksanakan ibadah korban digalakkan tidak memotong kuku atau menggunting rambut sejak awal Zulhijah sehingga haiwan itu disembelih.

ADAKAH SAYA PERLU LAKUKAN KORBAN SETIAP TAHUN?

Menurut kebanyakan ulama, korban adalah ibadah yang sangat digalakkan (sunat muakkadah) untuk dilaksanakan setiap tahun bagi mereka yang mampu, kerana kebaikannya yang sangat besar. Bukan sahaja sohibul korban meraih pahala yang besar, bahkan ia juga akan memberi manfaat kepada anggota masyarakat, khususnya mereka yang diberi daging korban.


PERBEZAAN ANTARA KORBAN,

HADYU DAN AKIKAH

Selain korban, hadyu dan akikah adalah istilah lain yang melibatkan ibadah korban. Ketiga-tiganya boleh dibezakan dari segi ahkam (ketetapan) dan takrifan.


Korban


Seperti yang ditakrifkan, korban adalah ibadah korban pada hari-hari tertentu Zulhijah (dari 10 hingga 13). Ia adalah sunah muakadah (sangat dianjurkan), dan ia hanya akan diwajibkan jika diniatkan sebagai nazar.


Hadyu:


Hadyu pula dilakukan pada yawm an-Nahr (Hari Raya Aidiladha) oleh jemaah haji khususnya.


Hadyu secara amnya wajib ke atas jemaah haji yang mungkin telah memenuhi syarat-syarat tertentu semasa menunaikan haji atau umrah, atau tidak melakukan mana-mana manasik, seperti tidak berniat di miqat (sempadan di mana setiap jemaah haji memasang niat untuk menunaikan haji atau umrah).


Akikah


Akikah adalah penyembelihan haiwan untuk menyambut kelahiran anak. Ia tidak dikhususkan pada hari-hari tertentu dalam Zulhijah yang disebutkan sepertimana ibadah korban.

Malah, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam setahun. Bagaimanapun, hari terbaik melakukan akikah adalah pada hari ketujuh selepas kelahiran anak.

Jika ini tidak dapat dilakukan, ibu bapa masih boleh melakukannya pada bila-bila masa sebelum anak itu mencapai usia baligh.

Disunahkan menyembelih dua ekor kambing untuk bayi lelaki dan seekor kambing bagi bayi perempuan.

ADAB MELAKSANAKAN KORBAN


Islam adalah agama yang menggalak dan melindungi hak haiwan dan menentang sebarang bentuk kekejaman dan keganasan terhadap haiwan. Ini kerana haiwan adalah sebahagian daripada makhluk hidup di bumi sama seperti manusia.

Manusia juga mempunyai hak memastikan mereka memakan daging yang baik mengikut tuntunan Islam.

Oleh yang demikian, Islam menetapkan adab-adab tertentu dalam ibadah korban agar ia dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Berikut adalah beberapa etika ketika melaksanakan ibadah ini:

1. Menyebut nama Allah.

2. Haiwan itu mesti dijaga dengan baik sebelum dan semasa korban.

Ini termasuk dalam proses pengangkutan, diberi makanan dan minuman mencukupi, disediakan tempat perlindungan sesuai, dan tidak boleh dianiaya.

Sudahkah anda melaksanakan ibadah korban anda? Jika belum, anda boleh melayari https://korban.ourmasjid.sg/

Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam Masjid Al Ansar. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Islam Madinah. Beliau turut memiliki ijazah sarjana dalam bidang falsafah daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Rencana ini dipetik daripada artikel dalam bahasa Inggeris bertajuk The Meaning, Significance and Rulings of Qurban dalam portal Muslim.sg. https://muslim.sg/articles/the-meaning-significance-and-rulings-of-qurb…




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >