Umat Islam seluruh dunia baru sahaja memperingati dan meraikan kelahiran Baginda saw beberapa hari lalu. Justeru, sunah dan sejarah Nabi saw telah pun kita teladani dan peringati.
Dalam artikel kali ini, ingin saya ketengahkan perjuangan Baginda saw khususnya bagi golongan wanita yang telah memberi kesan positif sehingga hari ini.
Kaum wanita suatu ketika dahulu dianggap lemah, beban dan aib bagi masyarakat. Namun, Rasulullah saw membawa perubahan besar terhadap pandangan ini.
Nilai kasih dan sayang Baginda saw terhadap seluruh umat berjaya meretas ketidakadilan dan kekerasan terutamanya terhadap golongan wanita.
Usaha Nabi saw memperjuangkan hak kaum wanita dapat kita perhatikan dalam pelbagai ayat dan hadis.
Bermula daripada perlindungan nyawa wanita, yang boleh kita lihat daripada larangan membunuh bayi perempuan, sehinggalah peranan dan keutamaan wanita di sisi agama dan juga masyarakat.
1) Larangan bunuh bayi perempuan
Penguburan bayi perempuan secara hidup-hidup merupakan salah satu tradisi masyarakat Arab pada zaman jahiliah. Namun, Nabi saw datang dan menyampaikan ayat daripada Surah An-Nahl, agar mereka sedar akan tindakan mereka yang salah:
“Padahal apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam) dan dia sangat marah. Dia bersembunyi daripada orang ramai, disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan (menanggung) kehinaan atau akan membenamkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ingatlah alangkah buruknya (keputusan) yang mereka tetapkan itu.”
2) Layanan baik terhadap isteri
Firman Allah swt dalam Surah An-Nisaa’ ayat 19:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Selain itu, Nabi saw juga menggesa para sahabat supaya bertolak ansur terhadap kesalahan-kesalahan isteri mereka.
Baginda menjelaskan tabiat semula jadi seorang wanita, yang mana Allah swt telah menciptakan mereka. Rasulullah saw bersabda:
“Layanlah perempuan dengan cara terbaik. Sesungguhnya perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk dan paling bengkok sekali di bahagian pertama, sekiranya kamu cuba meluruskannya, ia akan patah dan sekiranya kamu biarkannya ia akan kekal bengkok. Maka layanlah mereka dengan cara terbaik.” (HR Bukhari).
3) Menumpas ketidakadilan
Nabi saw berjaya menumpas ketidakadilan terhadap golongan wanita antara lain tentang ketentuan waris dan pernikahan secara paksa.
Firman Allah swt dalam Surah An-Nisaa’ ayat 7:
“Bagi laki-laki ada hak bahagian daripada harta peninggalan kedua-dua orang tua dan kerabatnya dan bagi perempuan ada hak bahagian (pula) daripada harta peninggalan kedua-dua orang tua dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.”
Ayat ini menjelaskan bahawa ketentuan waris yang asalnya hanya hak kaum lelaki, kemudian diberikan juga kepada golongan wanita.
Nabi Muhammad saw adalah teladan bagi seluruh manusia, termasuk kaum wanita.
Justeru, Baginda mengajarkan keadilan, kasih sayang dan penghargaan terhadap kaum wanita dalam semua peringkat kehidupan.
1) Memuliakan anak perempuan
Nabi saw menegaskan tentang keutamaan mengasuh anak perempuan dalam hadis:
“Barang siapa yang mempunyai tiga anak perempuan, dia melindungi, mencukupi dan menyayanginya, maka wajib baginya syurga. Ada yang bertanya; bagaimana kalau dua orang anak wanita wahai Rasulullah? Beliau menjawab; dua anak wanita juga termasuk.” (HR Bukhari).
2) Mengagungkan ibu
Sabda Baginda saw:
“Ada seseorang datang menemui Nabi dan bertanya, “Wahai Rasulullah kepada siapakah aku selayaknya berbuat baik?” Beliau menjawab, “Kepada Ibumu!” Orang tadi bertanya kembali, “Lalu kepada siapa lagi?” Rasulullah menjawab, “Ibumu”, kemudian ia mengulangi pertanyaan dan Rasulullah tetap menjawab, “Kepada Ibumu!” Ia bertanya kembali, “Setelah itu kepada siapa lagi?” Beliau menjawab, “Kepada bapamu!” (HR Bukhari dan Muslim).
3) Memuliakan isteri
Hubungan antara suami dan isteri banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Quran dan juga hadis Baginda saw. Di antaranya termasuk perintah memuliakan para isteri dalam Surah An-Nisaa’ ayat 19:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik”.
Apabila disebut tentang peranan wanita dalam agama dan juga masyarakat, dua wanita berpengaruh menjadi tumpuan.
Sayidatina Khadijah ra dan Sayidatina Aisyah ra merupakan tokoh wanita bersejarah yang menyumbang kepada kemajuan Islam.
Sayidatina Khadijah, isteri pertama Baginda saw, menyokong dan mempertahankan dakwah Baginda saw di Makkah di kala tiada siapa yang mempercayainya.
Bukan sahaja beliau menjadi inspirasi kepada para isteri, malah beliau juga berbakti dalam bidang perniagaan. Dengan segala hartanya, beliau berjihad dan bantu meringankan beban orang Muslim pada waktu itu.
Sayidatina Aisyah ra merupakan di antara yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi saw. Dengan lebih 2,000 hadis, isteri terakhir Baginda saw ini menjadi rujukan – kepada kedua-dua wanita dan lelaki – dalam mengenal pasti kesahihan hadis Nabi.
Kehebatannya dalam ilmu hadis menjadi inspirasi kepada kaum wanita untuk berkhidmat dari segi pendidikan dan dakwah.
Maka dengan penglibatan wanita yang semakin maju dan rancak dalam masyarakat, ummahatul mukminin (wanita yang dinikahi oleh Nabi saw) menjadi teladan akan pentingnya peranan kaum wanita dalam melaksanakan hak dan tanggungjawab kepada agama, keluarga dan masyarakat.
Kesimpulannya, dengan kita berada dalam bulan kelahiran Baginda saw, marilah sama-sama kita merayakan sunah-sunahnya dan mengambil contoh daripada keadilan dan kehormatannya terhadap kaum wanita, Allahu A’lam.
“
Layanlah perempuan dengan cara terbaik. Sesungguhnya perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk dan paling bengkok sekali di bahagian pertama, sekiranya kamu cuba meluruskannya, ia akan patah dan sekiranya kamu biarkannya ia akan kekal bengkok. Maka layanlah mereka dengan cara terbaik.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg