Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Sedekah: Siapa harus diutama?

Jan 06, 2022 | 05:30 AM



APABILA melungsuri media sosial hari ini terdapat banyak iklan atau kempen yang meminta sumbangan sedekah bagi pelbagai tujuan - membina masjid, mengurus madrasah, bantuan mangsa bencana dan bahkan dana untuk merawat individu yang kesusahan.



Sebagai orang Islam yang sedar pentingnya bersedekah, tentu berasa terpanggil untuk sama-sama membantu, lebih-lebih bagi mereka yang menyedari betapa terdapat banyak ayat al-Quran tentang sedekah, infak dan keutamaannya.



Disebutkan dalam hadis bahawa pintu syurga akan terbuka bagi mereka yang ikhlas bersedekah atau infakkan hartanya ke jalan Allah atau untuk membantu sesama insan yang sedang kesusahan.



Sedekah atau "shodaqoh" berasal daripada kata "shadaqa" yang bererti jujur, benar, memberi dengan ikhlas, justeru secara tidak langsung menggambarkan ketelusan dan kejujuran pemberi semata-mata kerana Allah swt.



Namun kepada siapakah kita harus memberi keutamaan dan bersedekah? Bentuk sedekah yang bagaimana pula yang paling digalakkan sesuai dengan ajaran Islam?



Pendakwah bebas Singapura, Ustaz Akhmudi Sarkiman, yang pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran dan Dakwah Masjid Alkaff Upper Serangoon dan Ketua Pendidikan Masjid Darul Aman, ketika diminta mengulas telah menghuraikan bentuk sedekah yang paling disukai Allah swt.



"Seperti yang kita lihat, terdapat banyak bentuk sedekah. Sedekah semuanya baik, tetapi masing-masing mempunyai fadilat dan nilai yang berbeza, bergantung kepada niat, keadaan orang yang bersedekah dan sasaran sedekah," kata Ustaz Akhmudi, lulusan Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Ibn Khaldun Bogor, Indonesia yang kini sedang mengikuti calon Doktor Falsafah Pengajian Islam.



Beliau menggariskan beberapa bentuk sedekah seperti berikut"



SEDEKAH 'SIRRIYYAH'



Sedekah sirriyyah adalah sedekah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi.



Sedekah ini sangat utama kerana lebih mendekati ikhlas dan selamat daripada sifat riyak.



Allah swt berfirman dengan maksud:



"Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al-Baqarah: 271)



"Perlu diingat, perkara utama yang perlu disembunyikan ialah sedekah kepada fakir dan miskin. Ini kerana terdapat banyak jenis sedekah yang wajib ditunjukkan seperti membina masjid, membina sekolah, jambatan, membina telaga dan sebagainya," ujarnya.



Antara hikmah menyembunyikan sedekah kepada fakir miskin ialah menutup aib saudara kita yang miskin sehingga tidak nampak dalam kalangan manusia dan tidak diketahui kekurangannya.



Tidak diketahui bahawa tangannya ke bawah dan dia seorang yang tidak memilikinya. Ini adalah nilai tambah dalam melakukan ihsan kepada fakir miskin.



Oleh itu, Rasulullah saw memuji sedekah sirriyyah, memuji pelakunya dan memberitahunya bahawa dia adalah salah satu daripada tujuh golongan yang akan dinaungi Allah kelak pada hari kiamat.



SEDEKAH DI WAKTU SIHAT



Bersedekah dalam keadaan sihat adalah lebih utama daripada berwasiat ketika hampir mati, atau ketika sakit tenat dan sukar untuk mengharapkan kesembuhan.



Jika dia bersedekah dalam keadaan sihat, itu adalah bukti keikhlasan niatnya dan kecintaan yang besar kepada Allah swt.



Inilah yang menjadikan bersedekah ketika sihat adalah sedekah yang utama dan besar pahalanya.



Ini berbeza dengan mereka yang sudah tiada harapan untuk kesihatan. Sedangkan dia melihat hartanya akan menjadi milik orang lain, maka ketika itu sedekahnya adalah kekurangan.



Oleh itu, bersedekah ketika sihat adalah bahagian penting yang mesti kita lakukan dalam hidup ini.



Selain itu, bersedekah ketika kita sihat adalah sama dengan mensyukuri nikmat kesihatan. Itu kerana bukti mensyukuri nikmat kesihatan adalah menggunakan nikmat sihat dengan melakukan ketaatan kepada-Nya, salah satunya mengisi nikmat sihat dengan banyak bersedekah.



Sebahagian lagi, bersedekah ketika sihat dianggap sebagai keutamaan kerana kebanyakan manusia sering melupakan nikmat kesihatan, sebagaimana sabda Rasulullah saw:



"Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu, iaitu kesihatan dan masa lapang." (Riwayat Bukhari).



SEDEKAH KEPADA KELUARGA (NAFKAHI ANAK-ISTERI)



Bersedekah kepada keluarga termasuk sedekah yang paling utama. Disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah saw menjelaskan:



"Ada dinar yang kamu infakkan di jalan Allah, dinar yang kamu infakkan untuk memerdekakan budak dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin. Namun dinar yang kamu keluarkan untuk keluargamu (anak-isteri) lebih besar pahalanya." (HR. Muslim)



SEDEKAH KEPADA KERABAT TERDEKAT



Disebutkan bahwa Abu Thalhah ra memiliki kebun kurma yang sangat indah dan sangat dia cintai, namanya Bairuha'.



Ketika turun ayat: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (QS. Ali Imran: 92)



Maka Abu Thalhah datang kepada Rasulullah saw dan berkata bahawa Bairuha' diserahkan kepadanya, untuk digunakan menurut kehendaknya.



Rasulullah saw menyarankan agar ia membagikan Bairuha' kepada kaum kerabatnya. Maka Abu Thalhah melakukan apa yang Nabi saw anjurkan dan membahagikannya kepada kerabat dan anak saudaranya. (HR. Bukhari dan Muslim)



SEDEKAH JARIAH



Sedekah jariah ialah sedekah yang pahalanya terus mengalir walaupun telah meninggal dunia.



Nabi saw bersabda: "Jika seorang anak Adam meninggal, maka terputuslah seluruh amalnya kecuali tiga hal, sedekah jariah, ilmu yang manfaat, dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya". (HR. Muslim)



Termasuk dalam sedekah jariah ialah wakaf, pembinaan masjid, madrasah, penyediaan kemudahan air bersih, menggali telaga, menanam pokok agar buahnya dapat digunakan oleh ramai orang dan projek lain yang digunakan secara mampan oleh masyarakat.



Fadilat atau kelebihan bersedekah, kata Ustaz Akhmudi, meliputi kehidupan di dunia dan juga di akhirat.



Andai ganjaran bersedekah itu terlihat di hadapan mata, pasti semua orang tidak akan berhenti untuk menghulurkan sedekah.



Firman Allah swt yang bermaksud:



"Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik di mana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah" (Al-Baqarah: 272).



Amalan bersedekah akan mendapat keberkatan dalam hidup dan tambahan rezeki.



Seperti dalam hadis: "Barangsiapa yang menafkahkan hartanya akan diberi keberkatan daripadanya."



Dalam hadis yang lain disebutkan, "Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR Muslim).



Rasulullah saw pernah bersabda: "Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan buruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya)." (HR Bukhari)




SEKILAS BIODATA



Ustaz Akhmudi Sarkiman yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran dan Dakwah, Masjid Alkaff Upper Serangoon dan Ketua Pendidikan Masjid Darul Aman, kini adalah seorang pendakwah bebas. Beliau lulusan Sarjana Pengajian Islam (Universiti Ibn Khaldun Bogor) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah Pengajian Islam.




KATA-KATA HIKMAH



"Daripada begitu banyak sahabat, dan tak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar."
- Umar Bin Khattab.



"Raihlah ilmu, dan untuk meraih ilmu belajarlah tenang dan sabar."
- Umar Bin Khattab.



LATAR BELAKANG UMAR BIN KHATTAB



UMAR Bin Khattab adalah salah seorang sahabat utama Nabi Muhammad saw.



Beliau merupakan khalifah kedua dan berkuasa pada tahun 634-644. dengan kekuatan besar di wilayah Timur Tengah pada masa kepemimpinannya.



Beliau pernah menakluki Kekaisaran Sasaniyah pada tahun 642-644, berhasil mengambil alih kepemimpinan Kekaisaran Romawi Timur.



Beliau juga termasuk golongan Khulafaur Rasyidin, yang mendapat julukan Al-Faruq dari Nabi Muhammad saw kerana kemampuannya memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan.



Kata-kata hikmah Umar Bin Khattab telah memberi inspirasi kepada ramai pengikuti Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >