Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Selami hikmah tersirat dalam solat

Oct 16, 2020 | 05:30 AM



SECARA dasar, solat menjadi suatu kewajipan bagi setiap manusia yang beragama Islam.



Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk." (2: 43)



Solat bukan sekadar ibadah ritual yang dijalankan hanya atas dasar kewajipan semata-mata.



Ia perlu disertakan dengan kefahaman, falsafah dan hikmah solat itu sendiri.



Dengan penghayatan mendalam, seseorang itu akan dapat menunaikan kewajipan dalam keadaan sungguh-sungguh dan memperolehi kebaikan, termasuk dari sudut sains, bagi setiap ibadah solat yang didirikan.



FALSAFAH SOLAT



Berasaskan sejarah permulaan perintah solat, Nabi Muhammad saw mula diajar cara bersembahyang oleh Malaikat Jibril ketika peristiwa Israk Mikraj.



Ustaz Mohamad Rais menjelaskan: "Falsafah solat mempunyai kaitan rapat dengan ketaatan seorang hamba terhadap tuhannya.



"Solat memberi gambaran seorang hamba yang patuh dan tunduk kepada penciptanya iaitu Allah swt.



"Sama ada diberi ganjaran atau tidak, itu bukan keutamaan yang difikirkan. Apa yang lebih penting adalah kita mentaati suruhan yang diberikan."



Menurut Ustaz, tujuan solat adalah untuk mengenali Allah swt. Apabila kita mengenali Tuhan kita, kita perlu menghormati dan mengangkat darjat-Nya.



Oleh sebab itu, solat merupakan perintah yang tidak sesekali dilonggarkan. Ertinya, kita tidak boleh dikecualikan daripada solat. Maka, sentiasalah menjaga ibadah solat mengikut keadaan masing-masing.



SETIAP PERGERAKAN PUNYA MAKSUD TERSENDIRI



Menurut Ustaz Mohamad Rais lagi, setiap pergerakan solat mempunyai kelebihan tersendiri.



"Lihat sahaja bentuk asas cara berdiri. Hanya manusia sahaja dikurniakan kelebihan berdiri dengan baik, berbanding haiwan-haiwan seperti lembu, kambing dan sebagainya.



"Jika kita berdiri di hadapan bos, kita pasti berdiri dalam keadaan yang penuh hormat.



"Jadi dengan Allah swt, kita perlu lebih bersungguh-sungguh sebagai tanda hormat kepada Sang Pencipta kita.



"Berdiri ini juga mempunyai adab 'muka bertemu muka'. Maksudnya, berdiri tersebut adalah berdiri menghadap Allah swt. Walaupun dalam keadaan kita tidak boleh melihat Allah swt secara zahir, kita tetap menyerahkan diri kepada-Nya.



"Berdiri menghadap Kaabah pula bukan bermaksud menyembah Kaabah, tetapi kita menyembah Allah swt dengan berpandukan satu arah sebagai lambang penyatuan.



"Setiap pergerakan solat pasti mempunyai makna yang tersirat."



SOLAT TINGKATKAN KECERDASAN



Pelbagai cara digunakan manusia untuk memiliki kesihatan yang baik.



Solat bukan sekadar praktikal sahaja. Ia mempunyai seribu kebaikan yang mampu mencegah penyakit mental, fizikal dan sosial.



Menurut Ustaz Mohamad Rais, seandainya seseorang Muslim itu memberi komitmen sepenuhnya dalam mendirikan solat lima waktu, dia akan memperolehi kesan jangka panjang yang baik.



"Seperti yang umum ketahui, kebanyakan otot dan sendi manusia akan bergerak ketika seseorang itu bersolat. Oleh itu, umat Islam beruntung kerana dapat menjadikan solat sebagai satu senaman harian yang ringan.



"Apabila tubuh manusia rasa bertenaga, ia akan meningkatkan kecerdasan otak dan menghasilkan pemikiran yang positif.



"Justeru itu, solat mampu memberi ketenangan minda dan meningkatkan kesihatan mental Muslim.



"Selain itu, ia mampu menghilangkan keletihan serta menjadikan seseorang lebih bertenaga untuk melakukan ibadah-ibadah sunat," jelas beliau.



SUJUD HASILKAN KADAR DENYUTAN TERENDAH



Berdasarkan sebuah kajian, solat dikatakan menyamai senaman yang boleh meningkatkan pengaliran oksigen ke otak, khususnya ketika bersujud.



Semasa seseorang individu berada dalam posisi bersujud, ia akan mengurangkan kadar denyutan jantung.



Malahan, kedudukan ini dikatakan mampu mewujudkan kadar denyutan jantung yang paling rendah.



Oleh itu, kedudukan solat seperti sujud, rukuk, dan duduk akan menghasilkan satu keadaan yang membolehkan jantung manusia berehat buat seketika.



BEREHAT DALAM SOLAT



"Ketika solat, ia melibatkan ayat suci Al-Quran atau doa-doa yang dibaca dengan penuh penghayatan.



"Setiap pergerakan yang dilakukan ketika solat menyamai perbuatan meditasi.



"Dalam masa yang sama, solat juga menjadi tempat bagi manusia memohon pertolongan daripada Allah swt ketika mereka berhadapan dengan kesukaran.



" Dengan mendirikan solat, manusia dapat merehatkan fikiran daripada perkara-perkara duniawi buat sementara waktu.



"Maka, solat memberikan ketenangan jiwa bagi pelaksananya kerana mereka dapat berehat daripada segala keletihan," jelas Ustaz.



Rasulullah saw bersabda: "Dijadikan penyejuk mataku ada di dalam solat. Wahai Bilal rehatkan kami dengan solat." (HR Ahmad dan al-Nasa'i)



"Oleh itu, kita hendaklah melaksanakan perintah solat dengan bersungguh-sungguh agar Allah swt menganugerahkan nikmat kesihatan yang baik.



"Bagaimanapun, usaha saintifik lain jangan pula ditinggalkan kerana usaha yang lebih menyeluruh akan memberi kesan yang lebih baik," pesan Ustaz.




"Jika kita berdiri di hadapan bos, kita pasti berdiri dalam keadaan yang penuh hormat. Jadi dengan Allah swt, kita perlu lebih bersungguh-sungguh sebagai tanda hormat kepada Sang Pencipta kita. Berdiri ini juga mempunyai adab 'muka bertemu muka'. Maksudnya, berdiri tersebut adalah berdiri menghadap Allah swt. Walaupun dalam keadaan yang kita tidak boleh melihat Allah swt secara zahir, kita tetap menyerahkan diri kepada-Nya.
- Ustaz Mohamad Rais.




BIODATA



  • Ustaz Mohamad Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

  • Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >