Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kopi Meadowbrew kembalikan nostalgia penduduk Ang Mo Kio

Kafe kolong blok jadi ruang masyarakat berkumpul
Dec 13, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Meadowbrew, kopi, coffee, Ang Mo Kio
Pemilik Meadowbrew, Encik Muhammad Mustakim Othman, 34 tahun, menawarkan pengalaman menikmati kopi berlainan di kolong estet perumahan di Blok 532, Ang Mo Kio Avenue 10. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di kolong sebuah blok di estet perumahan Ang Mo Kio Avenue 10, sebuah kafe kecil tanpa alat hawa dingin dijadikan tempat persinggahan penduduk berdekatan setiap hari.

Diberi nama, Meadowbrew, ia merupakan hasil cipta pengasasnya, Encik Muhammad Mustakim Othman, 34 tahun – yang lebih mesra dikenali sebagai Mus.

Lebih daripada sekadar sebuah kafe kopi, ia menjadi ruang masyarakat untuk berhubung dan bersatu.

Idea menamakan kafe itu bermula dengan perbincangan mudah bersama isterinya.

“Bila saya ingin buka kedai ini, saya fikirkan nama yang senang disebut.

“Isteri saya kata mesti ada kopi dalam namanya. Brew itu kopi. Meadow pula sebab kami ingin jual sesuatu yang berkhasiat,” jelasnya.

Gabungan itu melahirkan Meadowbrew, nama yang kini agak sinonim dengan penduduk di kawasan estet kejiranan itu.

Minat Encik Mus terhadap kopi bermula sejak beliau berusia 15 tahun ketika bekerja di sebuah rangkaian jenama kopi terkenal.

“Dulu saya rasa sangat ‘cool’ bila hasilkan kopi ice blended. Terus terang, saya tidak suka kopi panas yang boleh didapati di kedai kopi biasa,” katanya.

Namun, semuanya berubah selepas beliau bekerja di sebuah kedai kopi tempatan pada usia 19 tahun.

Di situlah cintanya terhadap kopi hitam dan seni membancuh kopi berkembang.

Cara menghasilkan kopi itu dipengaruhi gaya Australia, yang ketika itu menjadi trend dalam kalangan peminat kopi tempatan.

Selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri tersebut, termasuk bekerja di Kawasan Pusat Bandar (CBD) yang sibuk, Encik Mus memilih untuk membuka kafe di kawasan kejiranan.

“Saya ingin menunjukkan cinta saya pada kopi di tempat yang orang ramai boleh nikmati dekat dengan rumah mereka.

“Di CBD, interaksinya kurang kerana serba-serbinya pantas. Di estet perumahan pula, mereka habiskan masa lebih lama selain menghargai cara kami menghasilkan kopi,” katanya.

Estet Ang Mo Kio menjadi pilihan kerana saiz dan harga sewa yang sesuai.

Lebih menarik, kawasan itu dipenuhi warga emas yang awalnya berasa pelik melihat kafe kecil yang menjual kopi moden muncul di kolong blok.

“Setiap hari mereka akan tanya, ‘Kenapa buka kedai dekat sini? Ramai orang tua tau,’” ujar Encik Mus.

Namun, itulah sebenarnya tujuan Meadowbrew yang ingin menyediakan pilihan bagi penduduk yang tidak selalu ke bandar.

Salah satu ciptaan uniknya yang cepat menjadi kegemaran ialah, Ice Ripple Latte, $6.50, diinspirasikan daripada aiskrim potong perisa Ripple.

“Pelanggan sering meminta kopi yang sejuk. Justeru saya cuba untuk menghasilkan perisa yang nostalgik dan dekat dengan hati ramai penduduk Singapura, iaitu perisa aiskrim Ripple. Ia adalah kenangan indah untuk mereka,” jelasnya.

Aiskrim potong perisa Ripple seakan-akan rasa raspberi sering dikaitkan dengan aiskrim yang biasanya dijual oleh penjual lelaki berbangsa Cina yang menunggang motosikal dan dinikmati bersama roti atau biskut wafer.

Selain itu, minuman, This.Appointment, berharga $6.50, merupakan kopi berperisa oren yang lahir daripada permainan perkataan bahasa Inggeris, iaitu disappointment, atau kekecewaan.

“Dulu bila saya berhenti kerja, ada rakan anggap saya sebagai disappointment. Saya tidak marah, saya jadikan ia pembakar semangat apabila saya mulakan Meadowbrew,” katanya.

Di Meadowbrew, terdapat 13 pilihan minuman kopi, dan sembilan minuman tidak berasaskan kopi, seperti minuman coklat dan matcha.

Walaupun ia kafe kecil, Encik Mus menerima setiap maklum balas mengenai Meadowbrew dengan hati terbuka.

Ada yang minta lebih kerusi, kipas tambahan atau makanan ringan.

Secara bertahap, beliau menambah mufin, seperti Banana Chocolate Muffin, dan hidangan lain seperti Beef Bulgogi Wrap dan Curry Chicken Puff.

“Penduduk sini banyak berkongsi kisah hidup mereka. Ada yang cerita tentang anak, ada yang cakap dulu mereka ingin buka kafe tapi tiada modal dan masa.

“Bila tiba hari jadi kenalan, mereka datang duduk minum kopi hitam di sini,” ujar Encik Mus, yang suka berinteraksi bersama penduduk berdekatan.

Dengan tidak secara langsung, kafe itu juga mengubah dirinya.

Ia telah mengajar usahawan muda itu untuk lebih bersabar dan memahami keadaan.

Selepas dua tahun beroperasi di kolong blok Ang Mo Kio Avenue 10 itu, Meadowbrew bakal berpindah ke Kelab Masyarakat (CC) Cheng San pada hujung Disember.

Walaupun lokasi berubah ke tempat yang baru, misinya tetap sama.

“Saya ingin orang ramai mengingati Meadowbrew bukan kerana saya barista (pembuat kopi) yang bagus, tetapi kerana suasana yang ramah dan mesra. Satu tempat di mana mereka boleh bertanya apa itu latte atau cappuccino tanpa rasa malu atau segan.”

Bagi Encik Mus, secawan kopi bukan sekadar minuman, ia adalah jalinan memori, perbualan untuk mendekatkan diri kepada masyarakat.

Meadowbrew
Alamat: Blok 532, Ang Mo Kio Avenue 10, #01-2473B, Singapura 560532
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang

  • Sabtu dan Ahad, 8 pagi hingga 6 petang

Get therelocation-icon
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg