Bermula dengan perniagaan dari rumah (HBB), Ground Floor Coffee (GFC) kemudian menyewa sebuah unit di bangunan East Village di Upper Changi Road sejak dua tahun lalu.
Meskipun akur mereka kehilangan beberapa pelanggan di kejiranan lama semasa beroperasi sebagai HBB di Pasir Ris, namun pemiliknya Encik Adhwa Hasif, 34 tahun, berkata pihaknya telah berjaya menawan hati ramai pelanggan baru.
“Sebagai HBB, terdapat banyak batasan, contohnya kami tidak dibenarkan untuk membekalkan kopi atau bekerjasama dengan perniagaan lain.
“Bila ada kedai, ada lesen, ada permit, barulah kami boleh anjur acara sendiri dan buat lebih banyak kolaborasi,” kata Encik Adhwa kepada Berita Harian (BH).
Sebelum ini GFC terkenal kerana menjual kopi dari tingkap flat di estet perumahan Pasir Ris.
Peralihan ke East Village membuka pintu baru, tetapi juga datang dengan cabarannya tersendiri.
“Selepas berpindah ke East Village, kami hilang beberapa pelanggan dari kejiranan lama di Pasir Ris. Tapi kami bina masyarakat pelanggan baru di sini,” tambah Encik Adhwa.
Selepas dua tahun di East Village, kini GFC bakal menyambung sewa sambil terus membina kumpulan pelanggan setempat dengan kopi panggang khas mereka.
Dengan ruang yang lebih teratur dan dapur berlesen, pasukan GFC kini mampu meneroka bahan dan perisa baru.
Mereka melakukan proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) dengan lebih teliti, serta meluaskan menu khas secara konsisten.
Jika sebelum ini mereka hanya menggunakan sejenis kopi espreso di rumah, kini GFC memanggang biji kopi sendiri dan menampilkan kaedah penapisan kopi yang menawarkan rasa lebih unik.
“Semua ini hanya boleh dilakukan bila ada dapur yang sesuai. Bila (menjalankan kafe secara) HBB, semuanya ditempah lebih awal… susah untuk kami mencuba perisa baru,” kata Encik Adhwa.
Pengembaraan Encik Adhwa ke beberapa kota di negara lain yang menawarkan kopi juga memberi inspirasi mendalam dalam penghasilan menu GFC.
Antaranya, beliau telah ke Melbourne, Dubai, Jakarta dan Kuala Lumpur.
Setiap destinasi membuka satu pengalaman baru dalam proses kreatifnya menghasilkan kopi unik.
“Walaupun ada pelbagai trend kopi yang terkenal di media sosial, ia berbeza kalau kita ke sana dan mencubanya.
“Bila kita mengembara, kita boleh rasa sendiri (trend dan perisa kopi tersebut).
“Barista (pembuat kopi) di luar negara pun sangat terbuka untuk berkongsi.
“Di Melbourne, saya memesan kopi terkenal iaitu kopi Mont Blanc.
“Saya memesan kopi itu dua kali. Pertama kali untuk menikmatinya dan kedua saya asingkan komponen kopi itu dan rasanya di lidah, sebelum catatkan nota di dalam buku… itu semua membantu dalam proses R&D,” jelasnya.
Melalui cinta terhadap kopi, Encik Adhwa saling berkongsi ilmu dengan barista kopi lain.
“Saya gemar berinteraksi dengan barista, mereka sangat terbuka berkongsi tentang kopi apabila mereka dapat tahu yang saya mempunyai kafe di Singapura.”
Selepas pulang ke Singapura, Encik Adhwa merujuk ke buku notanya dan mengambil sebulan untuk menghasilkan kopi Mont Blanc dengan sentuhannya tersendiri.
Kopi Mont Blanc menggunakan kopi tapis dengan profil rasa oren, buah pala dan vanila, yang ujar Encik Adhwa mempunyai rasa seperti kopi O lebih mewah.
Kopi itu diperkenalkan semasa kolaborasi GFC dengan syarikat kongsi kereta sewa, Ryde.
Terdapat juga Honey Oat Latte, $8.50 yang merupakan minuman pertama mengenalkan pelanggan kepada GFC.
Ia tercetus setelah Encik Adhwa melihat hidangan ‘superfood cup’ – sejenis makanan ringan berasaskan bijirin dan buah-buahan – di sebuah kafe di Melbourne.
“Saya suka gabungan oat, madu dan bijirin itu. Saya cuba padankan dengan kopi, dan selepas banyak percubaan yang gagal, barulah saya dapat menghasilkan cita rasa yang diinginkan,” katanya.
Semasa Ramadan 2025, minuman Organic Dates Latte dikenalkan dengan campuran kurma dengan profil rasa kopi espreso yang menghasilkan rasa yang lebih ringan dan manis.
Semasa ke Jakarta untuk acara World of Coffee 2025, Encik Adhwa muncul dengan idea Matcha Sudirman dan Midnight Sparkle.
“Jakarta menjadi sumber inspirasi paling baru, selepas penyertaan saya dalam acara itu,” katanya.
Minuman Matcha Sudirman tercetus apabila beliau mencuba susu gajus tempatan yang belum dijual di Singapura.
Minuman itu dinamakan sempena kawasan beliau menginap di bandar itu sebelum seorang pelanggan Indonesia memberitahu bahawa Sudirman ialah nama seorang jeneral legenda.
Semasa di Jakarta juga datangnya idea minuman, Midnight Sparkle, dilancarkan melalui kerjasama dengan penyanyi tempatan dan pencipta lagu, Shareefa Aminah Abdul Shariff, lebih dikenali sebagai Shazza.
Di samping mendapat pelanggan yang bertugas di pejabat di kawasan Bedok, Simei dan Tampines, GFC turut menjadi persinggahan keluarga yang ingin berkumpul bersama pada hujung minggu.
Walaupun konsepnya berasaskan bawa pulang, atau takeaway, bangku di hadapan kedai sering dipenuhi wajah-wajah pelanggan tetap.
“Dulu pelanggan tidak nampak proses kami menghasilkan kopi. Sekarang mereka lihat sendiri cara kami buat kopi itu dan dari situ timbul kepercayaan...,” tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Encik Adhwa berharap GFC dapat bekerjasama dengan jenama gaya hidup seperti pakaian atau kasut.
“Insya-Allah mulai tahun depan (2026), pada hujung minggu kami akan mula menawarkan semula kopi dari ‘tingkap’ kami di Pasir Ris.
“Buat masa kini, kami sedang membina semula laman web,” jelasnya.
Selasa hingga Ahad, 11 pagi hingga 6 petang


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg