Minuman & Kafe
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik Ground Floor Coffee akur cabaran beralih dari HBB ke unit sewa

Dec 12, 2025 | 11:41 AM
Demi kopi, pemilik Ground Floor Coffee (GFC), Encik Adhwa Hasif, yang mempunyai kafe di East Village sanggup melacong ke luar negara seperti Melbourne, Australia untuk memperoleh inspirasi mendalam dalam penghasilan menu kopi GFC.
Demi kopi, pemilik Ground Floor Coffee (GFC), Encik Adhwa Hasif, yang mempunyai kafe di East Village sanggup melacong ke luar negara seperti Melbourne, Australia untuk memperoleh inspirasi mendalam dalam penghasilan menu kopi GFC. - Foto ADHWA HASIF

Bermula sebagai perniagaan berasaskan dari rumah (HBB), Ground Floor Coffee (GFC) kemudian menyewa sebuah unit di bangunan East Village di Upper Changi Road sejak dua tahun lalu.

Meskipun akur mereka kehilangan beberapa pelanggan di kejiranan lama semasa beroperasi sebagai HBB di Pasir Ris, namun pemiliknya Encik Adhwa Hasif, 34 tahun berkata pihaknya telah berjaya menawan hati ramai pelanggan baru.

“Sebagai HBB, terdapat banyak batasan, contohnya kami tidak dibenarkan untuk bekalkan kopi atau berkolaborasi dengan perniagaan lain.

“Bila ada kedai, ada lesen, ada permit, barulah kami boleh anjur acara sendiri dan buat lebih banyak kolaborasi,” tambah Encik Adhwa.

Sebelum ini GFC terkenal kerana menjual kopi dari tingkap flat di estet perumahan Pasir Ris.

Peralihan ke East Village membuka pintu baru, tetapi juga datang dengan cabaran.

“Selepas berpindah ke East Village, kami hilang beberapa pelanggan kejiranan lama di Pasir Ris. Tapi kami bina masyarakat pelanggan baru di sini,” tambah Encik Adhwa.

Selepas dua tahun di East Village kini GFC bakal menyambung sewa sambil terus membina komuniti pelanggan setempat dengan kopi panggang khas mereka.

Dengan ruang yang lebih teratur dan dapur berlesen, pasukan GFC kini mampu meneroka bahan dan perisa baru.

Mereka melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan lebih teliti, serta meluaskan menu khas secara konsisten.

Jika sebelum ini mereka hanya menggunakan satu jenis espresso di rumah, kini GFC memanggang biji kopi sendiri, dan menampilkan kaedah penapisan kopi yang menawarkan rasa lebih unik.

“Semua ini hanya boleh dilakukan bila ada dapur yang sesuai. Bila HBB, semuanya ditempah secara lebih awal… susah untuk cuba perisa baru,” kata Encik Adhwa.

Pengembaraan Encik Adhwa ke kota-kota yang menawarkan kopi di negara lain juga memberi inspirasi mendalam dalam penghasilan menu GFC.

Antaranya beliau telah ke Melbourne, Dubai, Jakarta dan Kuala Lumpur. Setiap destinasi membuka satu pengalaman baru dalam proses kreatifnya bagi menghasilkan kopi yang unik.

“Walaupun ada pelbagai trend kopi yang terkenal di media sosial, ia berbeza kalau kita ke sana dan mencubanya. Bila kita mengembara, kita boleh rasa sendiri.

“Barista di luar negara pun sangat terbuka untuk berkongsi.

“Di Melbourne, saya pesan kopi terkenal iaitu kopi Mont Blanc. Saya memesan kopi itu dua kali. Pertama kali untuk menikmatinya dan kedua saya asingkan komponen kopi itu dan rasanya di lidah, sebelum catatkan nota di buka… itu semua bantu dalam proses R&D,” jelasnya.

Melalui cinta terhadap kopi, Encik Adhwa bertukar ilmu dengan barista kopi lain.

“Saya gemar berinteraksi dengan barista, mereka sangat rela berkongsi tentang kopi apabila mereka dapat tahu yang saya mempunyai kafe kopi di Singapura.”

Selepas pulang ke Singapura, Encik Adhwa merujuk ke buku notanya dan mengambil satu bulan untuk hasilkan kopi Mont Blanc dengan sentuhannya tersendiri.

Kopi Mont Blanc menggunakan kopi tapis dengan profil rasa oren, buah pala dan vanilla. Menurut Encik Adhwa kopi itu seperti kopi ‘o’ yang lebih mewah. Kopi itu diperkenalkan semasa kolaborasi GFC dengan syarikat kongsi kereta sewa, Ryde.

Terdapat juga Honey Oat Latte, $8.50 yang merupakan minuman tandatangan pertama GFC – tercetus setelah Encik Adhwa melihat hidangan “superfood cup” di sebuah kafe di Melbourne.

“Saya suka gabungan oat, madu dan bijirin itu. Saya cuba padankan dengan kopi, dan selepas banyak cubaan yang gagal, barulah saya dapat hasilkan cita rasa yang diinginkan,” katanya.

Semasa Ramadan lalu, minuman Organic Dates Latte dikenalkan dengan campuran kurma dengan profil rasa kopi espresso yang menghasilkan rasa yang lebih lembut dan manis.

Semasa ke Jakarta untuk acara World of Coffee 2025, Encik Adhwa muncul dengan idea Matcha Sudirman dan Midnight Sparkle.

“Jakarta menjadi sumber inspirasi paling baru, selepas penyertaan saya dalam acara itu,” katanya.

Minuman Matcha Sudirman tercetus apabila beliau mencuba susu ganjus tempatan yang belum dijual di Singapura.

Minuman itu dinamakan sempena kawasan beliau menginap sebelum seorang pelanggan Indonesia memberitahu bahawa Sudirman ialah nama seorang jeneral legenda.

Semasa di Jakarta juga datang idea minuman Midnight Sparkle, dilancarkan melalui kolaborasi dengan penyanyi tempatan dan pencipta lagu, Shareefa Aminah Abdul Shariff lebih dikenali sebagai Shazza.

Selain pelanggan pejabat dari kawasan Bedok, Simei dan Tampines, GFC turut menjadi persinggahan keluarga pada hujung minggu.

Walaupun konsepnya berasaskan bawa pulang atau takeaway, bangku di hadapan kedai sering dipenuhi wajah-wajah pelanggan tetap.

“Dulu pelanggan tidak nampak proses kami menghasilkan kopi. Sekarang mereka lihat sendiri cara kami buat kopi itu dan dari situ timbul kepercayaan antara kami,” tambahnya.

Melangkah ke hadapan, Encik Adhwa berharap GFC dapat berkolaborasi dengan jenama gaya hidup seperti pakaian atau kasut.

“Insyallah mulai tahun depan, pada hari hujung minggu kami akan bermula semula menawarkan kopi dari ‘tingkap’ kami di Pasir Ris. Buat masa kini, kami sedang membina semula laman web,” jelasnya.

Ground Floor Coffee (GFC)
Alamat: 430 Upper Changi Road, #01-53, Singapura 487048
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Ahad, 11 pagi hingga 6 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg