Topik diikuti
Pergi ke BHkuMentega belacan, cili kicap: ‘Sudu’ adun perisa Melayu
Mantan peserta MasterChef Singapore hasilkan mentega artisan berinspirasikan cita rasa Melayu
Mentega belacan, cili kicap: ‘Sudu’ adun perisa Melayu
Aroma belacan, kepedasan sambal tumis dan keharuman rempah sate lazimnya membangkitkan selera apabila menikmati hidangan Melayu ini.
Namun, di dapur Encik Ilya Nur Fadhly, bahan-bahan tersebut diolah menjadi sesuatu yang berbeza, iaitu mentega artisan.
Mantan peserta MasterChef Singapore musim ketiga itu kini menawarkan lima perisa mentega menerusi perniagaan santapan privetnya atau private dining, Sudu, sebagai sebahagian daripada usahanya mengetengahkan cita rasa Melayu dalam bentuk yang lebih kontemporari.
Meskipun trend mentega artisan lebih banyak dipengaruhi cita rasa Barat dan Jepun, Encik Ilya bertekad untuk mengekalkan identiti Melayu.
“Saya ini degil kerana saya memang mahu memasukkan cita rasa Melayu ke dalam mentega.
“Walaupun trend sekarang banyak dipengaruhi cita rasa Jepun seperti kombu dan miso, kami mahu kekal setia kepada identiti kami dengan menggunakan bahan-bahan dan cita rasa Melayu,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Idea menghasilkan mentega artisan itu tercetus ketika beliau merancang menu sembilan hidangan bagi santapan privet di Sudu, yang beroperasi dari flat HDB lima biliknya.
Bagi hidangan roti dan mentega yang lazim disajikan dalam santapan mewah, beliau mengolah resipi tradisional kuih bakar menggunakan teknik memasak berbeza sebagai pengganti roti.
“Saya tidak mahu sekadar menghidangkan mentega kosong. Jadi, saya cuba menghasilkan mentega yang mempunyai cita rasa Melayu.
“Mentega pertama yang kami hasilkan ialah mentega belacan, bukan mentega sambal belacan seperti yang disangkakan ramai,” tambahnya.
Menurut Encik Ilya, rasa umami, iaitu salah satu daripada lima rasa asas yang memberikan rasa enak seperti yang terdapat dalam cendawan dan ikan bilis, sesuai digandingkan dengan lemak mentega.
“Ketika pertama kali menghasilkannya, aroma belacan terlalu kuat sehingga seluruh rumah berbau belacan. Jadi, kami bereksperimen untuk mendapatkan rasa yang lebih seimbang,” jelasnya.
Beliau kemudian menghasilkan mentega sambal salai dan kulim. Ketiga-tiga perisa itu disajikan secara bergilir-gilir mengikut menu Sudu, dengan dua perisa lain ditawarkan sebagai sampel.
“Pelanggan mula meminta agar kami menjual mentega itu dalam bekas supaya mereka boleh membawanya pulang.
“Lama-kelamaan, semakin ramai yang meminta dan saya fikir ini boleh menjadi satu lagi sumber pendapatan,” katanya.
Mentega sambal salai menggunakan sambal tumis yang disalaikan, memberikan rasa sedikit pedas, manis dan beraroma salai.
Mentega kulim pula menggunakan buah hutan yang turut dikenali sebagai bawang putih hutan.
“Saya menggelarnya ‘garlic butter on steroids’. Apabila kulim digabungkan dengan lemak mentega, rasa seakan-akan bawang putih lebih terserlah.
“Kami turut menambah cendawan shitake dan ikan bilis, jadi terdapat tiga lapisan rasa umami,” jelasnya.
Encik Ilya tidak menghasilkan menteganya sendiri, sebaliknya menggabungkan dua jenis mentega dengan menitikberatkan kandungan lemaknya.
“Semakin tinggi kandungan lemak, semakin baik mentega itu menyerap cita rasa bahan lain. Bagi saya, mentega yang baik perlu mempunyai rasa lemak meskipun tidak bergaram,” katanya.
Ketika pertama kali menyertai pameran Boutiques Singapore sekitar dua tahun lalu, kesemua 150 bekas mentega yang disediakan habis dijual pada hari pertama.
“Saya terpaksa pulang untuk menyediakan lebih banyak mentega sehingga tidak tidur. Setiap hari, stok kami habis sebelum enam petang,” katanya.
Kejayaan itu mendorongnya memperkenalkan dua lagi perisa sempena penyertaan berikutnya, iaitu cili kicap dan sate.
Mentega cili kicap menampilkan kemanisan kicap, keharuman daun limau serta rasa pedas, manakala mentega sate sesuai dinikmati golongan vegetarian.
Namun, penghasilan mentega sate khususnya mencabar kerana rempah memerlukan lemak dalam bentuk cecair untuk menyerlahkan cita rasanya, sedangkan proses mencairkan dan memejalkan semula mentega boleh menjejas teksturnya.
Selain disapu pada roti, mentega belacan boleh digunakan untuk menggoreng nasi, mentega sambal salai dipadankan dengan makanan laut, manakala mentega kulim boleh dicairkan di atas stik atau telur hancur.
Bagi mantan penghantar makanan yang berjaya menempatkan diri dalam lima peserta terbaik MasterChef Singapore pada 2022 itu, hasrat memperjuangkan masakan Melayu turut tercetus daripada pengalamannya dalam pertandingan tersebut.
Beliau terkesan apabila cef terkemuka Gaggan Anand tidak menyebut masakan Melayu secara khusus ketika membicarakan pengaruh kulinari yang membentuk budaya makanan Singapura.
“Perkara itu membuatkan saya sedar bahawa masih ramai yang tidak mengenali masakan Melayu, termasuk masyarakat di Singapura sendiri.
“Walaupun trend sekarang adalah mengetengahkan masakan Nusantara, saya mahu memberi tumpuan kepada masakan Melayu Singapura terlebih dahulu,” ujarnya.
Usaha itu turut dicerminkan menerusi menu santapan privet Sudu, seperti ‘Peribahasa 2.0’, yang menggabungkan unsur bahasa dan warisan Melayu dengan seni kulinari moden.
Antara hidangannya termasuk ‘Ada Udang di Sebalik Batu’, yang menampilkan udang kara bersambal dan kerepek tempe, serta ‘Kalau Ada Asap, Tentu Ada Api’, yang menyajikan kuih bakar bersama mentega sambal salai.
Selain bakal menyertai lagi pameran Boutiques Singapore pada Mei tahun depan, Encik Ilya kini giat mencari pelabur dengan harapan dapat membuka restoran sendiri, termasuk di luar negara.
“Masyarakat bukan Melayu mengenali makanan kita seperti nasi padang, mi rebus dan mi soto. Namun, banyak lagi hidangan yang kita nikmati di rumah, seperti opor nangka, telur kicap yang jarang dijual di luar.
“Hidangan sederhana inilah yang ingin saya ketengahkan supaya masyarakat luar lebih mengenali apa yang sebenarnya kita makan,” ujarnya.