Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KEMBARA

Kubur Hang Tuah di Palembang?

Kemungkinan makam pahlawan Melayu itu, yang selama ini didakwa di Tanjung Keling, Melaka, hanya makam peringatan
Oct 22, 2018 | 05:30 AM



MAKAM Hang Tuah terletak di Tanjung Keling, Melaka, tetapi kunjungan saya ke Palembang baru-baru ini menimbulkan seribu pertanyaan dan diulit misteri.



Ini kerana saya ditemukan dengan sebuah kubur purba di Kompleks Pemakaman Kerajaan Palembang Darussalam di Jalan Candi Welan, yang didakwa penduduk sebagai makam Laksamana Hang Tuah.



Tiada tanda-tanda jelas termasuk ukiran nama pada nisan dan kubur yang terletak di kompleks pemakaman di belakang Pasar Cindy itu.



Namun, keadaan kubur begitu usang dengan dua nisan kayu berwarna hitam tampak sudah dimamah usia.



Dapur-dapur kubur yang diperbuat daripada simen pula kelihatannya masih utuh dan tanah permukaan diserabuti pohon-pohon renek, tanda tiada sesiapa yang menjaga atau peduli.



Namun, kubur yang saiznya lebih besar daripada kubur-kubur yang agak baru di sekitarnya dan satu-satunya yang menggunakan nisan kayu, diyakini merupakan sebuah kubur purba.



Jurukunci kompleks berusia lebih 300 tahun itu, Pak Ahmad, 60-an tahun, ketika ditemui menyatakan ramai penziarah dan pengkaji telah mengunjungi kubur yang dikatakan milik Hang Tuah sejak berita mengenainya tersebar dari mulut ke mulut beberapa tahun lalu.



"Saya tak pasti siapa yang mula jumpa atau mendakwa kubur tersebut adalah makam Hang Tuah. Saya pernah dengar cerita ada orang yang mendapat mimpi kubur tersebut adalah kubur Hang Tuah. Saya tak tahu orang itu!



"Tetapi, sebagai jurukunci, saya pernah lihat ramai orang datang termasuk kumpulan pengkaji dari Malaysia untuk menjalankan penyelidikan,'' tambah Pak Ahmad yang telah bertugas di situ sejak 15 tahun lalu.



Seorang drebar teksi, Encik Hermizon, 54 tahun, menyatakan para penduduk rata-rata percaya "itulah kubur Hang Tuah" berdasarkan cerita yang disebarkan dari mulut ke mulut.



Sehingga kini tiada sebarang pihak yang dapat mengesahkan kesahihan kubur pahlawan legenda Melayu itu.



Namun, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Dr Hashim Musa, dipetik beberapa media Malaysia pada November 2015 sebagai menyatakan penyelidikan terbaru kumpulan pengkaji sejarah mengenai Hang Tuah mendapati jejak terakhir pahlawan Melayu itu berakhir di Temasek (kini Singapura) pada tahun 1511 ketika berusia 80 tahun.



Menurutnya, berdasarkan dakwaan yang disokong para penduduk dan keturunan Hang Tuah, pahlawan itu mungkin berpindah ke Riau sebelum mengakhiri riwayatnya di Palembang.



Penemuan itu menimbulkan kemungkinan kubur Hang Tuah yang selama ini didakwa di Tanjung Keling, Melaka, mungkin hanya makam peringatannya.



Kubur tersebut dikatakan tempat seorang ulama Islam berasal dari Gujerat, India, diabadikan.



Menurut sejarah, beberapa tahun sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, satria Melayu itu dikatakan membawa diri ke Palembang kerana merajuk dengan Sultan Mahmud dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam, sehinggalah beliau meninggal dunia di sana.



Dalam satu laporan media Malaysia pada April 2016, pasukan penyelidik UPM itu menyatakan mereka berminat untuk mengambil sampel ujian asid deksiribonukleik (DNA) di setiap kubur yang didakwa milik Hang Tuah untuk memperoleh bukti sahih kewujudan pahlawan Melayu itu.



Namun, mereka belum memutuskan bila sampel ujian DNA itu akan diambil dan selagi itu kesahihan kubur Hang Tuah di Palembang itu kekal misteri.




Kirimkan pengalaman melancong anda



ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?



Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.



Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH! menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.



Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dengan 600 perkataan.



Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >