Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Bantuan psikoemosi kepada penjaga pesakit barah kanak-kanak

Oct 02, 2023 | 05:30 AM



Oleh NORHASHIMAH KAMARUDIN



Luluh hati kita apabila mendengar tentang anak kecil yang disahkan menghidapi barah. Bagaimana keadaan anak itu nanti? Dari kecil sudah perlu rawatan dan memakan ubat-ubatan. Kasihan keadaan anak itu. 



Namun sedarkah kita bahawa ibu bapa atau penjaga mereka juga mengalami tekanan emosi yang teruk dan berlarutan? 



Sokongan psikoemosi adalah sangat wajar kepada penjaga kerana selain berdepan dengan tekanan dalam diri dan keluarga, mereka juga berdepan dengan stigma masyarakat apabila anak mereka menghidapi barah.



Antaranya dakwaan bahawa mereka tidak tahu menjaga anak sehingga anak itu menghidapi barah.



Mereka turut dituduh mempunyai baka ‘tidak baik’ sehingga anak menghidapi barah pada usia amat kecil.



Menurut kajian yang kami lakukan pada 2023, kami mendapati ibu bapa atau penjaga kepada kanak kanak yang menghidapi barah, mengalami seakan sindrom pascatrauma meskipun anak mereka telah selesai menjalani rawatan. 



Kajian yang mengambil masa enam bulan itu, melibatkan 30 ibu bapa kepada anak yang menghidapi barah. 



Majoriti barah kanak-anak lazimnya berlaku ketika anak itu berusia antara tiga dengan tujuh tahun.



Ramai ibu bapa rasa amat bersalah dan kerap tertanya-tanya di mana silap mereka sehingga anak mereka menghidapi barah. 



Doktor sering kali menekankan kepada ibu bapa tersebut, bahawa ibu bapa bukanlah penyebab barah anak-anak mereka. 



Tidak seorang pun yang boleh dipersalahkan yang menjadi punca seseorang kanak-kanak itu menghidap barah. 



Faktor penting bantuan psikoemosi kepada ibu bapa dan penjaga pesakit barah kanak-kanak



Ibu bapa positif lahirkan anak positif



Ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak. Jika ibu bapa sering bersedih, begitu juga anak akan juga turut bersedih. Apabila kuatnya ibu bapa menghadapi ujian, maka kuat jugalah cerminan yang dicontohi anak-anak.



Apabila pemikiran positif, maka tiap kata dan perbuatan kita turut sama positif. Secara langsung, ini akan membuat anak menjadi lebih positif dalam menjalani rawatan.



Misalnya, ibu bapa yang menggalakkan anak untuk mengambil ubat apabila waktu untuk memakan ubat, akan cenderung untuk memberitahu anak-anak tentang kesan positif ubat-ubatan yang boleh menyembuhkan si anak, dan memuji anak tersebut apabila dia menghabiskan ubatnya. Ini membantu dalam penyembuhan sakit anak tersebut.



Bantu bangun sistem adaptasi ke norma hidup baru setelah barah



Keadaan kehidupan berubah dengan cepat dan maklumat yang terdapat dari pelbagai wadah juga akan mendatangkan tekanan tinggi kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidapi barah.



Mereka kurang pengetahuan tentang barah dan sama ada anak mereka berupaya pulih sepenuhnya atau tidak.



Bayangkan keadaan di mana mereka terpaksa mendengar saranan doktor tentang prosedur rawatan anak mereka.



Mereka terpaksa membuat keputusan tentang saranan prosedur rawatan anak mereka dalam waktu singkat, dan harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada doktor.



Ini secara langsung akan mendatangkan perasaan yang menggugat kestabilan emosi mereka. Contohnya, seperti kemurungan, mengasingkan diri dan berasa keseorangan, kebimbangan yang berlarutan dan sentiasa dicengkam ketakutan.



Sokongan dari segi emosi dan minda akan membantu ibu bapa membangunkan sistem adaptasi mereka supaya mereka tidak mudah dibelenggu perasaan negatif.



Ini akan membuat mereka sentiasa mempunyai kesedaran tentang diri sendiri, menenangkan diri mereka sebelum emosi mereka terganggu dan membuat mereka mampu berfikir secara rasional.



Hubungan keluarga yang rapat



Segala perubahan dinamik kekeluargaan akibat barah ini akan menggugat keharmonian dan hubungan dalam sesebuah keluarga. Misalnya, apabila seseorang anak itu mengalami barah, ibunya terpaksa bermalam di hospital menemani anak tersebut.



Ini membuatkan anak-anak yang lain di rumah berasa seperti tidak dihargai dan berasa seperti ibu dan bapa lebih menyayangi si abang, kakak, atau adik yang sakit.



Bagi adik-beradik yang berusia remaja, mereka akan menghadapi masalah kurang tumpuan seperti kemerosotan dalam pelajaran di sekolah, sering marah-marah yang berlarutan baik di sekolah mahupun di rumah, dan lebih terdedah kepada pengaruh negatif yang terdapat di luar rumah.



Bagi adik-beradik yang berusia lebih kecil pula, mereka akan lebih banyak meragam dan menangis apabila tiada ibu bapa atau penjaga sebagai tempat bergantung.



Bantuan psikoemosi dapat membantu mengekalkan hubungan keluarga yang harmoni dan mempersiap ibu bapa dengan langkah-langkah yang dapat membantu anak-anak mereka.



Eelak kehabisan tenaga (‘burnout’)



Ibu bapa yang menjaga anak-anak yang sakit mempunyai kemungkinan tinggi menghadapi tekanan luar biasa atau ‘burnout’.



‘Burnout’ adalah istilah di mana apabila seseorang itu terdedah kepada tekanan yang berpanjangan dan mengakibatkan kelelahan dari segi pemikiran, tubuh badan dan emosi.



\Ini akan membuat mereka rasa tidak mampu untuk menjaga anak mereka yang sakit.



Berkongsi masalah boleh ringankan beban fikiran



Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Orang lain yang melihat cuma dapat membayangkan kesusahan individu yang memikul beban tersebut. Orang tidak mungkin dapat memahami dan mengetahui bagaimana mereka dapat membantu.



Apabila mengalami sebarang tekanan, kita hendaklah berkongsi masalah atau kerisauan yang sedang kita alami itu kepada orang yang kita percayai.



Dengan meluahkan isi hati, kita akan rasai bahawa kita tidak bersendiri lagi dalam dilema yang sedang kita hadapi.



Ini juga dapat membantu kita melegakan kecelaruan yang membebankan fikiran. Ia akan membuatkan kita mengorak langkah lebih berkesan dalam menangani masalah yang sedang dihadapi.



Dalam situasi di mana kita tidak punya anggota keluarga atau rakan yang dapat membantu, kita boleh meminta bantuan untuk berjumpa kaunselor di hospital, atau kaunselor terlatih seperti yang terdapat di Persatuan Ain.



Kesimpulan



Justeru itu, ada pelbagai langkah yang ibu bapa boleh ambil demi kemaslahatan minda dan fizikal supaya dapat menjadi penjaga yang berkesan kepada anak-anak.



Dengan itu, seluruh faktor luaran dan dalaman yang diutarakan di atas untuk ibu bapa perlu diberi perhatian serius.



Kesimpulannya, bukan hanya pesakit yang memerlukan penjagaan dan keprihatinan, malah kesejahteraan penjaga juga sama pentingnya.



Penulis ialah Pengurus Pusat Penjagaan Barah Young Heroes Persatuan Ain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >