Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaga diri semasa tunai ibadah

Jun 5, 2023 | 5:30 PM
 Dr Zuraimi  Mohamed Dahlan
Dr Zuraimi Mohamed Dahlan - Foto fail

DR ZURAIMI MOHAMED DAHLAN

PERSIAPAN FIZIKAL

BERJALAN JAUH

JEMAAH besar kemungkinan perlu berjalan kaki dari tempat tinggal di Mina ke tempat melontar jamrah sejauh tujuh kilometer.

Anda perlu memastikan memakai kasut yang sesuai dan kasut anda tidak mencederakan anda.

Jika boleh, mulakan berjalan kaki di Singapura sejauh lima hingga tujuh kilometer seminggu sekali agar anda dapat membiasakan diri berjalan jauh tanpa masalah semasa menunaikan haji kelak.

DUDUK ATAS TIKAR DAN TIDUR ATAS TIKAR TANPA TILAM

Di Mina, biasanya jemaah Singapura ditempatkan di khemah-khemah yang tidak mempunyai katil atau tilam.

Anda perlu membiasakan diri duduk di atas tikar dan tidur di atas tikar.

DUA DALAM SATU: JAMBAN CANGKUNG DAN TEMPAT MANDI

Di Mina, anda akan mendapati jamban mandi berderet tetapi hanya satu dalam deretan 10 adalah jamban duduk.

Jadi, biasakan diri anda menggunakan jamban cangkung semasa membuang air dan mandi.

Jamban duduk agak popular dan anda perlu tunggu lama untuk mendapatkan giliran menggunakannya.

BERLARI-LARI ANAK DI ANTARA GARISAN HIJAU

Semasa anda mengerjakan sai, kaum lelaki digalak berlari-lari anak di antara garisan lampu hijau yang mempunyai jarak 50 meter sahaja.

Salah seorang pesakit saya patah tulang kakinya semasa berlari kencang melakukan sunah ini. Jadi, larilah secara berhati-hati, perlahan-lahan supaya tidak memudaratkan diri.

IHRAM

Bagi kaum lelaki, biasakan diri menggunakan ihram tanpa menggunakan kain dalam.

SABUN TANPA BAU

Semasa dalam ihram, kita tak boleh menggunakan sabun yang mempunyai sebarang bau wangi-wangian. Biasakan diri menggunakan sabun yang tidak mempunyai sebarang bau.

BERSEDIA BAYAR DAM

Kadangkala kita secara tidak sengaja melanggar peraturan ibadat haji. Jadi siapkan wang untuk membayar dam jika terbuat pelanggaran peraturan. Ketepikan wang ini agar ia boleh digunakan supaya haji kita sah tanpa waswas.

PEKA TERHADAP MASALAH JANGKITAN

Walaupun Covid-19 telah diisytiharkan bukan pandemik lagi, jemaah yang melaksanakan ibadah haji di Tanah Suci masih perlu mengambil berat terhadap masalah jangkitan seperti selesema dan penyakit lain yang boleh menjejas kesihatan.

Perkara ini tetap menjadi tumpuan penting bagi keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah.

Walaupun vaksin Covid-19 telah diberikan kepada jemaah, mereka masih boleh mudah dijangkiti penyakit tersebut. Ia berlaku kerana individu yang melakukan ibadah haji berada dalam persekitaran yang padat dengan jemaah dari pelbagai negara yang mungkin membawa jangkitan penyakit dari negara asal masing-masing.

Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan agar jemaah membawa bersama ubat-ubatan berkaitan selesema semasa melakukan ibadah di Tanah Suci. Ini adalah penting bagi mengurangkan penularan selesema atau jangkitan pernafasan yang boleh berlaku semasa berada dalam kumpulan besar.

Selain itu, langkah-langkah kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, atau menggunakan pensanitasi tangan perlu diamalkan secara konsisten.

Menutup hidung dan mulut ketika batuk atau bersin dengan tisu atau siku yang dilipat, dan mengelakkan sentuhan tangan pada muka juga amat penting.

Jemaah juga digalak agar mengelak daripada bersentuhan dengan orang yang mempunyai gejala jangkitan seperti batuk, selesema atau demam.

Menggunakan pelitup muka adalah satu langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, terutama ketika berada di kawasan yang sesak dengan jemaah lain.

RAWATAN MASING-MASING

Ada juga jemaah yang menunaikan haji atau umrah mempunyai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi atau penyakit lain yang memerlukan pengambilan ubat secara konsisten.

Jadi bawa bekalan secukupnya sebaik-baiknya terlebih sebulan agar bekalan ubatnya tidak terputus kelak.

Janganlah ada yang menyifatkan bahawa penyakit-penyakit anda boleh dikawal tanpa ubat atau sembuh apabila anda berada di Tanah Suci.

Jika penyakit anda tidak terkawal, ini boleh berbahayakan diri anda dan boleh mengganggu ibadat suci anda. Pastikan penyakit anda terkawal sebelum keberangkatan.

Jika ia tidak terkawal, sila berjumpa dengan doktor anda empat atau enam bulan lebih awal supaya doktor dapat menolong anda mengawal penyakit dengan lebih baik.

KAWASAN PANAS TERIK DAN MENDAHAGAKAN

Musim haji selalunya berlaku pada musim panas dan risiko dehidrasi boleh berlaku menyebabkan anda menjadi pening atau mabuk kerana kekurangan cecair.

Apatah lagi apabila anda terkena cirit-birit. Jadi pastikan anda minum secukupnya dan bawa bekalan ‘Oral Rehydration Salts’ yang boleh dicampur dalam minuman anda untuk merawat penghidratan.

Anda boleh mendapatkan bekalan ini di klinik di Singapura atau di farmasi di Tanah Suci.

SUNTIKAN VAKSIN

Jemaah juga perlu mendapatkan suntikan vaksin Meningococcal ACYW jenis conjugate.

Vaksin ini mempunyai keberkesanan selama lima tahun. Anda juga memerlukan vaksin influenza dan ini mempunyai keberkesanan tempoh setahun. Anda perlu mengeluarkan sijil vaksin Meningococcal ACYW dan influenza sebelum berangkat.

Ada lagi dua vaksin yang digalakkan diambil bersama iaitu Vaksin Pneumococcal.
Ini untuk mengelakkan masalah radang paru-paru yang disebabkan oleh bakteria Pneumococcal.

Vaksin difteria, pertusis, tetanus (Boostrix) pula untuk mendapatkan daya tahan daripada bakteria Corynebacterium difteria yang menyebabkan radang paru-paru, bakteria bordatella pertusis yang menyebabkan batuk kokol (whooping cough) 100 hari dan bakteria clostridium tetani yang menyebabkan kejang otot kancing gigi (lockjaw) apabila terkena luka.

Keselamatan dan kesihatan jemaah adalah keutamaan utama dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah di tengah-tengah wabak Covid-19 ini.

Setiap individu perlu mengambil tanggungjawab mereka sendiri untuk menjaga kebersihan diri dan mengikut arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Dengan kesedaran dan kepatuhan yang tinggi, diharap jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan selamat dan lancar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg