Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Jaga mata semasa tunai haji, umrah

Jun 19, 2023 | 06:00 AM



Ramai dalam kalangan rakan atau saudara-mara jemaah haji kita telah pun berada di Makkah/Madinah atau bakal berangkat untuk menunaikan fardu haji dalam minggu terakhir ini untuk menunaikan rukun Islam kelima ini.

Dalam kalangan beberapa pesakit saya, ada yang bertanya tentang bagaimana menjaga mata semasa mereka berada di Tanah Suci sama ada ketika menunaikan umrah atau haji.

Saya teringat pengalaman saya sendiri di Makkah dan Madinah ketika mengerjakan umrah bersama keluarga dan bagaimana saya mengambil langkah tertentu untuk menjaga mata saya dalam keadaan cuaca panas semasa di Tanah Suci.

Salah satu perkara paling ketara yang saya perhatikan adalah mata saya menjadi kering semasa berada di sana.

Ini lebih-lebih lagi apabila angin bertiup ke arah mata saya. Udara di sana pula sangat kering dan berdebu. Ini menyebabkan air di dalam mata akan tersejat dengan lebih cepat.

GUNAKAN UBAT TITISAN MATA BUATAN (Articial)

Kekurangan air dalam mata juga bermakna mata tidak boleh membilas debu dari mata kita. Ini mengakibatkan mata saya lebih mudah letih dan tidak selesa. Kadang-kadang, saya berasa seperti ada sesuatu di dalam mata saya.

Mujurlah saya membawa beberapa tiub ubat titisan mata untuk saya gunakan. Ini membantu merawat mata yang kering dan membersihkan mata saya.

Oleh itu nasihat saya kepada jemaah yang berada di Tanah Suci untuk menunaikan haji atau umrah supaya membawa bersama mereka beberapa botol atau tiub ubat titisan mata.

Mereka harus menggunakan ubat titisan mata tiga atau empat kali sehari semasa berada di sana. Mereka boleh menggunakan ubat titisan itu secara lebih kerap jika mata terasa kering atau tidak selesa.

Satu lagi pemerhatian saya adalah tentang keadaan sesak dan berasak ketika berada di beberapa tempat ibadah seperti ketika menunaikan tawaf atau sai.

Contohnya, semasa saya berada di Taman Syurga ar-Raudah di Masjid Nabawi, anggota jemaah berada dalam keadaan amat rapat antara satu sama lain sehingga tiada ruang persendirian antara saya dengan jemaah lain.

Di samping itu, terdapat banyak kawasan di mana ramai orang menyentuh atau memegangnya. Ia termasuk pegangan di tangga, pemegang tangga bergerak, butang lif, permaidani, sejadah dan lain-lain.

Kesemua ini bermakna peluang untuk dijangkiti virus konjunktivitis (atau sakit mata atau mata merah) adalah tinggi.

Konjunktivitis virus adalah jangkitan virus pada konjunktiva (bahagian putih mata).

Pesakit akan mengalami kemerahan pada mata, tahi mata berlebihan dan ketidakselesaan pada mata. Biasanya ia akan sembuh sendiri seperti selesema dan akan pulih dalam masa seminggu dua.

Namum ia amat mudah berjangkit. Ia disebarkan ketika bersentuhan dengan air mata mereka yang dijangkiti.

Sebagai contoh, jika seseorang itu mengalami konjunktivitis lalu menyentuh matanya, selepas itu, beliau menyentuh pemegang tangga., orang lain yang menyentuh pemegang tangga lalu menggosok matanya, maka orang kedua itu mungkin akan dijangkiti.

JAGA KEBERSIHAN DIRI

Oleh itu, kebersihan diri yang baik adalah penting untuk mencegah jangkitan konjunktivitis.

Saya menasihati jemaah haji untuk membawa sebotol pensanitasi tangan dan menggunakannya secara kerap selepas menyentuh kawasan umum. Mereka juga harus mengelak daripada menggosok atau menyentuh mata sendiri.

Membawa sejadah sendiri juga merupakan satu lagi amalan baik bagi mencegah penularan jangkitan penyakit.

Jika anda mengalami konjunktivitis, pastikan anda tidak menjangkiti orang lain.

Amalkan kebiasaan baik seperti kerap mencuci atau membersihkan tangan seperti dengan menggunakan cecair pembasmi kuman atau ‘sanitiser’.

Gunakan kertas tisu untuk membersihkan mata dan buang kertas tisu dengan betul.

Jangan berkongsi tuala atau sejadah. Jemaah boleh menggunakan titisan air mata buatan jika mata terasa tidak selesa.

Akhir sekali, pancaran cahaya matahari di Tanah Suci amat terik. Ini terutamanya apabila sinaran cahaya mata hari dipantulkan dari permukaan marmar putih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah. Ini boleh menyebabkan silau dan ketidakselesaan pada mata.

Saya masih ingat saya terpaksa mengerdipkan mata kerana silau dek cahaya matahari. Turut diketahui umum bahawa sinaran ultralembayung (UV) yang berlebihan dan memasuki ke dalam mata boleh meningkatkan risiko katarak serta masalah retina.

Oleh itu, sepasang cermin mata hitam akan sangat membantu bagi mengurangkan sinaran UV yang masuk ke dalam mata dan mencegah silau dari cahaya matahari.

Saya berharap nasihat dan panduan ini akan membantu para jemaah haji menjaga mata mereka dan mencegah jangkitan semasa melaksanakan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >