Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

RENCANA

Jagaan paliatif beri peluang anak di sisi ibu hingga akhir hayat

Jul 15, 2023 | 05:30 AM



Cik Fatin Hanani sanggup melakukan apa saja demi menjaga ibunya, yang telah berkorban seumur hidup semata-mata untuk membesarkannya dan adik-beradiknya yang lain.

Apatah lagi apabila beliau diberitahu bahawa jangka hayat ibunya itu tidak akan bertahan lama.

Pada Mac, Cik Fatin, 31 tahun dan dua abangnya dikejutkan dengan berita bahawa ibu mereka disahkan menghidap barah pankreas tahap lanjut.

Ibu mereka itu, seorang ibu tunggal, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Rohana, 62 tahun, telah membesarkan ketiga-tiga anaknya seorang diri sejak mereka kecil.

Cik Fatin, yang bertugas dalam sektor kesihatan berkata barah ibunya telah merebak ke hati, usus besar dan limpa, justeru membuatnya berada dalam kesakitan dan menjejas seleranya.

Doktor berkata rawatan tidak memberi kesan positif terhadap barah itu dan ibunya hanya ada enam bulan untuk hidup, atau setahun jika rawatan kemoterapi diteruskan.

Keadaan Cik Rohana bertambah teruk pada April hingga perlu menjalani pembedahan stoma – tebukan saluran di usus bagi mengelak hambatan akibat tumbuhan barah.

Pada ketika itu doktor menasihatkan Cik Fatin agar memilih jagaan paliatif agar ibunya dapat dirawat di rumah.

Berita itu benar-benar memberi kesan mendalam ke atasnya.

“Apabila saya dengar perkataan paliatif saya tak percaya sebab ini ibu saya. Betulkah beliau akan pergi tidak lama lagi?” kata Cik Fatin ketika ditemui.

Beliau dan abang-abangnya akhirnya bersetuju mendapatkan khidmat itu.

Ia dianggap rancangan praktikal dan kaedah jagaan paling selesa untuk ibunya itu.

Jagaan sedemikian juga memberi peluang kepada mereka berada dekat dengan ibu mereka itu hingga ke akhir hayatnya.

Keluarga itu menerima khidmat paliatif daripada HomeCare Assist (HCA) Hospice Care yang ditawar secara percuma.

Setiap minggu, doktor atau jururawat akan menziarah ke rumah secara kerap bagi memantau keadaan Cik Rohana.

Cik Fatin juga diberi talian bantuan 24 jam untuk mendapatkan nasihat atau memaklumkan keadaan ibunya supaya tidak perlu sering keluar masuk hospital, kecuali bagi rawatan atau keadaan cemas.

Keluarga itu, juga disokong Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) yang membantu dalam menawarkan sokongan emosi, sosial dan kerohanian oleh kaunselor atau seorang asatizah jika perlu.

Selain itu, abang sulung Cik Fatin, seorang usahawan, telah menyewa sebuah unit kondominium tiga bilik dengan ruang lebih luas berbanding flat tiga bilik mereka di Paya Lebar untuk membuat keadaan lebih selesa bagi ibunya.

Cik Fatin pula mengambil cuti tanpa gaji dan bersilih ganti dengan abang keduanya, seorang penasihat kewangan untuk memantau keadaan ibu mereka.

Mereka juga menggajikan seorang pembantu rumah sebagai bantuan tambahan di rumah.

Dari segi kos, kebanyakan pembiayaan rawatan ditanggung MediSave, kecuali kos tambahan lain seperti ubat tertentu, bekalan peralatan perubatan dan pengangkutan.

“Kami benar-benar berterima kasih kepada pihak HCA Hospice Care dan NCCS kerana kaedah jagaan ini bukan sahaja mengurangkan beban kami bahkan membolehkan kami berikan jagaan terbaik kepada ibu,” kata Cik Fatin.

“HCA Hospice Care juga telah bertanya sama ada kami perlukan bantuan kewangan tapi kami rasa kami cukup mampu.

“Cuma cabarannya sekarang adalah melihat ibu bertambah lemah dari hari ke hari.”.

Misalnya Cik Rohana tidak sanggup melakukan kerja rumah, memasak atau mengangkat barang walaupun ia ringan seperti kotak susu.

“Semuanya sakit. Nak cakap mesti pelan sebab nanti akan sesak nafas. Nak nangis pun sakit, nak ketawa pun sakit,” kata beliau.

Cik Fatin berkata beliau dan abangnya ingin berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak ibu.

Malah, keluarga itu bakal ke Tanah Suci minggu depan untuk menjalankan umrah – salah satu hajat terakhir Cik Rohana.

“Mujur kami adik-beradik rapat sebab ibu sahaja yang jaga kami dahulu. Kejayaan kami semua sebab ibu,” kata Cik Fatin.

“Kami cuma rasa, masa terlalu pendek bagi kami membalas budi ibu dan ibu pula belum dapat merasakan sepenuhnya hasil kejayaan kami yang datang daripada pengorbanannya sendiri,” tambahnya dengan air mata bergenang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >