Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Manfaat cergas fizikal dalam ibadah haji

Jun 04, 2023 | 03:06 PM



BERSAMA

DR SHARIFFA SYAHIDAH CHISHTY

KEKAL aktif tidak semestinya dimaksudkan dengan melakukan senaman sahaja. Malah kegiatan seharian kita juga boleh termasuk dalam kegiatan aktif. Ini seperti apabila kita berjalan pantas ke perhentian bas, atau menggunakan tangga tanpa menggunakan lif. Kegiatan sebegini juga dianggap sebagai kegiatan aktif. Yang penting, kita melakukan pergerakan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran tenaga kita.

Bagi para jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci pada musim haji pula, diharapkan kita tidak mengambil mudah tentang kesihatan masing-masing, kerana ibadah haji tidak hanya menekankan aspek rohani sahaja, malah jasmani dan psikologi juga. Oleh itu, kita harus membuat persiapan yang sewajarnya. 

Ada pelbagai manfaat apabila kita kekal cergas. Ia meliputi seluruh anggota badan, bukan sahaja dari segi fizikal, bahkan kesihatan emosi dan mental juga, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Dari segi minda, ia membantu dengan kecergasan otak kita, dan mengurangkan risiko demensia. Ia juga boleh memperbaiki kecergasan jantung, dan menguatkan otot-otot serta tulang kita. Selain itu, ia boleh memperhaluskan sensitiviti insulin dalam badan kita, dan ini boleh mencegah atau mengurangkan risiko penyakit kencing manis.

PERTINGKAT SISTEM PENGHADAMAN

Apabila kita kekal aktif, ia juga dapat meningkatkan sistem penghadaman dengan memperbaiki aliran darah kepada semua organ. Makanan yang kita makan boleh dihadam dengan mudah, justeru khasiat-khasiat tertentu dapat diserap dengan betul. Secara keseluruhan, ia juga penting untuk membantu kita mencapai berat badan optimum selain membantu kita tidur lena pada waktu malam. 

Apabila badan kita tidak biasa dengan kegiatan aktif, beberapa perkara boleh berlaku dalam saluran darah kita. Contohnya, jika kita kerap duduk secara berpanjangan, atau tidak selalu melakukan kegiatan aktif, lama-kelamaan, akan ada lapisan melekat di dinding saluran darah kita. Lapisan ini akan menghalang pengeluaran beberapa bahan kimia yang boleh memperbaiki aliran darah kita.

Apabila bahan kimia ini gagal dikeluarkan, sel-sel merah kita akan berkumpul dan melekat antara satu sama lain. Ini membuatkan darah kita lebih ‘pekat’, dan meningkatkan risiko berbagai jenis penyakit kronik, seperti darah beku, angin ahmar dan serangan jantung. Perkara sebegini juga boleh berlaku apabila kita mengambil makanan berminyak secara berlebihan, dan kurang makanan berkhasiat. 

Sebaliknya, apabila tubuh kita sering terlibat dalam kegiatan aktif, dan terdedah pada makanan berkhasiat, bahan-bahan kimia yang terletak di dalam dinding saluran darah dapat dikeluarkan secara semula jadi. Saluran darah kita mengembang, sel-sel merah tidak melekat bersama, dan bebas mengalir ke seluruh badan kita. Dengan aliran darah yang lebih baik ini, organ kita lebih mampu berfungsi dengan berkesan.

Oleh itu, kita harus berusaha untuk bergerak sekurang-kurangnya setiap jam pada siang hari. Ini boleh membantu kita untuk tidur pada waktu malam.

KEGIATAN FIZIKAL PENTING

Cara kita kekal aktif dan melakukan kegiatan fizikal juga penting – kita harus pastikan dalam apa saja yang kita ingin lakukan, ia dilakukan secara perlahan, seronok dan selamat. 

Contohnya, ramai di antara kita sudah melakukan kerja rumah atau melakukan kerja manual sebagai kegiatan seharian. Kita memikul barangan pasar yang berat, mengikut upaya sendiri, memanjat tangga, atau berjalan pantas ke perhentian bas atau dalam perjalanan kerja.

Kita digalak untuk teruskan dengan kegiatan-kegiatan aktif sebegini, dan meningkatkan lagi intensiti dengan sewajarnya. Bagi mereka yang suka melibatkan diri dalam sukan riadah pula, kita boleh bermain layang-layang, bermain bola atau senaman Qigong atau taici.

Jika kita ingin bersenam, garis panduan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) menggalakkan melakukan kegiatan fizikal sederhana untuk 150 minit setiap minggu.

Berita baiknya adalah, senaman ini tidak perlu dilakukan dalam satu sesi, malah ia boleh dibahagikan dalam tempoh seminggu, misalnya 30 minit sehari, untuk lima hari. Secara minimum, kita digalak melakukan kegiatan aktif sekurang-kurangnya 10 minit sehari, untuk membina kecergasan aliran darah dan jantung kita. 

Pemeriksaan fungsi pula adalah satu lagi cara untuk menjaga kesihatan kita. Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan mata, telinga dan mulut kita tetap berada dalam kesihatan yang baik. Pemeriksaan ini selalunya khas untuk warga emas. Bagi mereka yang lebih muda, kita digalak menjalani program saringan biasa bagi mengesan sebarang masalah kesihatan lebih awal sebelum munculnya komplikasi. 

Pada musim haji pula, keadaan dan suasana di Tanah Suci cukup berbeza dengan suasana Singapura yang kita sudah biasa.

Jarak jauh perjalanan dari satu tempat ke tempat lain kerap disulitkan lagi oleh landskap berbatu, kawasan berpasir dan permukaan yang tidak rata. Oleh itu, amat penting memastikan kasut yang akan dipakai tidak terlalu baru sehingga boleh melecur . Kita digalak menyesuaikan kasut kita sebelum berangkat ke Tanah Suci. 

Selain itu, cuaca di sana cukup panas, bahang dan cerah. Lindungi mata daripada cuaca yang cerah dengan memakai kaca mata hitam dengan perlindung ultralembayung matahari (UV). Kebanyakan keadaan kesihatan yang timbul pula disebabkan oleh dehidrasi atau berkaitan dengan cuaca yang berlainan. Untuk mengatasi masalah ini, kita digalak kerap minum air, meskipun kita khuatir jika sering mengunjungi tandas. 

Penyakit-penyakit yang lazim dihadapi termasuk gejala pernafasan, komplikasi penyakit paru-paru kronik seperti semput, sembelit, masalah otot-otot dan sendi, dan masalah kulit seperti lepuh atau kulat. Ada juga di antara jemaah yang mengalami kemerosotan penyakit kronik mereka, seperti kencing manis dan kegagalan jantung. 

PRIHATIN SUASANA KELILING

Dengan itu, kita harus prihatin pada suasana sekeliling kita ketika menunaikan ibadah haji. Keadaan di sana juga penuh sesak dengan ramai orang dari serata dunia, dan ini boleh menimbulkan pelbagai masalah dari segi penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan.

Untuk membantu anda dengan lebih baik dan selamat, para jemaah haji disaran mengisi buku perubatan hijau yang telah diberi, dengan ubat-ubat seharian dan sebarang penyakit yang dialami.

Contohnya, jika kita mengambil ubat kolesterol harian, kita harus catatkan dalam buku hijau kita, kerana kadangkala, ada jenis antibiotik yang tidak dapat diberikan kerana ia berinteraksi dengan ubat kolesterol.

Begitu juga dengan sebarang alahan yang mungkin ada. Pastikan bekalan ubat-ubat anda mencukupi dan bawa tambahan jika perlu. Kita juga digalak menepati vaksinasi-vaksinasi tertentu, khas pada musim haji.

Dengan itu, saya ingin memanjatkan doa untuk haji mabrur bagi para jemaah yang akan berangkat kelak. Saya galakkan anda untuk mengambil langkah ke arah gaya hidup sihat demi kesihatan kita secara keseluruhan tidak kira musim haji atau tidak. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >