Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

100 tahun Mahathir: Bapa pemodenan M’sia yang akan terus dikenang

Legasi kepimpinan mantan PM bentuk landskap pembangunan ekonomi, sosial dan politik rentasi generasi
Jul 10, 2025 | 3:38 PM
Mantan PM M’sia, legasi Dr Mahathir
Mantan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih mampu memandu kenderaan dengan baik dan sering ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - Foto AFP

Seabad perjalanan hidup yang diabadikan untuk perjuangan, pengorbanan serta pencapaian gemilang yang sukar disangkal menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad negarawan ulung yang dihormati Malaysia dan dunia.

Menginjak usia 100 tahun pada 10 Julai 2025, disiplin dan amalan hidup luar biasa Dr Mahathir membolehkan beliau melalui garis masa dengan kesihatan terbaik mental dan fizikal, malah masih menjadi rujukan ramai di dalam dan luar negara meliputi segenap hal. Suara dan buah fikirannya masih mahal.

Menjadi satu-satunya Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat bagi tempoh 22 tahun, satu-satunya pemimpin yang memegang jawatan Perdana Menteri dua kali dan satu-satunya Perdana Menteri tertua di dunia ketika berusia 92 tahun, cukup membuktikan Dr Mahathir anugerah istimewa dan insan luar biasa.

Dr Mahathir, yang juga dikenali sebagai Che Det dalam kalangan orang terdekatnya, dikagumi sebagai pemimpin berwawasan tinggi, berani, lantang bersuara dan sentiasa berfikir di luar kotak. 

Dan kini Malaysia bukan saja meraikan umurnya yang panjang, bahkan legasi kepimpinannya yang membentuk landskap pembangunan ekonomi, sosial, dan politik negara merentasi generasi.

Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid, menyifatkan Dr Mahathir antara negarawan terbaik dunia dalam tempoh 100 tahun.

“Jika saya boleh katakan, selepas Dr Mahathir, tiada Perdana Menteri yang setanding dengan beliau di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau berkata wawasan dan kebijaksanaan Dr Mahathir teruji pada awal era pemerintahannya, ketika Malaysia menghadapi dua krisis ekonomi besar – cabaran kejatuhan harga komoditi yang menjadi antara nyawa ekonomi Malaysia dan kemelut kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

“Namun, dengan strategi luar biasa, Dr Mahathir tidak hanya berjaya menguruskan krisis ini, bahkan Malaysia pulih lebih cepat berbanding negara lain yang turut dilanda cabaran sama.

“Salah satu langkah paling berani dan ikonik yang diambil beliau semasa krisis kewangan Asia adalah menolak bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Pada ketika itu, ramai pakar ekonomi dan pemimpin dunia mencadangkan agar Malaysia menerima bantuan IMF untuk mengatasi krisis. Tetapi Dr Mahathir bertegas dengan keputusan untuk tidak menyerah kepada IMF dan memilih untuk menguruskan kemelut itu dengan cara Malaysia sendiri,” katanya.

Keberanian Dr Mahathir untuk menolak bantuan asing, yang pada waktu itu dianggap sebagai langkah berisiko, terbukti sebagai keputusan tepat. Katanya ekonomi Malaysia kembali pulih dengan pantas dan berjaya mengelak daripada risiko mengorbankan kedaulatan negara. 

Dr Muhammed turut mengimbau visi pembangunan Wawasan 2020 dan slogan ‘Malaysia Boleh!’ yang digagaskan Dr Mahathir untuk menginspirasikan rakyat Malaysia agar percaya kepada kemampuan diri dan negara untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. 

Tambahnya, Dr Mahathir juga berjaya menjulang Malaysia di mata dunia dan komitmennya untuk membangunkan Malaysia terbukti dengan mobiliti sosial berada pada satu tahap tertinggi, malah beliau berjaya mengubah Malaysia daripada bergantung kepada sektor pertanian kepada industri pembuatan. 

Di peringkat antarabangsa, Dr Mahathir sering membangkitkan soal maruah dan hak orang Melayu dan salah satu contohnya adalah melalui Dasar Pandang Ke Timur, yang mana beliau ingin mengubah orientasi ekonomi Malaysia kepada model pembangunan negara maju seperti Jepun.

Dalam hal hubungan dua hala Malaysia-Singapura sebagai jiran terhampir, Dr Mahathir berusaha memperkukuhkan aspek ekonomi dengan matlamat mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara kededua negara, kata Dr Muhammed.

Tidak hanya dilihat lantang dalam mengkritik penindasan oleh negara Barat terhadap negara dunia ketiga terutama negara majoriti Islam seperti Malaysia termasuklah Palestin, Dr Mahathir juga pengkritik tegar Melayu.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan, berkata Dr Mahathir sentiasa galak mengingatkan Melayu supaya tidak mudah selesa dengan keadaan dan terus berjuang untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang.

“Tun tidak takut mengkritik bangsanya secara terbuka terutama yang membabitkan perjuangan untuk mempertahankan hak Melayu,“ katanya kepada BH.

Pernah menjadi golongan anti-establishment, Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, mengakui jasa Dr Mahathir kepada Malaysia terlalu besar dan beliau mempunyai semangat pejuang Melayu yang tinggi.

“Walau dulu beliau dikritik dalam setiap keputusan negara yang dibuat, akhirnya beliau buktikan semua keputusan itu tepat. Deretan mercu tanda seperti pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) adalah projek mega yang membawa limpahan ekonomi kepada Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga mantan Presiden Umno selama 22 tahun, tidak lari daripada kontroversi besar dalam sejarah politik Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 dan disingkirkan daripada Umno.

Ia menyebabkan ketegangan politik, di mana Datuk Anwar (kini Perdana Menteri), turut ditahan dan didakwa dengan tuduhan berkaitan rasuah dan salah laku seksual.

Daripada satu sisi berbeza mengenai Dr Mahathir, Pegawai Khas beliau, Encik Sufi Yusof, yang sudah 27 tahun bekerja dengannya berkongsi bahawa biar pun luarannya Dr Mahathir dilihat tegas dan garang, beliau sebenarnya seorang pemimpin dan majikan yang sangat bertoleransi.

Encik Sufi Yusof (tengah), yang juga Pegawai Khas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), mengiringi majikannya dalam satu acara bersama pemimpin Singapura yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sekitar 2022.
Encik Sufi Yusof (tengah), yang juga Pegawai Khas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), mengiringi majikannya dalam satu acara bersama pemimpin Singapura yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sekitar 2022. - Foto ihsan SUFI YUSOF

“Beliau seorang yang sangat bertimbang rasa dengan staf dan orang awam. Tidak cerewet, dan sangat mudah untuk mengurus jadual harian, walaupun ia melibatkan pelbagai pertemuan dan majlis penting.

“Kepimpinan Dr Mahathir yang penuh dengan kebijaksanaan dan keterbukaan, menjadikan beliau seorang pemimpin yang mudah didekati, walaupun sering sibuk dengan pelbagai urusan,” katanya kepada BH.

Kongsinya, mungkin ramai tidak tahu bahawa Dr Mahathir memiliki satu pantang larang unik.

“Tun tidak gemar makan ikan kecuali ikan masin atau ikan kering… dan ada satu pantang larang kecil yang agak unik... Tun tidak suka jika kita bercakap dengannya sambil bersilang kaki,” ujarnya.

Sehingga hari ini walau sudah tidak menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih gemar menulis di atas kertas sebagai satu amalan mengasah ketajaman minda.
Sehingga hari ini walau sudah tidak menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih gemar menulis di atas kertas sebagai satu amalan mengasah ketajaman minda. - Foto AFP

Encik Sufi berkata apa yang paling mengagumkan baginya adalah disiplin tinggi Dr Mahathir setiap hari terutama dalam menepati masa. 

“Tun datang ke pejabat tepat 8.30 pagi setiap hari dan pulang selepas 5 petang, tidak pernah lewat,” katanya sambil menambah bahwa Dr Mahathir juga mengekalkan tabiat menulis setiap hari sebagai kunci untuk menajamkan minda dan amat menjaga aspek pemakanan serta kesihatan melalui senaman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg