Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

25 disiasat berkaitan tunjuk perasaan bantah pelepasan kes rasuah Zahid

Sep 18, 2023 | 2:05 PM
BANTAH KEPUTUSAN MAHKAMAH: Ratusan orang mengadakan perarakan pada Sabtu di Kuala Lumpur, untuk membantah keputusan mahkamah melepaskan kes rasuah yang melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
BANTAH KEPUTUSAN MAHKAMAH: Ratusan orang mengadakan perarakan pada Sabtu di Kuala Lumpur, untuk membantah keputusan mahkamah melepaskan kes rasuah yang melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto EPA-EFE

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti 25 orang yang berkepentingan pada perhimpunan Selamatkan Malaysia yang akan dipanggil untuk direkodkan keterangan mereka.

“Setakat ini, 25 orang telah dikenal pasti. Pada masa sama, individu lain juga sedang diperiksa untuk dipanggil ke ibu pejabat polis Dang Wangi untuk keterangan mereka direkodkan dalam masa terdekat,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (AC) Noor Dellhan Yahaya.

“Kertas siasatan sedang disiapkan dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, menurut laporan The Star.

Difahamkan juga beberapa anggota penganjur majlis memberi kenyataan mereka pada Isnin.

Ketika dihubungi, Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mengesahkan beliau telah dipanggil untuk memberi kenyataan.

“Seramai 20 orang telah dipanggil untuk memberikan kenyataan mereka, termasuk saya sendiri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin, turut mengesahkan dalam satu catatan di wadah media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) bahawa beliau akan turut memberi kenyataan kepada polis Isnin.

“Saya dijadual hadir di ibu pejabat polis Dang Wangi tengah hari esok (Isnin) untuk rekod keterangan saya,” kata Dr Afif.

Perhimpunan pada Sabtu menyaksikan ratusan orang berarak di Kuala Lumpur untuk membantah keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan dalam kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sidang media pada Sabtu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata perhimpunan itu gagal mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman, dan polis telah mengenal pasti semua orang yang berkepentingan berhubung perhimpunan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg