Topik diikuti
Pergi ke BHku40 kawasan di M’sia catat paras udara tidak sihat akibat jerebu
40 kawasan di M’sia catat paras udara tidak sihat akibat jerebu
KUALA LUMPUR: Lonjakan titik panas di Kalimantan, Indonesia, menyebabkan keadaan jerebu di Malaysia kembali buruk, dengan sebanyak 40 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Kawasan Johan Setia, di Klang, Selangor merekodkan bacaan paling tinggi iaitu 182, setakat 8 pagi 16 September, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan yang teruk terjejas ialah Cheras, Kuala Lumpur (179); Nilai, Negeri Sembilan (178); Putrajaya (176); Shah Alam, Selangor (175); Seremban, Negeri Sembilan (174); dan Batu Muda, Kuala Lumpur (172).
Keadaan itu menyaksikan Lembah Klang kekal antara kawasan yang terjejas dengan mutu udara tidak sihat menyusuli peningkatan bacaan IPU.
Kesemua kawasan terjejas akibat IPU tidak sihat direkodkan di Semenanjung, manakala hanya 23 kawasan mencatatkan rekod mutu udara pada tahap sederhana yang rata-ratanya di Sarawak, antaranya di Kuching (75); IPD Serian (73); Samarahan (70); dan Sibu (66).
Pada 15 September, BHM melaporkan, jumlah titik panas dikesan di Kalimantan melonjak kepada 808, sekali gus meningkatkan potensi berlakunya jerebu rentas sempadan sekiranya kebakaran terbuka di Indonesia berterusan.
Berdasarkan data Data Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC), jumlah titik panas di Kalimantan meningkat daripada 301 pada 12 September kepada 461 pada 13 September, sebelum melonjak kepada 808 pada 14 September.
Bagi tempoh sama, ASMC turut merekodkan 87 titik panas di Sumatera, 15 di Sabah dan Sarawak serta satu di Semenanjung.
Data itu menunjukkan peningkatan ketara titik panas di Kalimantan dalam tempoh dua hari berkenaan, selepas jumlahnya berada pada paras lebih rendah pada awal tempoh pemantauan.
Sementara itu, sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak, diteruskan, namun acara di luar bangunan dibatalkan berikutan keadaan jerebu yang membimbangkan.
Dalam pada itu Kosmo! melaporkan perkongsian seorang wanita di laman sosial Thread, yang terkejut apabila langsir di ruang tamu bertukar warna selepas beliau terlupa menutup tingkap ketika keluar rumah pada 15 September.
Menurut perkongsian di Thread Fatimahabdaziz, keadaan itu disedarinya sebaik sahaja pulang ke rumah dan mendapati sebahagian langsir di ruang tamu yang berwarna putih menjadi coklat dipercayai gara-gara asap jerebu dari luar.
“Keluar rumah tanpa tutup tingkap, balik rumah langsir dah warna coklat,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terkejut melihat keadaan itu, sekali gus bimbang dengan udara yang dihirup ketika ini.
“Saya di Ipoh (Perak) pelik tengok air purifier (penapis udara) asyik warna kuning je. Saya ingat rosak. Bila jenguk luar, masya-Allah, teruknya putih je nampak. Memang betul teruk sekarang,” kata seorang pengguna Sakeeno.

