Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8j pelancong disasar sempena Tahun Melawat Melaka 2024

Dec 28, 2023 | 4:08 PM
ANTARA TARIKAN UTAMA: Banyak beca terdapat di Melaka dengan sebilangannya memberi khidmat kepada pelawat ke negeri itu.
ANTARA TARIKAN UTAMA: Banyak beca terdapat di Melaka dengan sebilangannya memberi khidmat kepada pelawat ke negeri itu. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang dilancarkan pada Julai dijangka dapat merealisasikan sasaran kerajaan negeri menerima kehadiran lebih lapan juta pelancong pada 2024.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata berdasarkan rekod yang diperoleh baru-baru ini, sejumlah 50,000 kenderaan masuk ke Melaka setiap hari.

Beliau berkata jumlah kemasukan kenderaan itu berdasarkan perangkaan atau kajian yang dibuat setiap minggu terutama musim cuti sekolah.

“Kalau nak dijangkakan, kita menyasarkan lebih lapan juta orang akan datang ke negeri ini sepanjang TMM 2024.

“Jika lebih daripada itu, ia menunjukkan Melaka adalah lokasi pilihan utama pelancong dan pengunjung,” katanya kepada media selepas siaran program Malaysia Hari Ini (MHI) pagi 28 Disember.

Lebih menarik, katanya, tujuh kenderaan menjadi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000 ($28,541) setiap satu, menanti pengunjung bersempena TMM 2024, lapor Berita Harian Malaysia.

“Cabutan bertuah akan dilakukan setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024, yang mana penyertaan adalah mengikut beberapa syarat ditetapkan. Kita ada 80 hotel dan inap desa yang menandatangani perjanjian untuk bersama-sama mempromosikan TMM 2024.

“Datanglah ke Melaka, pilih hotel yang bekerjasama untuk memastikan pengunjung menerima baucar, cabutan bertuah satu kereta setiap tiga bulan. Belanja RM500 dapat satu kereta sempena TMM2024,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Ab Rauf berkata sambutan TMM 2024 akan bermula pada 29 Disember dengan penganjuran Karnival Islamik Antarabangsa yang akan diadakan di pekarangan Stadium Hang Jebat.

Menjawab mengenai isu kesesakan di bandar raya, Datuk Ab Rauf berkata pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi memudahkan pelancong dan pengunjung datang ke negeri itu.

“Segala perancangan dan cadangan baru yang akan dilaksanakan tidak akan merugikan mana-mana pihak.

“Lebih ramai orang datang ke Melaka, lebih banyak peniaga yang berasaskan pelancongan akan mendapat manfaat. Pastinya kerajaan prihatin dan pastinya pulangan ini kita boleh berikan semula kepada rakyat Melaka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg