Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afdlin Shauki nafi salah laku perolehan projek DBKL RM10j

Jan 31, 2025 | 3:17 PM
Pengarah dan pelakon terkenal Malaysia, Datuk Afdlin Shauki Aksan, 54 tahun, menafikan fitnah bahawa beliau terlibat dalam salah laku perolehan projek bernilai RM10 juta di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah dan pelakon terkenal Malaysia, Datuk Afdlin Shauki Aksan, 54 tahun, menafikan fitnah bahawa beliau terlibat dalam salah laku perolehan projek bernilai RM10 juta di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon terkenal Malaysia, Datuk Afdlin Shauki Aksan, 54 tahun, menolak dakwaan terbabit dalam sebarang salah laku berkaitan perolehan projek bernilai RM10 juta ($3.08 juta) di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebagaimana yang sedang tular di media sosial.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Datuk Afdlin Shauki, yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL menegaskan tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja direka pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan reputasinya.

“Pertama sekali saya menafikan sekeras-kerasnya apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek itu.

“Ini adalah satu usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.

“Saya sudah membuat laporan polis bersama pihak berkaitan untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” tulisnya di Instagram, lapor Harian Metro.

Datuk Afdlin Shauki turut menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.

“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah, akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tulisnya.

Terdahulu, tular dalam aplikasi telegram Edisi Siasat yang mendakwa Datuk Afdlin Shauki yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Media Sdn Bhd, antara yang terbabit dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.

Pendedahan yang didakwa aduan daripada kakitangan DBKL itu mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.

Aduan itu antaranya mendakwa Kelab Sukan dan Kebajikan YWP (KSKYWP) telah digunakan bagi projek bernilai RM4 juta, selain projek bahan penerbitan yang sepatutnya melalui proses tender terbuka telah disalurkan kepada KSKYWP yang kemudiannya memberi projek tersebut kepada syarikat milik kroni Datuk Afdlin Shauki.

Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg