PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kekal lepas dan bebas daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Ini setelah panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, yang dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, membatalkan pada 12 Disember rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Datuk Ahmad Zahid daripada tuduhan itu.
Mahkamah rayuan itu membatalkan rayuan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, memberitahu mahkamah bahawa AGC menarik balik semua rayuannya kerana telah menerima dua perwakilan yang dibuat oleh Datuk Ahmad Zahid, lapor Bernama.
Pada Jun 2019, Datuk Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan 40 tuduhan menerima rasuah daripada UKSB berhubung Sistem VLN.
Ia membabitkan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah $13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Rasuah itu dikatakan bagi menyambung kontrak UKSB sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat itu oleh Kementerian Dalam Negeri.
Di bawah baki tujuh tuduhan, Datuk Ahmad Zahid, didakwa memperoleh untuk dirinya RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc ($22,710) dan AS$15,000 ($20,158) daripada UKSB yang ada kaitan dengan tugas rasminya.
Kesemua kesalahan itu dikatakan dilakukannya antara Oktober 2014 dengan Mac 2018.
Pada 23 September 2022, presiden Umno itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada semua tuduhan selepas ia mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie (cukup bukti) terhadap Datuk Ahmad Zahid.
Pada 29 Disember 2023, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi itu.
Datuk Yusaini memberitahu mahkamah rayuan pada 12 Disember bahawa AGC memutuskan tidak meneruskan rayuannya selepas mempertimbangkan alasan penghakiman hakim bicara mahkamah tinggi itu dan dua perwakilan yang dibuat Datuk Ahmad Zahid.
Beliau berkata pihak pendakwaan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Datuk Ahmad Zahid menggunakan kedudukannya untuk menganugerahkan kontrak secara langsung, yang menjadi inti pati pertuduhan.
“Bukti mendedahkan bahawa kontrak diberikan sebelum responden menjadi menteri dalam negeri (di bawah kerajaan Barisan Nasional). Tiada ruang untuk salah guna kuasa,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg