Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP M’sia gesa Anwar selamatkan Pannir dari tali gantung S’pura

Feb 17, 2025 | 5:12 PM
Pesalah dadah warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, 30 tahun, yang bakal dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Singapura pada 20 Februari ini.
Pesalah dadah warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, 30 tahun, yang bakal dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Singapura pada 20 Februari ini. - Foto keluarga PANNIR SELWAN PRANTHAMAN

KUALA LUMPUR: Empat wakil rakyat kerajaan Malaysia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan dalam kes hukuman mati pesalah dadah, Pannir Selvam Pranthaman, yang dijadual dilaksanakan pada 20 Februari ini, di Singapura.

Seorang daripadanya, Ahli Parlimen (AP) Bukit Gelugor (Pulau Pinang) daripada Pakatan Harapan, Encik Ramkarpal Singh, menyuarakan harapan agar Pannir dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan berkaitan kesnya.

“Kami dengan penuh hormat berpendapat Pannir hanyalah ‘keldai’ (pembawa) dadah dan tidak sepatutnya dihukum gantung.

“Sedangkan sindiket dadah masih bebas dan berkemungkinan sedang menyusun strategi baru untuk memperdaya rakyat Malaysia yang tidak menyedari kandungan bungkusan yang mereka bawa,” katanya pada sidang media, lapor Malaysiakini.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh AP Bukit Bendera (Pulau Pinang), Cik Syerleena Abdul Rashid; AP Batu (Kuala Lumpur), Encik P Prabakaran; serta bekas AP Batu Kawan (Pulau Pinang), Cik Kasthurri Patto; serta sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan sokongan terhadap kenyataan itu.

Pada 2017, Pannir, yang kini berusia 30 tahun, disabitkan kesalahan kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke Singapura, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori. Dia ditahan di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

“Kami berharap Pannir akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman sambil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” tambah Encik Ramkarpal, anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Menurut Encik Ramkarpal, memandangkan Pannir telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura, maka kededua negara diharapkan tidak meneruskan hukuman mati terhadapnya.

Kata AP itu lagi pihaknya berharap kerajaan Malaysia akan campur tangan dalam kes itu.

“Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura memutuskan Pannir didapati telah mengangkut dan menghantar dadah di bawah Seksyen 33B(2)(a)(i) Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, dia tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif.

“Sijil ini pengiktirafan daripada Pendakwa Raya Singapura bahawa Pannir telah memberi maklumat penting bagi membantu siasatan kes dadah di negara itu,” katanya.

Sementara itu, AP Subang (Selangor), Encik Wong Chen, berkata memandangkan Malaysia kini menjadi Pengerusi Asean, Datuk Anwar seharusnya menggunakan kedudukan tersebut untuk mendesak mekanisme lebih adil dalam kes seperti Pannir.

“Seperti yang kita tahu, Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori. Kami masih mengekalkan hukuman mati sebagai pilihan, tetapi semua pelaksanaan hukuman telah dibekukan.

“Ini langkah baik dan saya rasa Singapura boleh mengikuti jejak ini. Mereka boleh kekal tegas dengan undang-undang mereka.

“Kita tidak berniat mencampuri sistem mereka, tetapi mereka boleh meraih penghormatan antarabangsa, lebih-lebih lagi sebagai negara maju,” tambah anggota DAP itu yang turut menyeru AP Singapura bersuara mengenai kes itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg