Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

AP M’sia wajar ‘diajar’ ilmu integriti, bersopan ketika berbahas di Parlimen

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

AP M’sia wajar ‘diajar’ ilmu integriti, bersopan ketika berbahas di Parlimen

Oct 15, 2023 | 05:30 AM



Sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada September lalu dikatakan sebagai ‘hari hitam’ bagi Parlimen Malaysia seperti dilaporkan media massa.

Ia menyusuli kekecohan yang berlaku ketika penggulungan perbahasan dan menyaksikan seorang Ahli Parlimen (AP) pembangkang diarah keluar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang menyaksikan wakil rakyat blok pembangkang turut keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Tanpa prejudis, hakikatnya kekecohan ketika sidang Parlimen itu bukan kali pertama berlaku, sama ada membabitkan AP pembangkang atau kerajaan, sekali gus memberi petanda konsep pendidikan berterusan perlu diberikan kepada AP bagi memastikan kewibawaan dan profesionalisme dapat dikekalkan.

Bermakna, pendidikan berkaitan integriti dan demokrasi dikenali sebagai Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (Kiar) bukan hanya perlu diperkenalkan sebagai kursus kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi perlu diperluaskan kepada AP atau wakil rakyat.

Pengundi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengharapkan wakil rakyat dipilih mempunyai tahap integriti tinggi dengan mengamalkan profesionalisme untuk memastikan hala tuju dan visi menyejahterakan masyarakat dapat dicapai di kawasan mereka dan negara.

Selepas AP mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan ikrar mereka akan taat menjalankan tugas dengan baik serta mematuhi dan mempertahankan Perlembagaan, maka pendidikan berkaitan integriti dan demokrasi boleh diberikan kepada mereka.

Pendidikan ini menyentuh mengenai tatasusila dan tingkah laku, termasuk perkataan yang sesuai dan tidak sesuai untuk digunakan ketika sidang Parlimen.

Ia termasuk persediaan perlu dibuat AP, terutama berkaitan dengan keperluan data, perangkaan atau maklumat lengkap hasil daripada penyelidikan dijalankan bagi menyokong hujah atau cadangan ketika perbahasan dalam dewan.

Data, perangkaan dan maklumat itu menjadi asas kepada sesuatu cadangan dibuat secara konkrit, telus serta lebih bermakna dalam menjelaskan sesuatu perkara.

Pendidikan ini juga boleh memasukkan prinsip hormat dan nilai murni perlu diamalkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mendapatkan kepelbagaian pandangan bermutu daripada AP.

Latar belakang pendidikan berbeza

Kemuliaan Parlimen dapat ditunjukkan dengan sikap saling menghormati dan mengikuti arahan serta keputusan dibuat Yang di-Pertua. Prinsip demokrasi ini perlu difahami dan diamalkan semua AP bagi membolehkan proses dan hasil penghujahan bermutu.

Memandangkan tiada syarat khusus berkaitan kelayakan akademik, ia menyebabkan AP dipilih mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan berbeza dan sebahagiannya tidak mempunyai asas pengetahuan yang cukup mengenai nilai integriti dan sistem demokrasi, bidang kuasa tiga peringkat kerajaan iaitu Persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan kuasa bersama.

Pendidikan ini turut mencakupi kefahaman berkaitan dengan konsep kekebalan AP, memandangkan mereka dianggap sebagai matang berpolitik dan rasional bertindak.

Pendidikan ini bagi mengelak salah guna kekebalan di Parlimen untuk kepentingan peribadi, namun sebaliknya Parlimen perlu digunakan sebagai platform mengutarakan permasalahan, dasar dan isu rakyat serta negara.

Mungkin boleh menggunakan konsep kajian kes dengan menayangkan semula video tingkah laku dan perkataan digunakan AP ketika sidang lalu berlangsung untuk memberi kesedaran dan mengelak menunjukkan tingkah laku dan perkataan mencemar Dewan Rakyat (Parlimen).

Melihat kepada perbahasan di luar negara seperti di Britain, jelas ia memperlihatkan ketajaman perbahasan AP Britain secara profesional.

Perbahasan dimulakan dengan memberi latar belakang atau senario isu, diterokai secara mendalam disokong dengan data dan perangkaan sebelum diakhiri dengan cadangan dan sokongan bersandarkan asas penghujahan. Ia memberikan gambaran sifat dan contoh tingkah laku patut diamalkan AP ketika berbahas di Parlimen.

Fungsi dan peranan persidangan Parlimen perlu dilaksanakan dengan sewajarnya bagi membolehkan masa diperuntukkan dapat dibahaskan secara profesional disertakan dengan hujah konkrit.

Sebenarnya, banyak isu rakyat boleh diperhalusi dalam Parlimen membabitkan pelbagai aspek kehidupan, termasuk soal ekonomi berkaitan seperti kenaikan kos sara hidup, isu keterjaminan makanan, pengangguran dan pelbagai lagi.

Kepelbagaian cabaran kehidupan ini turut menyumbang kepada kes kesihatan mental dalam kalangan masyarakat seperti dinyatakan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini apabila kes meningkat hampir tiga kali ganda dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas.

Permasalahan rakyat seperti ini sepatutnya diutamakan AP dan dibahaskan secara mendalam bagi membolehkan kepentingan rakyat dan negara diutamakan.

Oleh itu, menerusi pendidikan tatasusila dan tingkah laku sewajarnya, ia antara kaedah patut diamalkan untuk melahirkan AP yang berupaya berhujah, berdebat dan berbahas sesuatu dasar atau program yang sesuai untuk menyelesaikan permasalahan rakyat berteraskan fakta tepat, beradab, berakhlak dan menggunakan kata-kata sopan.

Pandangan ini disiarkan di Berita Harian Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >