Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan Peguam gagal cabar keputusan lepaskan Ahmad Zahid daripada tuduhan rasuah

Hakim dapati keputusan Peguam Negara henti prosiding tidak boleh disemak atau diputuskan oleh mahkamah
Jun 27, 2024 | 1:16 PM
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tetapi tidak dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tetapi tidak dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Badan Peguam Malaysia bagi satu semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes rasuah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam prosiding pada 27 Jun, Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan menolak permohonan itu selepas mendapati ia bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah tersebut dan badan itu tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.

Datuk Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Persekutuan untuk ia diputuskan oleh mahkamah tertinggi itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Ahmad Zahid, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Datuk Ahmad Zahid.

Keputusan DNAA bermakna Datuk Ahmad Zahid masih boleh didakwa dengan pertuduhan sama pada masa hadapan.

Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam, memohon perintah mahkamah membatalkan keputusan DNAA itu, dengan menamakan Peguam Negara dan Datuk Ahmad Zahid selaku responden.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara itu batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasanya dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Ia juga memohon perisytiharan bahawa keputusan Badan Peguam itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.

Dalam penghakimannya menolak semua permohonan Badan Peguam, Datuk Amarjeet berkata Badan Peguam tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Beliau berkata keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Ahmad Zahid juga tidak boleh dibawa untuk didengar dan diputuskan melalui prosiding semakan kehakiman.

Peguam Negara, katanya, juga tidak mempunyai kewajipan membekalkan maklumat, dokumentasi, alasan, asas dan butiran yang digunakannya untuk mencapai keputusan memohon DNAA bagi Datuk Ahmad Zahid.

Datuk Amarjeet mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 ($2,875) sebagai kos kepada Peguam Negara.

Dalam prosiding itu, peguam Steven Thiru bertindak bagi pihak Badan Peguam dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara, manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Datuk Ahmad Zahid.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg