Topik diikuti
Pergi ke BHkuBakal pengantin ditahan bersama dadah
Bakal pengantin ditahan bersama dadah
Bakal pengantin ditahan bersama dadah
TAWAU (Sabah): Seorang lelaki tidak sempat bergelar ‘raja sehari’ pada Sabtu selepas ditahan polis bersama 2.1 kilogram dadah syabu bernilai RM120,000 ($34,996).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (AC) Jasmin Hussin, berkata dadah tersebut ditemui selepas lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri dalam pemeriksaan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Timur Tawau di sini pada Rabu.
Beliau berkata suspek bertindak membuat pusingan U dan memecut kenderaannya.
Polis kemudian mengejar dan berjaya menangkapnya.
“Anggota daripada Unit Kereta Peronda (MPV) bertindak mengejar kenderaan terbabit sehingga pemandunya berjaya ditahan,” kata AC Jasmin dalam satu laporan di Facebook Polis Tawau, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut AC Jasmin, apabila memeriksa polis menemui sebuah bungkusan plastik berisi empat bungkusan plastik lutsinar yang berisi bahan disyaki dadah syabu.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai dua lagi bungkusan plastik hijau yang di dalamnya berisi bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 2.1 kg dianggarkan bernilai RM120,000 dan boleh menampung lebih kurang 3,000 orang penagih,” kata beliau.
AC Jasmin berkata suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan semakan rekod jenayah mendapati dia ditahan di bawah undang-undang dadah pada 2016.
Lelaki itu selanjutnya ditahan reman selama tujuh hari dan kesnya disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati.
AC Jasmin menambah bahawa polis juga giat mengesan saki-baki rangkaian pengedaran dadah di daerah Tawau.
“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah,” katanya.
