Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank Negara digesa siasat kenaikan 70% caj premium insurans kesihatan

Nov 28, 2024 | 11:29 AM
Ahli Parlimen Bayan Baru (Pulau Pinang), Encik Sim Tze Tzin. 
Ahli Parlimen Bayan Baru (Pulau Pinang), Encik Sim Tze Tzin.  - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen (AP) blok kerajaan menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal dan menyiasat kenaikan 40 hingga 70 peratus caj premium insurans kesihatan yang dikenakan kepada pengguna.

AP Bayan Baru (Pulau Pinang), Encik Sim Tze Tzin, yang menggerakkan kempen isu kesihatan bersama beberapa rakan AP, menyeru BNM agar menyiasat dan mengkaji semula syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan terbabit.

“BNM berkuasa untuk mengawal selia segala keputusan syarikat insurans. BNM tidak harus melepaskan tangan dengan alasan ini adalah keputusan perniagaan oleh syarikat.

“Mereka kata ini adalah free market (pasaran bebas) dengan willing buyer, willing seller (kerelaan pembeli dan penjual). Ini tidak betul pada pendapat kami.

“Kalau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melaksanakan siasatan mengaut keuntungan berlebihan ke atas kenaikan (contohnya) 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus peratus kenaikan premium?,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Sim berkata kenaikan premium insurans kesihatan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung dengan kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi dan tidak terkawal.

“Ekosistem kesihatan swasta berkait rapat dengan sistem kesihatan awam yang dibiayai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Persekutuan.

“Caj hospital swasta yang melonjak tinggi sudah menjadi bebanan yang begitu tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka sudah memindahkan kos kepada pencarum insurans daripada golongan M40 (berpendapatan sederhana) dan ke atas atau sesiapa saja yang membeli insurans kesihatan termasuk B40 (berpendapatan rendah).

“Golongan rakyat mencarum insurans kerana mereka hanya mahu perkhidmatan swasta yang lebih baik tanpa tunggu, beratur panjang dan kos munasabah.

“Tetapi dengan kenaikan mendadak ini, kami dapati ada pencarum berhenti mencarum dan kini terpaksa kembali ke hospital kerajaan sekali gus menambah beban kepada hospital kerajaan,” katanya.

Encik Sim turut kesal dengan kenyataan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh, pada 26 November, yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan itu sebagai tidak sangsi dan berpatutan.

“Saya telah bangkitkan isu kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan ini dan menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad, untuk mengadakan rundingan bersama hospital swasta untuk isu ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg