KUALA KRAI (Kelantan): Seramai 15 orang termasuk pemandu berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang mereka naiki dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, Kelantan, terbalik berhampiran Batu Jong di sini, awal pagi 26 September.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata tiga individu termasuk pemandu yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 5.30 pagi melalui Sistem MERS 999, dan 13 anggota dari BBP Kuala Krai serta BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kemalangan membabitkan bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.
“Seramai 15 orang yang berada di dalam bas ketika kejadian, termasuk pemandu dan pembantu pemandu.
“Daripada jumlah itu, dua penumpang masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan, manakala 11 lagi penumpang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sementara itu, pemandu bas turut cedera, manakala pembantu pemandu dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah pikap berdekatan kawasan perniagaan Diamond Square, Setapak, Kuala Lumpur, pada 23 September lalu tidak membabitkan unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Lazim Ismail, berkata individu dalam kenderaan berkenaan adalah wanita 58 tahun, bukan warga Malaysia.
“Pemeriksaan badan wanita itu dan tempat kejadian mendapati tiada kesan atau unsur jenayah yang ditemui.
“Bedah siasat pada 9 pagi, Rabu lalu namun (keputusan) punca kematian masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan pada 26 September.
Wanita itu bukan pemilik kenderaan berkenaan yang sudah tidak bergerak sejak April lalu dan tidak berkunci.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg