Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas peserta ‘MasterChef’ dari M’sia bina hidup, niaga di UK
Bekas peserta ‘MasterChef’ dari M’sia bina hidup, niaga di UK
Bekas peserta ‘MasterChef’ dari M’sia bina hidup, niaga di UK
Masihkah anda ingat dengan kisah ‘rendang crispy’ yang pernah mencetuskan perdebatan hangat hingga menjadi perhatian dunia?
Daripada kejadian itulah nama Zaleha Olpin mula dikenali ramai.
Namun di sebalik kisah tular yang mengundang pelbagai reaksi itu, tersimpan perjalanan panjang seorang wanita Malaysia yang kini membina kehidupan di bumi United Kingdom (UK).
Berasal dari Kuantan, Pahang, Cik Zaleha Kadir, 57 tahun, kini menetap di Bristol bersama suaminya, Encik Daud Olpin, serta dua anak perempuan mereka, Cik Ummul Aiman dan Cik Sofea Kateeja.
Kehidupan di perantauan tidak pernah mematahkan semangatnya, malah beliau kini aktif mengusahakan perniagaan katering selain menghasilkan pes rendang dan sambal untuk pelanggan di UK.
Hakikatnya, kehidupan di luar negara bukan perkara baru buat Cik Zaleha.
Beliau meninggalkan Malaysia kira-kira 25 tahun lalu mengikut suami yang bertugas sebagai jurutera marin.
Sepanjang tempoh itu, mereka pernah menetap di beberapa negara termasuk Australia, Korea Selatan dan Qatar sebelum mengambil keputusan menetap di UK sejak sedekad lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas suaminya bersara, selain memikirkan masa depan anak-anak mereka.
“Apabila sudah lama berada di luar negara, kita belajar menyesuaikan diri dengan budaya dan cara hidup masyarakat setempat. Namun, rasa rindu terhadap Malaysia itu sentiasa ada,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri dan Aidiladha di UK, Cik Zaleha berkata suasananya jauh berbeza berbanding di Malaysia kerana diraikan dalam suasana lebih sederhana.
Katanya, di tanah air, Aidiladha lazimnya disambut meriah dengan pelbagai kegiatan masyarakat seperti gotong-royong ibadah korban dan kunjung-mengunjung.
Namun di UK, sambutannya lebih tenang dan tertumpu kepada aspek ibadah.
“Di sini Aidilfitri lebih kepada ‘social Eid’, manakala Aidiladha pula lebih kepada ‘spiritual Eid’.
“Raya Haji di sini lebih santai dan tumpuan utama diberikan kepada ibadah di masjid. Umat Islam akan menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah, tetapi kegiatan sosial tidak begitu ketara seperti di Malaysia,” katanya.
Menurut Cik Zaleha, ibadah korban tetap dilaksanakan di UK, namun caranya berbeza apabila kebanyakan urusan dikendalikan oleh premis yang menjual daging halal.
“Tidak seperti di Malaysia yang banyak membabitkan penyertaan masyarakat secara langsung, proses di UK lebih tersusun dan profesional, tetapi kurang unsur kebersamaan.
“Tambahan pula, masyarakat Islam di UK pelbagai, terdiri daripada masyarakat Asia, Asia Barat dan Afrika. Jadi cara sambutan Aidiladha juga bergantung kepada budaya dan tradisi masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat penerimaan masyarakat setempat terhadap budaya dan sambutan perayaan Islam semakin positif.
Katanya, perkembangan media sosial banyak membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap budaya serta tradisi masyarakat lain.
“Apabila masyarakat lebih memahami budaya dan perayaan orang lain, ia dapat mengurangkan salah faham, stereotaip dan prasangka yang timbul akibat kurang pengetahuan,” katanya.
Nama Cik Zaleha mula mendapat perhatian antarabangsa selepas menyertai program MasterChef UK pada 2018.
Ketika itu, hidangan rendang ayam yang disediakannya mencetuskan kontroversi apabila juri mendakwa ayam berkenaan tidak cukup rangup dan dagingnya tidak dimasak sempurna.
Kenyataan itu mengundang kecaman hebat di media sosial apabila rakyat Malaysia bersatu mempertahankan keaslian rendang serta membidas komen juri berkenaan.
Menariknya, di sebalik kontroversi itu, Cik Zaleha berjaya menukar pengalaman pahit menjadi sesuatu yang positif apabila menghasilkan buku resipi berjudul ‘My Rendang Isn’t Crispy’.
Mengimbas kembali penyertaannya dalam rancangan berkenaan, Cik Zaleha berkata beliau pada awalnya hanya mahu mencuba pengalaman baru tanpa menyangka ia membuka pelbagai peluang dalam hidupnya.
Katanya, penyertaan itu juga berlaku hasil dorongan anak-anak yang menghantar borang permohonan bagi pihaknya.
“Saya hanya mahu merasai pengalaman dan berseronok. Saya memasak makanan warisan keluarga dan memasak dari hati.
“Apa pun, saya gembira kerana walaupun kita sering ‘bertengkar’ mengenai asal-usul makanan, kita semua boleh bersetuju bahawa rendang tidak sepatutnya ‘crispy’,” katanya berseloroh.
Menurutnya, kisah tular itu turut menjadi titik permulaan kepada perniagaan katering serta menghasilkan pes rendang dan sambal yang diusahakannya hari ini.
Mengenai perancangan masa depan, Cik Zaleha mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan sama ada terus menetap di UK atau pulang ke tanah air.
Katanya, kehidupan di UK sudah sebati dengan dirinya dan keluarga, namun kerinduan terhadap Malaysia tetap tidak pernah pudar.
“Mungkin suatu hari nanti kami akan membahagikan masa antara Malaysia dengan UK, terutama apabila anak-anak sudah berdikari dan mempunyai keluarga sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, bakat memasak nyata mengalir dalam keluarga Cik Zaleha apabila kedua-dua anak perempuannya turut menunjukkan minat mendalam dalam dunia masakan sejak kecil lagi.
Menurut Cik Zaleha, anak-anaknya kini jauh lebih mahir pada usia muda berbanding dirinya suatu ketika dahulu, sesuatu yang cukup membanggakan buat dirinya.
Baginya, memasak bukan sekadar menyediakan hidangan, tetapi satu kemahiran hidup yang mampu menghubungkan generasi serta mengekalkan warisan budaya.
“Setiap orang membesar dengan melihat ibu atau nenek mereka memasak. Dari situlah kita belajar pelbagai tip, pantang larang dan cara memasak yang berbeza-beza,” katanya.
Berkongsi rahsia di dapur, Cik Zaleha percaya minat dan keikhlasan menjadi ramuan paling penting dalam setiap masakan.
Katanya, setiap individu mempunyai gaya tersendiri, namun hidangan yang dimasak dengan penuh kasih sayang pasti mempunyai ‘jiwa’ yang dapat dirasai.
Walaupun sudah lama menetap di UK, Cik Zaleha mengakui hatinya tetap dekat dengan Malaysia.
Setiap tahun, beliau akan pulang ke tanah air bukan sahaja untuk bertemu keluarga, malah demi melepaskan rindu terhadap makanan kegemarannya seperti laksa kari dan roti canai.
Katanya, walaupun beliau mampu menyediakan sendiri hidangan berkenaan di rumah, pengalaman menikmati makanan di gerai tempatan atau kedai mamak tetap mempunyai rasa dan suasana yang sukar diganti.
Ia juga menjadi cara untuk memastikan anak-anaknya terus mengenali asal-usul serta budaya Malaysia.
