Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bila majlis nikah yang dinanti jadi majlis tahlil ragut tangkai hati

Bakal pengantin terpaksa tunda majlis, sedih kehilangan kakak dan anak saudara dalam nahas kereta, bas ekspres di Kelantan
May 30, 2025 | 11:59 PM
KEMALANGAN, BAS EKSPRES
Encik Mohd Syafiq Abdul Rahim (dua dari kiri) yang sebak mendapat berita kakak dan anak saudaranya maut kerana nahas, bersama ibu dan ayahnya semasa hadir di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai pada 30 Mei. - Foto SINAR HARIAN

KUALA KRAI: “Esok majlis akad nikah saya, tidak sangka bertukar menjadi majlis tahlil,” luah Encik Mohd Syafiq Abdul Rahim, 24 tahun, adik kepada salah seorang mangsa kemalangan maut di Kampung Sungai Sam, pada 30 Mei.

Dalam kejadian tragis itu, kakaknya, Cik Nurul Ain Abdul Rahim, 39 tahun, anak tunggalnya Cik Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18 tahun, dan menantu Encik Mohamad Faris Kamaludin, 24 tahun, maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres kira-kira 11.20 pagi.

Encik Mohd Syafiq memberitahu laman Sinar Harian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor sambil membawa barangan hantaran perkahwinan yang disediakan khas untuk majlis akad nikahnya pada 31 Mei.

“Hantaran itu digubah oleh anak saudara. Kali terakhir kami berhubung pada 10.30 pagi, kakak maklumkan mereka ikut jalan Gua Musang. Kereta dipandu menantu kakak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra.

Tambahnya, kakaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu lazimnya akan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur, namun kali ini memilih jalan Gua Musang atas cadangan aplikasi navigasi Waze.

“Kami dah beberapa kali larang guna laluan itu. Saya pula dari semalam rasa berdebar... rupa-rupanya petanda saya akan kehilangan kakak serta anak-anak saudara saya,” katanya sebak.

Keluarga mendapat tahu kejadian lewat petang selepas melihat laporan media sosial dan mengesahkan kenderaan mangsa ialah sebuah Perodua Myvi biru yang terlibat dalam nahas tersebut.

Majlis akad nikah Encik Mohd Syafiq yang dijadual berlangsung di Besut, Terengganu pada 31 Mei, dan majlis menyambut menantu pada 1 Jun di Kampung Kayu Rendang, Melor, kini ditangguhkan.

“Saya tunggu keputusan keluarga pengantin perempuan. Kalau ikut perancangan, majlis sepatutnya berlangsung dua hari,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Kampung Kayu Rendang selepas proses bedah siasat selesai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, memaklumkan siasatan awal mendapati kereta mangsa cuba memotong kenderaan lain namun tidak sempat, lalu bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu dan dua penumpang kereta maut di tempat kejadian akibat tersepit. Pemandu bas berumur 43 tahun hanya cedera ringan terkena serpihan cermin, manakala semua penumpang bas selamat,” katanya.

Kejadian tragik ini sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya tentang risiko melalui laluan berselekoh dan sempit terutama di kawasan berbukit seperti laluan Gua Musang-Kota Bharu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg