Pengukuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Singapura tidak dilihat sebagai faktor penghalang utama kepada warga republik itu untuk terus berkunjung dan bercuti ke Malaysia, khususnya Johor, sepanjang musim cuti persekolahan ketika ini.
Sebaliknya, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kebimbangan terhadap risiko banjir menjadi pertimbangan utama dalam menentukan sama ada Johor dipilih sebagai destinasi atau digantikan dengan negeri lain.
Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati kebanyakan warga Singapura yang ditemui menyatakan aspek keselamatan, terutama laporan berkaitan banjir dan hujan lebat, lebih mempengaruhi keputusan perjalanan mereka berbanding perubahan kadar pertukaran mata wang.
Walaupun ringgit dilihat semakin mengukuh, ia tidak banyak mengubah corak perbelanjaan atau kekerapan kunjungan mereka ke Malaysia.
Encik Azeez Razak, 37 tahun, yang sering memandu masuk ke Johor, berkata keputusan untuk ke Malaysia biasanya dibuat berdasarkan maklumat dan pertimbangan yang teliti, khususnya apabila melibatkan keselamatan perjalanan.
Menurutnya, hujan atau kesesakan lalu lintas bukan isu besar bagi pemandu, namun laporan banjir di Johor dan beberapa negeri lain menyebabkan beliau lebih berhati-hati merancang destinasi.
“Bagi warga Singapura, Johor bukan satu-satunya pilihan kerana Malaysia mempunyai banyak negeri yang menawarkan pengalaman hampir sama dari segi pusat beli-belah dan restoran.
“Kami sudah biasa memandu dan tahu ke mana hendak pergi. Yang kami elakkan ialah kawasan yang berisiko banjir. Jika Johor ada laporan banjir, kami boleh pilih negeri lain,” katanya.
Mengulas tentang perbelanjaan, Encik Azeez berkata kebanyakan warga Singapura kini menggunakan kad pembayaran berbanding membawa wang tunai, menyebabkan perubahan kadar tukaran mata wang tidak begitu dirasai.
Dari sudut perbandingan, perbelanjaan di Malaysia masih dianggap berbaloi, ujar beliau, berbanding negara seperti Jepun atau negara Barat, walaupun ada barangan yang harganya hampir menyamai Singapura.
“Bagi saya, perubahan kadar tukaran tidak begitu memberi kesan. Hujan pun bukan isu besar. Yang benar-benar mempengaruhi keputusan ialah banjir,” katanya sambil menambah bahawa projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) rentas sempadan Woodlands-Johor Bahru berpotensi mengubah corak perjalanan warga Singapura ke Johor pada masa depan.
Pandangan hampir sama dikongsi Sharifah Munirah, 39 tahun, seorang suri rumah yang menetap di Woodlands.
Ibu lima anak lelaki itu berkata beliau dan keluarga masih kerap ke Johor, malah hampir setiap minggu, terutama untuk menikmati makanan dan membawa anak-anaknya ke restoran yang dianggap mahal jika dikunjungi di Singapura.
“Johor Bahru sering menjadi pilihan kerana menawarkan kepelbagaian makanan dan kedai buku, selain jaraknya yang dekat.
“Jika mempunyai masa lapang, saya dan suami turut membawa anak-anak ke Desaru bagi menikmati suasana percutian keluarga,” katanya.
Namun, beliau mengakui musim hujan sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan perjalanan mereka.
Beliau akan mengikuti laporan berita dan memastikan keadaan selamat sebelum membuat keputusan menyeberang ke Johor.
“Kami pernah berdepan situasi banjir ketika berada di Kuala Lumpur.
“Walaupun menginap di hotel, pergerakan menjadi terhad dan kami dinasihatkan menggunakan kenderaan sewa.
“Pengalaman itu membuatkan kami lebih berhati-hati,” ujarnya.
Sharifah Munirah turut menyentuh mengenai kempen Tahun Melawat Johor 2026 yang dijalankan, namun berharap kesannya dapat dirasai secara berterusan dan bukan bersifat sementara.
Tambahnya, walaupun terdapat komen negatif di media sosial berkaitan kehadiran warga Singapura di Johor, layanan peniaga tempatan yang ramah membuatkan beliau dan keluarga tidak berasa teragak-agak untuk terus berkunjung.
“Ringgit kukuh adalah satu kebaikan untuk Malaysia. Kami pula masih ke Johor untuk makan dan berjalan-jalan,” katanya.
Sementara itu, Cik Monistira Mohd, 42 tahun, dari Tampines berkata beliau tetap akan ke Johor, namun lebih berhati-hati dalam berbelanja selepas mendapati sesetengah barangan kini lebih murah di Singapura.
Menurutnya, beliau lebih gemar menginap di hotel yang mempunyai pusat beli-belah bersebelahan kerana lebih mudah dan menawarkan pelbagai kegiatan.
“Percutian singkat selama dua hari satu malam sudah memadai, namun faktor cuaca akan sentiasa dipantau sebelum bertolak.
“Jika tempat yang ingin dikunjungi dilaporkan banjir, saya akan batalkan rancangan. Saya sentiasa mengikuti ramalan cuaca, terutamanya ketika musim monsun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa suaminya berulang-alik ke Johor hampir setiap hari kerana urusan kerja, menjadikan Johor bukan sesuatu yang asing bagi keluarganya.
Mengenai kempen Tahun Melawat Johor 2026, Cik Monistira berkata beliau hanya mengetahui mengenainya selepas melihat acara besar diadakan, dan berharap maklumat seumpama itu dapat disebarkan dengan lebih meluas.
Dari sudut peniaga pula, Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Angsana, Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah, berkata kehadiran warga Singapura ke pusat membeli-belah dilihat tidak serancak biasa.
Menurutnya, peniaga sukar mengenal pasti punca sebenar, sama ada disebabkan faktor perkhidmatan, mata wang atau kecenderungan warga Singapura bercuti ke luar negara.
Beliau berkata, kebiasaannya tiga bulan menjelang musim perayaan, jumlah pengunjung sudah mula meningkat, namun keadaan pada 2025 dilihat sederhana.
“Jualan kami tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Peniaga terpaksa memberi tumpuan menarik pelanggan tempatan, walaupun persaingan promosi semakin sengit,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Johor, Encik Ivan Teo, berkata musim cuti panjang sekolah di Singapura menyaksikan ramai keluarga memilih destinasi lebih jauh seperti Jepun dan China.
“Faktor musim hujan serta kebimbangan keselamatan akibat banjir turut mempengaruhi keputusan mereka.
“Kebanyakan kejadian banjir berlaku di kawasan pinggir bandar dan bukan di pusat bandar Johor Bahru.
“Justeru, usaha promosi perlu dipertingkatkan bagi meyakinkan pelancong bahawa Johor Bahru masih selamat untuk dikunjungi dan menawarkan pelbagai tarikan keluarga,” ujarnya.
Menurutnya, hujan lebat bukan perkara baru di Johor dan warga Singapura sudah biasa dengan keadaan cuaca yang hampir sama.
Namun, beberapa tarikan luar seperti pantai Desaru, taman tema air dan kegiatan golf terpaksa ditutup sementara ketika hujan lebat, menyebabkan pelancong lebih banyak menghabiskan masa di resort atau pusat membeli-belah.
Mengulas lanjut, Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata kawasan Johor Timur seperti Mersing dan Kota Tinggi memerlukan pelancong lebih berhati-hati ketika musim monsun.
“Aktiviti persiaran pulau di Mersing dan aktiviti pantai di Desaru ditutup sementara berikutan keadaan laut bergelora serta angin kencang.
“Tetapi kawasan Johor Barat dan Johor Tengah masih beroperasi seperti biasa, termasuk aktiviti pelancongan dalaman seperti membeli-belah, gastronomi dan tarikan bersejarah.
“Menjelang Tahun Melawat Johor 2026, promosi turut difokuskan kepada produk pelancongan tertutup yang tidak terjejas oleh hujan,” katanya.
Ini termasuk pusat beli-belah di Johor Bahru, tarikan sejarah seperti Kota Jail, Zoo Johor, serta produk pelancongan masyarakat seperti Kampung Sungai Melayu di Gelang Patah.
“Selain itu, pelancong juga boleh menikmati pengalaman makanan laut di Pontian, galeri sejarah di Batu Pahat dan Muar, serta kolam air panas di Sungai Gersik dan Labis,” tambah Encik Mohammad Nazrul.
Encik Mohammad Nazrul berkata Segamat turut menjadi tarikan ketika ini berikutan musim durian yang sedang berlangsung, sekali gus menarik minat warga Singapura yang gemar menikmati raja buah itu secara langsung di ladang.
Namun, beliau menasihatkan pelancong agar sentiasa peka dengan ramalan cuaca dan mengutamakan keselamatan ketika merancang perjalanan, terutama ke kawasan yang berisiko banjir.
“Johor masih terbuka dan selamat untuk dikunjungi, asalkan pelancong merancang perjalanan dengan berhemah dan mematuhi nasihat keselamatan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg