SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cuaca panas: Melaka berdepan catuan air jika rakyat tidak jimat

Cuaca panas: Melaka berdepan catuan air jika rakyat tidak jimat

Bekalan air mampu bertahan hingga Nov; bakal laksana operasi pembenihan awan
Apr 9, 2026 | 2:24 PM

Cuaca panas: Melaka berdepan catuan air jika rakyat tidak jimat

JASIN (Melaka): Melaka mungkin terpaksa mencatu air jika rakyat gagal berjimat cermat, terutama dalam musim panas berpanjangan ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata catuan bergantung sepenuhnya kepada disiplin pengguna mengurus air harian, justeru kerajaan negeri tidak mampu memberi jaminan ia tidak akan berlaku.

Menurut Datuk Ab Rauf, catuan akan dilaksanakan jika paras air negeri mencapai tahap kritikal, memerlukan kawalan ketat agar bekalan dapat bertahan lebih lama.

“Jika paras air mendesak untuk dicatu, kita pasti akan lakukannya demi memastikan bekalan air terkawal dan bertahan lebih lama sebelum mencapai paras sangat kritikal.

“Kapasiti simpanan air semasa ialah sekitar 300 juta liter.

“Bekalan air negeri masih mampu bertahan hingga November, jika penggunaan dapat dikawal dengan baik,” katanya selepas melawat tapak Projek Loji Empangan Jus Fasa 2 di Empangan Jus, Jasin, Melaka, pada 8 April, lapor Harian Metro.

Datuk Ab Rauf menjangkakan Melaka berdepan cuaca panas dan hujan yang kurang secara berterusan hingga September.

“Kita akan mengambil pelbagai langkah termasuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam masa terdekat.

“Jabatan Meteorologi Malaysia kini sedang menilai keadaan cuaca, termasuk kesesuaian awan dan atmosfera, bagi memastikan operasi itu dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Sementara itu, di Padang Besar, Perlis, cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah mengurangkan hasil tangkapan nelayan darat di Empangan Timah Tasoh sehingga 50 peratus.

Timbalan Pengerusi, Nelayan Darat Empangan Timah Tasoh, Encik Abdul Azhar Abdul Aziz, menjelaskan penyusutan paras air empangan memaksa ikan beralih dari pesisir ke kawasan lebih dalam untuk berlindung.

Namun, beliau berkata, kawasan air dalam itu adalah zon larangan atas faktor keselamatan, menghalang nelayan daripada menghampirinya.

“Apabila air kering, ikan terpaksa mencari tempat lebih dalam, iaitu kawasan larangan. Nelayan hanya mampu melihat, ikan ada tetapi tidak boleh ditangkap.

“Mengikut rekod pendaratan bulanan Jabatan Perikanan setakat minggu ini, hasil tangkapan merosot 50 peratus.

“Jumlah hasil tangkapan 30 nelayan pada April ini belum mencecah 1,000 kilogram (kg),” katanya.

Mengulas lanjut, Encik Abdul Azhar menyatakan operasi pembenihan awan baru-baru ini berjaya membawa hujan ke Padang Besar, tetapi gagal menaikkan paras air empangan.

“Kawasan tadahan empangan seluas 20 kilometer persegi memerlukan hujan lebat berpanjangan. Kemarau ini dijangka berterusan hingga Ogos.

“Setakat ini, terdapat 30 nelayan sepenuh masa berdaftar di bawah Jabatan Perikanan yang menerima elaun sara hidup RM250 sebulan ($79.92), manakala 10 lagi individu adalah nelayan sambilan,” tambahnya.

Seorang lagi nelayan, Encik Rosli Ismail, pula berkongsi, hasil tangkapannya kini menurun mendadak, hanya sekitar empat hingga lima kg sahaja.

“Ikan itu ada tetapi tidak banyak. Dahulu, apabila memukat, kita boleh dapat lima hingga 60 kg, tetapi sekarang hanya empat ke lima kg.

“Selain cuaca panas, kehadiran pemangsa seperti ikan toman juga menyukarkan spesies ikan lain untuk bertahan,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg