Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua rentung dalam kebakaran di Kedah dalam kes bunuh angkara dendam

Jan 23, 2025 | 11:43 AM
Seorang warga emas, Allahyarham Ibrahim Mydin, 61 tahun, dan anak angkatnya, Allahyarham Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23 tahun, ditemukan rentung dalam satu kebakaran dipercayai dibunuh akibat dendam, di rumah mereka di Alor Setar, Kedah, pada 21 Januari.
Seorang warga emas, Allahyarham Ibrahim Mydin, 61 tahun, dan anak angkatnya, Allahyarham Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23 tahun, ditemukan rentung dalam satu kebakaran dipercayai dibunuh akibat dendam, di rumah mereka di Alor Setar, Kedah, pada 21 Januari. - Foto ASTRO AWANI

ALOR SETAR (Kedah): Polis mengklasifikasikan semula kematian dua lelaki yang rentung akibat kebakaran rumah di Jalan Kota Tanah, Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah, pada 21 Januari, akibat kejadian bunuh yang dipercayai angkara dendam.

Susulan itu, lima suspek berusia 19 hingga 53 tahun termasuk anak saudara salah seorang mangsa telah diberkas polis, selain seorang lelaki warga Myanmar yang turut menghuni rumah itu.

Sebelum ini media Malaysia melaporkan seorang warga emas, Allahyarham Ibrahim Mydin, 61 tahun, dan anak angkatnya, Allahyarham Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23 tahun, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit dengan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.51 pagi pada 21 Januari melibatkan kebakaran rumah yang dimiliki Allahyarham Ibrahim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan lanjut polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menemukan bahan api terbabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati anak saudara mangsa masuk ke rumah terbabit dengan menggunakan kunci pendua (salinan) diberikan seorang lagi suspek sambil membawa minyak petrol untuk disimbah ke arah mangsa dan kediaman itu.

Katanya, kededua mangsa berusia 61 dan 23 tahun yang sudah dikenal pasti identiti mereka itu sedang tidur di bilik tingkat atas rumah itu ketika kejadian.

“Kejadian sepatutnya kemalangan, namun siasatan mendapati ia bukan kemalangan kerana maklumat pertama yang kita dapat laporan mengatakan ada bau petrol dan daripada itu kita buat tangkapan ke atas lima lelaki ini untuk siasatan awal dan kita dapat pastikan dan menjurus kepada siasatan kes bunuh,” katanya, lapor Astro Awani.

Katanya, siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral yang mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian, dan lebih menguatkan siasatan apabila mangsa berusia 61 tahun membuat laporan polis sehari sebelum itu kerana telefon bimbitnya dilarikan suspek.

Bagaimanapun, laporan itu ditarik semula tidak lama kemudian sebelum kejadian kebakaran yang berlaku di kediaman itu.

Tambahnya, daripada lima suspek yang ditahan, tiga daripadanya dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian terbabit dengan salah seorangnya disyaki membantu menyerahkan kunci pendua kediaman itu kepada suspek utama.

Namun, kelima-lima mereka kini direman sehingga 27 Januari ini bagi melengkapkan siasatan.

Tiga suspek utama didapati positif dadah, manakala dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg