Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu rap untuk rakyat, Altimet kini usaha khidmat terbaik sebagai wakil rakyat 

Aug 11, 2024 | 5:30 AM
Selain hadiri program masyarakat dan kebajikan, penuhi jemputan aktiviti riadah seperti sukan juga kerap dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman, atau Altimet.
Selain hadiri program masyarakat dan kebajikan, penuhi jemputan aktiviti riadah seperti sukan juga kerap dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman, atau Altimet. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Genap setahun sudah penulis lagu, penerbit dan penyanyi rap terkenal Malaysia, Altimet terjun ke arena politik dan bergelar wakil rakyat – satu bidang yang tidak pernah termimpi untuk diceburinya.

Namun, amanah rakyat yang memberi mandat kepadanya menerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Ampang, Selangor, dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023, dipikul baik oleh pemimpin tinggi lampai berusia 46 tahun ini.

“Saya tak pernah bercita-cita atau memasang angan-angan untuk menceburkan diri dalam bidang politik, tetapi apabila masa itu tiba, saya menganggap dan menerima ini sebagai satu tanggungjawab untuk menabur bakti kepada rakyat dan negara,” kata Altimet dalam wawancara eksklusif bersama Berita Minggu (BM).

Terlalu banyak pengalaman dan perkara baru menerjah dirinya dalam tempoh setahun itu, dan sudah tentu pelbagai cabaran perlu ditempuhi dengan bijaksana dan matang, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rakyat.

Kata Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman, dunia hiburan yang dilayarinya selama 20 tahun banyak membantu dalam membentuk dirinya untuk cuba menjadi pemimpin baik, terutama dari segi ketahanan mental dan fizikal.

“Sepanjang setahun ini, saya dalam keadaan masih belajar. Saya tahu banyak perkara saya tidak tahu dalam bidang politik ini, dan saya belajar benda baru setiap hari. Ada perkara yang saya sudah berpuas hati dengan prestasi, namun masih banyak juga yang perlu diperbaiki.

“Antaranya cabaran berucap dan berbahas pada persidangan DUN. Saya rasa itu antara perkara yang saya kena beri lebih fokus. Untuk program di kawasan setakat ini alhamdulillah, saya banyak dibantu pasukan di pejabat DUN Lembah Jaya yang sangat berkesan dan laju bekerja,” kongsinya.

Kata bapa tiga anak ini, secara amnya beliau melihat isu mengenai kelangsungan hidup dan peluang pekerjaan anak muda antara yang kritikal diberi perhatian kerana kelompok ini yang akan membawa hala tuju negara ke tahap lebih baik.

“Saya juga banyak cuba membawa isu yang meningkatkan daya saing golongan wanita, isu penjagaan warga emas dan isu tentang kelangsungan hidup dan peluang pekerjaan anak muda,” kongsinya ketika ditemui BM.

Menurut Altimet, penduduk penduduk Lembah Jaya yang merentasi pelbagai peringkat umur memerlukan beliau lebih selektif dan menyusun program dengan lebih teliti, dan program sukan antara yang tidak diketepikan selain kegiatan ziarah, sumbangan bantuan dan turun padang bersama penduduk setempat.

Menjadi ahli politik ketika Malaysia berada di ambang cabaran ekonomi dan krisis global, Altimet melihat politik negara berada dalam fasa baru yang lebih stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahan, isu Ahli Parlimen (AP) dan Adun pembangkang beralih sokongan yang agak hangat mewarnai politik Malaysia turut dilihatnya sebagai anjakan baru yang tidak pernah dilalui sebelumnya.

“Bagi saya politik Selangor dan negara ketika ini stabil dan banyak benda baru dipelajari selepas 60 tahun kita tidak melalui pertukaran kerajaan. Kerajaan hari ini adalah satu pasukan baru yang dibentuk secara dokongan pelbagai parti politik untuk menamatkan situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Berpegang kepada prinsip adil dalam memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya, ujar Altimet, beliau cuba sebaiknya mencontohi kepimpinan Rasulullah saw ketika memimpin kota Madinah.

“Saya tidak melihat perbezaan menangani cabaran berdepan dengan mereka yang berbeza fahaman politik dengan saya kerana saya tahu, selepas hari pengundian pada 12 Ogos 2023 itu, pada akhirnya, mereka semua adalah orang Lembah Jaya.

“Jadi sebagai orang Islam, kita perlu berkhidmat dengan adil. Jadi apa saja dilema yang saya hadapi sepanjang berkhidmat, saya kembali kepada ajaran Rasulullah saw,” katanya.

Lebih lima tahun menyepikan diri daripada melakukan persembahan di pentas seni sebelum terjun ke bidang politik, industri hiburan yang pernah menjadi sumber rezekinya ternyata masih dekat dengan jiwa Altimet.

Beliau merasakan kelebihan sebagai ahli politik ketika ini sebagai bonus untuk beliau membawa suara anak seni dan mengetengahkan pelbagai isu yang menghambat industri hiburan ke peringkat atasan.

Contohnya, baru-baru ini beliau bersama pasukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencari huraian menangani isu cetak rompak dan penyiaran kandungan haram yang menjejas penggiat industri seni.

“Benar, walaupun saya tidak lagi aktif dalam dunia hiburan, tetapi industri seni masih melekat di jiwa. Sebagai seorang tokoh yang mempunyai pelbagai sisi, saya sudah berada di dalam dunia muzik selama lebih dua dekad dan menerusi pengalaman yang saya lalui inilah mendorong saya untuk bersuara.

Walaupun tidak lagi aktif menyanyi, ramai tidak tahu rupanya Altimet menyimpan lebih 100 lagu rakaman sejak 2019, yang masih belum diterbitkan sehingga kini. Minat menulis dan merakam lagu masih menebal dan justeru itu Altimet tidak menolak sekiranya ada mana-mana artis yang berhasrat mendapatkan lagu ciptaannya.

“Namun, semuanya mengikut kesesuaian juga. Jika saya berkelapangan dan dikurniakan ilham, saya sedia memenuhi permintaan untuk mencipta lagu. Apapun, keutamaan saya tetap tanggungjawab sebagai Adun Lembah Jaya. Ini amanah yang perlu saya pikul sebaiknya,” tambah Altimet.

Ditanya sasarannya dalam bidang politik, pantas Altimet menjawab, beliau hanya bersedia mempertahankan kedudukannya dalam tempoh tiga penggal dan selepas itu bersedia melepaskan bagi memberi peluang kepada bakal pemimpin lain pada masa depan.

“Sasaran saya ialah untuk membawa perubahan positif kepada hala tuju Malaysia. Jika sekarang di peringkat negeri, mana tahu selepas ini di peringkat Persekutuan pula. Tetapi saya berpendapat, wakil rakyat tidak perlu memegang jawatan terlalu lama, tiga penggal adalah tempoh maksimum.

“Lagi pula, dalam tempoh itu usia saya juga akan mencecah 60 tahun, jadi beri peluang pada pemimpin lain pula,” katanya sambil tersenyum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg