Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan terhadap golongan LGBT tidak diterima: Anwar

Sep 24, 2023 | 6:53 PM
TIDAK DITERIMA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak akan izinkan sebarang perbuatan mengganggu atau tindakan melampau terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
TIDAK DITERIMA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak akan izinkan sebarang perbuatan mengganggu atau tindakan melampau terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - Foto REUTERS

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia tidak akan mengizinkan sebarang perbuatan mengganggu atau tindakan melampau terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun dalam satu wawancara bersama Cik Christiane Amanpour dari CNN di New York pada Sabtu, Datuk Anwar berkata Malaysia tidak akan mengiktiraf hak LGBT.

Beliau berkata: “Sama ada orang Muslim atau bukan Muslim, terdapat satu konsensus - mereka tidak menerima hal ini, perbuatan secara terbuka (LGBT) ini. Tetapi adakah ia wajar kami kemudian mengganggu mereka?

“Ini merupakan subjek yang lain. Saya tidak mengizinkan sebarang percubaan untuk mengganggu mereka.”

Apabila ditanya mengenai larangan kerajaan terhadap jam tangan Pride oleh jenama Switzerland, Swatch, termasuk hukuman penjara tiga tahun sekiranya ada seseorang didapati melanggar peraturan itu, Datuk Anwar berkata beliau tidak berupaya mempertahankan semua tindakan penguatkuasaan.

Beliau menambah, beliau berharap peraturan itu dapat diubah.

Pada awal Ogos, Kementerian Dalam Negeri Malaysia melarang produk Swatch yang mengandungi unsur LGBT.

Ia berkata sesiapa yang memiliki produk seperti itu boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga 20,000 Ringgit ($5,820) atau kedua-duanya jika disabit bersalah.

Kementerian itu berkata Putrajaya melarang semua produk Swatch yang mengandungi elemen LGBTQ+ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer), termasuk jam tangan, kotaknya, serta bungkusan dan bahan berkaitan lain.

Larangan itu di diwartakan pada 10 Ogos dan adalah sejajar syarat Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Kerajaan Malaysia komited dalam mencegah unsur-unsur yang boleh merosakkan moral serta kepentingan rakyat, negara dan masyarakat,” kata kementerian itu

Susulan itu, Datuk Anwar berkata beliau perlu menghormati konsensus yang disetujui rakyat Malaysia.

“Konsensus rakyat, saya perlu menghormatinya... tetapi ia sepatutnya tidak dilihat sebagai gangguan,” tambahnya.

Apabila Cik Amanpour berkata Datuk Anwar sepatutnya bersikap sensitif terhadap undang-undang liwat kerana beliau sendiri salah didakwa di bawah undang-undang tersebut, Datuk Anwar berkata undang-undang itu sepatutnya disemak semula agar ia tidak disalahgunakan dan digunakan bagi tindasan politik. “Saya sudah jelas menyatakan kami harus semak dan lihat semula undang-undang itu; ia tidak sepatutnya disalahguna, dalam kes yang mana saya telah didakwa dan ia diguna bagi urusan politik. Namun akhirnya kami harus menghormati sentimen am rakyat Malaysia,” kata Datuk Anwar. “Kami harus mengamalkan toleransi sebab isu bertentangan (komuniti) LGBT adalah gangguan dan saya rasa kami harus elak daripada berbuat demikian,” kata Datuk Anwar apabila ditanya sekiranya rakyat Malaysia akan menerima dasar “jangan beritahu, jika ia tidak ditanya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg