Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hati-hati ular masuk rumah ketika cuaca panas di M’sia

Feb 19, 2024 | 3:38 PM
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar menangkap ular yang memasuki satu premis di Alor Setar, Kedah, ketika musim kemarau pada 2018.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar menangkap ular yang memasuki satu premis di Alor Setar, Kedah, ketika musim kemarau pada 2018. - Foto BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT ALOR SETAR

JOHOR BAHRU: Cuaca panas di beberapa negeri di Malaysia bukan saja memberi kesan kepada manusia, ternakan dan tanaman, bahkan haiwan liar seperti ular yang mula mencari kawasan perlindungan yang lembap dan menjadi tetamu tidak diundang.

Kawasan perumahan antara yang menjadi ‘sasaran’ haiwan liar ini dengan ular berkemungkinan memasuki tempat seperti bangunan, rumah, kenderaan dan dalam beberapa kes, kasut dan kenderaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Encik Azmi Ab Rahim, pihaknya menjangkakan peningkatan kes kemasukan ular ke dalam rumah atau premis susulan cuaca kemarau sekarang.

Katanya, pada 2023, JBPM Johor menangkap 4,329 ular ketika musim kemarau, manakala 4,414 tangkapan pada 2022.

“Memandangkan musim kemarau tiba, kami menjangkakan lebih banyak panggilan mengenai kes ular memasuki rumah atau premis lain,” katanya lapor The Star.

Beliau berkata penduduk, terutama yang tinggal berhampiran kawasan hutan, perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak ular masuk ke dalam rumah dengan memastikan semua pintu masuk dan tingkap sentiasa ditutup.

“Pastikan rumah bersih dan sentiasa menutup semua pintu atau laluan yang bukan saja untuk menghalang ular, malah juga tikus dan biawak kecil, daripada memasuki rumah ketika kemarau ini,” katanya.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan walaupun Langkawi disenaraikan sebagai antara 10 daerah yang dilanda cuaca panas tahap satu dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius, ia tidak menjejas kunjungan pelancong ke pulau peranginan berkenaan.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Kapten Baharin Baharom, berkata rekod jualan tiket feri menunjukkan cuaca panas tidak menghalang 8,623 pelancong masuk ke Langkawi untuk bercuti sejak 17 Februari.

Selain Langkawi, Jabatan Meteorologi Malaysia menyenaraikan sembilan kawasan lain iaitu Kota Setar, Yan, Pendang, Pokok Sena, Sik, Baling di Kedah; Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar, Perak, manakala Sabah membabitkan daerah Beaufort yang mengalami cuaca panas melampau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg