KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia mengesan wujudnya rangkaian kartel yang kini dalam siasatan, membabitkan kegiatan pegawai kanan merekrut petugas baru supaya menyertai salah laku rasuah dalam jabatan itu di pintu masuk ke negara secara counter setting bagi memperoleh habuan lumayan.
Counter setting, atau penetapan kaunter, merujuk kepada pegawai imigresen yang korup dengan ejen atau sindiket luar negara
Tindakan itu dikatakan wujud sejak kegiatan counter setting dikesan dalam jabatan itu sejak 2017 dan keengganan mana-mana pegawai baru menurut arahan kumpulan terbabit akan menyebabkan mereka diboikot dan dipulaukan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, ketika mendedahkan kegiatan itu mengakui ramai lagi pegawai imigresen yang terbabit salah laku rasuah di pintu masuk Malaysia akan dikenakan tindakan selepas ini, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata pemantauan terhadap mereka yang terbabit terus dilakukan pihaknya untuk mengumpulkan semua bukti bagi memastikan pegawai yang menjejas kewibawaan imigresen itu kelak bukan setakat dikenakan tindakan tatatertib dalaman, bahkan didakwa secara jenayah.
“Sebenarnya tangkapan dibuat PDRM dan SPRM terhadap kakitangan imigresen yang terbabit jenayah rasuah di pintu masuk negara adalah susulan maklumat yang kita berikan kepada mereka kerana jika tindakan dibuat pihak kita saja, mereka yang bersalah hanya dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
“Namun, jika tindakan jenayah diambil, mereka juga boleh didakwa di mahkamah dengan rampasan dibuat terhadap aset atau wang diperoleh hasil salah laku itu, sekali gus membanteras kegiatan ini.
“Kita akui salah laku ini masih berterusan dan ramai lagi pegawai Imigresen terbabit walaupun tindakan tegas sudah diambil.
“Ini disebabkan budaya kartel yang tersusun dan berstruktur secara merekrut anggota baru bagi meneruskan kegiatan yang menawarkan habuan lumayan itu, kita tahu siapa mereka,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam Ops Rentas dijalankan serentak di empat negeri sejak 9 September lalu, Bahagian Perisikan SPRM mengesan ada pegawai imigresen menyimpan hasil rasuah lebih RM1 juta ($304,701) dalam akaun Tabung Haji (TH), selain lebih RM400,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
SPRM Selangor dalam Ops Rentas di negeri itu, menyita pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas kira-kira 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 daripada enam individu termasuk lima pegawai imigresen bertugas di pintu masuk negara.
Selain itu, sepasang suami isteri pegawai imigresen yang direman di Melaka, bukan setakat mengumpul kekayaan dengan membeli barangan kemas, bahkan mampu membuka sebuah kedai emas dengan simpanan logam itu bernilai RM1.4 juta, hasil rasuah memanipulasi proses pemutihan pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing di Malaysia.
Pasangan suspek berusia 40-an tahun itu dikesan SPRM membuka kedai emas di Pahang, bermodalkan wang rasuah RM600,000 yang dikumpul sejak 2020.
Bagi melindungi kegiatan mereka, pasangan terbabit melantik adik kepada pegawai wanita berkenaan dan anak sendiri sebagai pengendali premis tersebut.
Mengulas habuan diperoleh pegawai imigresen yang terbabit rasuah itu, Datuk Zakaria mengakui, kebanyakan mereka dilihat menikmati gaya hidup mewah dengan membeli aset dan kenderaan mahal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg