Beberapa parti politik di Johor tampil menyuarakan kebimbangan dan kecaman terhadap insiden tragis yang melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditikam oleh rakan sekolahnya pada 14 Oktober.
Mereka juga menuntut supaya aspek keselamatan, pendidikan moral serta kawalan emosi di sekolah diperhalusi segera oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan.
Parti Pejuang Johor menerusi Ketua Penerangannya, Cik Suraya Sulaiman, menegaskan bahawa kejadian itu mencerminkan krisis nilai dalam kalangan pelajar dan kelemahan sistem pendidikan dalam membentuk kawalan emosi serta akhlak.
“Insiden ini tidak boleh dianggap kes terpencil, sebaliknya petanda jelas bahawa sistem pendidikan perlu memberi penekanan lebih terhadap pembangunan sahsiah dan kesedaran emosi, bukan hanya pencapaian akademik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Oktober.
Beliau turut menggesa agar Kementerian Pendidikan menilai semula keberkesanan program bimbingan dan kaunseling di sekolah serta memperkukuh modul pendidikan karakter supaya pelajar dapat mengawal emosi dan bertindak secara rasional ketika menghadapi tekanan.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Encik Murad Jailani, pula menegaskan bahawa isu keganasan di sekolah tidak boleh diselesaikan dengan menuding jari kepada mana-mana pihak semata-mata.
“Masalah ini bukan baru, cuma kini ia semakin terbuka kerana adanya media sosial dan telefon bijak. Dulu banyak kes disembunyikan, tetapi sekarang ia mudah tersebar,” katanya.
Beliau menjelaskan, menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan setiap kali tragedi berlaku bukan langkah adil, sebaliknya kerajaan perlu segera memperkenalkan pelan pembetulan menyeluruh.
“Yang diperlukan bukan pengunduran seseorang, tetapi pembaikan sistem secara keseluruhan,” katanya sambil menambah bahawa punca sebenar perlu ditangani secara mendalam, termasuk kelemahan disiplin sekolah, pengaruh media sosial, kekurangan bimbingan moral serta pegawai kaunseling terlatih.
Antara langkah segera yang dicadangkan ialah pelaksanaan audit keselamatan menyeluruh, penambahan pegawai kaunseling dan guru disiplin, memperketat penggunaan telefon bimbit serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Johor Bahru, Encik Ahmad Solehin Abd Ghani, menolak pandangan bahawa Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, tidak seharusnya dipersalahkan, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab moral dan pentadbiran tetap terletak di bawah kementerian.
“Memang benar seorang menteri tidak berada di setiap sekolah, namun tanggungjawab utamanya ialah memastikan sistem pendidikan dilindungi oleh dasar dan garis panduan yang kukuh bagi mencegah kejadian seumpama ini,” katanya.
Menurutnya, apabila berlaku insiden tragis di bawah bidang kuasa kementerian, persoalan utama ialah sama ada dasar dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada cukup kuat untuk mencegahnya.
“Menteri mesti memimpin reformasi keselamatan sekolah, bukan hanya menjadi pembuat dasar di atas kertas. Beliau perlu memastikan pemantauan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dijalankan dengan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab moral dan politik tidak boleh dialihkan kepada guru atau masyarakat, kerana kementerianlah yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dasar keselamatan pelajar.
“Menyalahkan pihak bawahan tanpa menilai kelemahan sistem kementerian adalah bentuk pengabaian tanggungjawab politik dan moral. Menteri tidak boleh menjadi pemerhati; beliau mesti menjadi peneraju reformasi,” katanya.
Encik Ahmad Solehin menambah, tragedi di sekolah bukan isu terpencil, sebaliknya amaran bahawa sistem pendidikan perlu diperbaiki segera supaya sekolah kembali menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg