JITRA (Kedah): “Suami sempat menjerit api... api! kepada 14 pelajar lelaki yang ketika itu baru bangun tidur dan bersiap untuk menunaikan solat subuh.
“Alhamdulillah, mereka sempat menyelamatkan diri keluar dari bilik asrama, lima minit kemudian, api sangat marak dan bangunan hangus terbakar,” kata Che Aton Yahya, 66 tahun.
Che Aton adalah tenaga pengajar di sebuah maahad tahfiz di Jalan Sanglang, di Pekan Kodiang, Kedah, yang musnah terbakar pada 29 Julai.
Menurutnya, kejadian itu disedari suaminya, Encik Mohd Rofiq Abd Mahmud, 40-an tahun, yang ternampak api masih kecil di asrama pelajar terbabit.
Namun katanya, tidak lama kemudian api terus merebak namun bersyukur kerana kesemua pelajar lelaki berusia lapan hingga 16 tahun itu sempat keluar menyelamatkan diri.
“Mereka tinggal sehelai sepinggang dan tidak selamatkan apa-apa melainkan diri sendiri.
“Maahad tahfiz ini baru beroperasi empat tahun lalu dan kesemua mereka kini tinggal sementara di rumah saya,” katanya ketika dihubungi pada 29 Julai, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.34 pagi.
Beliau yang mengetuai pasukan dari BBP Jitra turut dibantu sepasukan anggota BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Simpang Empat, Perlis, tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.
“Setibanya di lokasi, didapati rumah dua tingkat kelas B yang dijadikan maahad tahfiz itu sedang terbakar namun tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kebakaran.
“Akses ke lokasi juga agak sempit namun api berjaya dikawal pada 6.45 pagi,” katanya ketika dihubungi pada 29 Julai.
Encik Mohd Bustan berkata operasi pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan anggaran kemusnahan adalah sebanyak 80 peratus.
Beliau berkata setakat ini punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pegawai dari Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg