Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor ikat 4 pemain import, sasar kejuaraan Piala Agong 2025

Aug 8, 2025 | 12:21 PM
Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU), Datuk Mohd Noorazam Osman (duduk di tengah) ketika majlis menandatangani empat pemain import baru di Johor Bahru.
Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU), Datuk Mohd Noorazam Osman (duduk di tengah) ketika majlis menandatangani empat pemain import baru di Johor Bahru. - Foto FACEBOOK JOHOR RUGBY UNION

Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) terus memperkukuh persiapan menghadapi Kejohanan Piala Agong 2025 dengan menandatangani empat pemain import dalam satu majlis rasmi di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.

Majlis menandatangani kontrak tersebut disaksikan Presiden JRU, Datuk Mohd Noorazam Osman; Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Mohd Ekmaluddin Ishak; dan Duta Sukan Johor, legenda ragbi dunia Sonny Bill Williams. Turut hadir, barisan Exco JRU serta pengurusan pasukan Piala Agong Johor.

Pasukan Johor, yang kini berada dalam fasa persiapan awal, bakal dikendalikan oleh Rodney So’oialo – bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Bunga Raya 15s dan bekas pemain All Blacks New Zealand yang terkenal dengan ketegasan serta pengalaman luas di pentas antarabangsa.

Empat pemain import yang dibawa masuk ialah Tamanitoakula Kolinio Yabia (Fiji), Turuva Serupepeli (Fiji), Revouvou Vatemo (Fiji) dan Jacob Henry Denyer (New Zealand).

Johor akan memulakan kempen musim ini pada 6 September 2025 menentang Pahang di Stadium Ragbi Johor. Sebelum itu, skuad berkenaan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Selangor dan PDRM sebagai medan pemanas badan.

Presiden JRU, Datuk Mohd Noorazam, berkata Johor pernah menjulang Piala Agong sebanyak dua kali pada 2013 dan 2017, serta muncul naib juara pada edisi 2024.

“Pencapaian 2024 sebagai naib juara membuktikan pasukan Johor berada di landasan tepat, namun kami tidak mahu berpuas hati dengan kedudukan itu. Kami mahukan kejuaraan kembali ke Johor, dan untuk mencapainya, persediaan mesti dilakukan lebih awal dan lebih teratur,” katanya.

Sementara itu, Sonny Bill Williams dalam ucapannya memberi kata semangat kepada skuad Johor.

“Setiap kejayaan besar bermula daripada langkah kecil, namun cara kita membentuknya akan menentukan impak yang besar terhadap kejayaan sesebuah pasukan,” ujar beliau.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Mohd Ekmaluddin, pula berkata kehadiran pemain import kali ini akan membawa kekuatan fizikal, kemahiran tinggi dan pengalaman berharga untuk memperkukuh pasukan.

“Saya yakin dengan komitmen dan kerjasama erat semua pihak, kita mampu mencapai kejayaan cemerlang dan mengangkat nama Johor ke tahap lebih gemilang. Marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Gabungan kepimpinan kejurulatihan berpengalaman serta barisan pemain tempatan dan antarabangsa ini dilihat sebagai langkah berani JRU untuk sekali lagi membawa pulang kejuaraan Piala Agong ke bumi Johor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg