JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan terus memperkukuh infrastruktur, memudahkan urusan pelaburan serta meningkatkan kemahiran anak negeri supaya mereka dapat merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan menjelang pelancaran pelan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka pada Disember 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata usaha itu seiring dengan pengukuhan kerjasama Malaysia dan Singapura menerusi Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC).

Beliau menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Singapura, yang dipengerusikan bersama Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Encik Chee Hong Tat.

“Melalui JSCMC, kerjasama yang sebelum ini tertumpu kepada pembangunan Iskandar Malaysia kini diperluas kepada pelaksanaan JS-SEZ, pengangkutan serta kelancaran pergerakan rakyat dan barangan merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan pada 3 November.

Menurut Datuk Onn Hafiz, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan pasukan kerja bagi menyelaraskan dan memantau pelaksanaan perkara yang dipersetujui supaya perancangan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang jelas.

Beliau berkata JS-SEZ merekodkan RM88.83 bilion ($27.87) pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, dengan RM42.64 bilion daripadanya telah dilaksanakan.

Pada masa sama, perhatian diberikan kepada usaha melancarkan perjalanan rentas sempadan, termasuk persiapan menjelang pengoperasian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang disasarkan pada Februari 2027.

Perkhidmatan itu diharap memudahkan urusan harian rakyat antara Johor dengan Singapura.

Datuk Onn Hafiz turut menghargai komitmen kerajaan Malaysia, kerajaan Singapura dan pihak berkaitan dalam memperkukuh hubungan strategik demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata mesyuarat pertama JSCMC menandakan perkembangan penting dalam kerjasama ekonomi Johor dengan Singapura.

Beliau mengaitkan perkembangan itu dengan kerjasama menerusi Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), diikuti Perjanjian JS-SEZ pada 7 Januari 2025.

Menurutnya, JS-SEZ mencerminkan keyakinan bersama bahawa Johor dan Singapura mampu saling melengkapi serta menggabungkan kekuatan masing-masing untuk membentuk rantau ekonomi yang lebih berdaya saing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan pelaburan perlu dinilai berdasarkan manfaat yang diterima penduduk dan perusahaan tempatan.

“Namun, bagi Kerajaan Johor, kejayaan sebenar bukan sekadar angka pelaburan yang besar, tetapi sejauh mana pelaburan ini diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan kemahiran tenaga kerja, peluang perniagaan kepada SME tempatan dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Encik Lee berkata kerajaan negeri akan terus menumpukan perhatian kepada kemudahan menjalankan perniagaan, penyediaan infrastruktur dan utiliti, pembangunan bakat tempatan serta penyelarasan antara agensi.

Langkah tersebut bertujuan memastikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

“Pelaburan mesti membawa pekerjaan. Pertumbuhan mesti meningkatkan pendapatan. Pembangunan mesti memberi manfaat kepada rakyat Johor,” katanya.