KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Johor sedang mempertimbangkan pelaksanaan kaedah ‘Single Border Clearance’, atau pelepasan sempadan tunggal, antara Johor, Malaysia; Singapura dengan Batam, Indonesia, bagi meningkatkan hubungan perdagangan strategik antara tiga negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia adalah antara perkara yang dibincangkan kerajaan Johor dengan Kepala Badan Pengusahaan/Wali Kota Batam, Encik Muhammad Rudi, dalam satu pertemuan ketika lawatan kerjanya ke Kepulauan Riau, Indonesia, baru-baru ini.
“Saya amat kagum dengan pertumbuhan ekonomi Batam, iaitu sebanyak 7.04 peratus pada 2023.
“Kejayaan ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif disokong oleh pelaburan asing, perkembangan sektor pelancongan dan penaiktarafan infrastruktur di Batam.
“Pelbagai perancangan telah dibincangkan bersama, antaranya mencari titik kerjasama dalam kaedah ‘Single Border Clearance’ antara Johor-Singapura-Batam, meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan feri sedia ada, serta menjalin kerjasama dalam sektor kesihatan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.
Datuk Onn berkata kerajaan Johor yakin bahawa ia adalah langkah strategik untuk meningkatkan kesalinghubungan perdagangan dan pelaburan, lebih-lebih lagi dasar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Khas Kewangan (SFZ) sedang giat dilaksanakan di Johor.
Beliau berkata sempena Tahun Melawat Johor 2026, pihaknya turut mengambil kesempatan dalam lawatan menjemput delegasi Batam untuk berkunjung ke Johor.
“Semoga semangat serumpun ini akan terus mengukuhkan ikatan silaturahim sesama kita, demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat. Insya-Allah,” kongsinya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Industri Iskandar Malaysia Johor, Encik Md Salikon Sarpin, berkata dengan adanya sistem pelepasan sempadan tunggal, ia akan menggalakkan kehadiran lebih ramai pelancong ke Johor dan Malaysia.
“Ini boleh menarik pelancong dan bakal pelabur untuk mengembara antara Johor, Singapura dengan Batam dan mencari peluang perniagaan baru yang dalam masa yang sama boleh membangunkan ekonomi setempat.
“Dengan pemimpin baru yang menerajui Singapura dan Indonesia, saya percaya perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut apabila Malaysia menjadi tuan rumah sidang puncak Asean pada 2025,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg